BOLOGNA — Persiapan menuju edisi ke-35 Kongres Penerbit Antarabangsa semakin rancak apabila jumlah pendaftaran kini melepasi 250 peserta dari lebih 30 negara, menjelang penganjurannya di Kuala Lumpur pada 5 hingga 9 Julai 2026.
Jelajah promosi antarabangsa kongres tersebut menutup tirainya di Bologna Children’s Book Fair, April lalu, yang menyaksikan sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 40 pengunjung ke reruai Malaysia.
Turut hadir ialah Presiden dan Setiausaha Agung International Publishers Association (IPA), bersama beberapa pegawai kerajaan Malaysia yang mempromosikan pelbagai acara berkaitan buku menjelang kongres tersebut.
Dalam perkembangan sama, penyertaan berkumpulan terus meningkat dari seluruh dunia.
Syarikat tempatan Pelangi Publishing Group menjadi antara penyumbang utama apabila mendaftarkan 13 orang wakil pasukan mereka.
Setakat ini, penyertaan merangkumi semua benua, menandakan daya tarikan global acara berprestij itu.
Sementara itu, British Council mengumumkan inisiatif “Publishing Futures” dengan kerjasama IPA, khusus untuk menyokong pembangunan profesional penerbit dari Asia Tenggara dan United Kingdom.
Program ini akan memilih sembilan penerbit dari Indonesia, Malaysia dan UK melalui panggilan terbuka bagi menyertai kongres serta program khas yang berlangsung sebelum acara utama.
Program “Publishing Futures” dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 8 Julai 2026, merangkumi sesi meja bulat dan bengkel bersama pemimpin industri.
Ia bertujuan memberikan pendedahan mendalam terhadap landskap penerbitan Asia Tenggara serta isu-isu penting seperti kecerdasan buatan (AI), gangguan digital, hak cipta, kebebasan bersuara dan amalan penerbitan mampan.
Peluang ini terbuka kepada penerbit peringkat awal hingga pertengahan kerjaya dalam bidang penerbitan perdagangan yang berpangkalan di Indonesia, Malaysia atau UK, khususnya mereka yang berminat mengembangkan jaringan dan kapasiti di peringkat antarabangsa. Permohonan dibuka sehingga 10 Mei 2026.
Kongres anjuran IPA ini dijangka menjadi platform penting dalam mempertemukan pemain industri penerbitan global bagi membincangkan cabaran dan peluang semasa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab perbincangan industri buku antarabangsa.













