KUALA LUMPUR — Menjelang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 pada 29 Mei hingga 7 Jun ini, Hikayat Fandom terus memperluaskan usaha memperkenalkan kisah, warisan dan imaginasi Kepulauan Melayu kepada khalayak lebih luas menerusi penerbitan, program budaya serta kerjasama antarabangsa.
Berteraskan visi “Beyond Publishing. World Building.”, Hikayat Fandom bakal membawakan pelbagai inisiatif sepanjang musim PBAKL melibatkan sastera, warisan, penceritaan dan kerjasama industri kreatif.
Menurut Hikayat Fandom, usaha tersebut bertujuan memastikan warisan Nusantara terus hidup dan dekat dengan masyarakat moden.
“Balai Gema Hikayat mencerminkan komitmen kami untuk memastikan naratif tradisional terus relevan dan dapat diakses oleh generasi kontemporari sambil menghormati akar sejarah dan budaya yang membentuk masyarakat di rantau ini,” menurut kenyataan itu, semalam.
Antara program utama yang diteruskan ialah Balai Gema Hikayat yang berlangsung seiring dengan KL Festival di GMBB, Kuala Lumpur.
Pameran tersebut mengetengahkan tradisi penceritaan dan seni persembahan warisan Nusantara seperti mak yong, mek mulung dan wayang kulit.
Melalui pameran interaktif, sesi penceritaan serta persembahan budaya, pengunjung berpeluang mengenali sejarah, muzik, kostum dan nilai budaya yang membentuk tradisi masyarakat di rantau ini sejak turun-temurun.
Kemuncak program Hikayat Fandom di PBAKL 2026 ialah pelancaran Ensiklopedia Mini Berilustrasi Kepulauan Melayu pada 30 Mei ini di Pentas Dunia Buku, Aras 4, bermula pukul 3 petang.
Siri penerbitan itu dibangunkan dengan penglibatan akademik, penyelidik dan artis dari beberapa negara, selain diinspirasikan daripada Ensiklopedia Berilustrasi Tamadun Dunia Silam.
Menurut Hikayat Fandom, koleksi baharu itu dihasilkan bagi menjadikan ilmu mengenai Kepulauan Melayu lebih mudah dicapai oleh pelajar, keluarga dan pembaca umum.
“Melalui gabungan penyelidikan ilmiah, penceritaan visual dan apresiasi warisan, siri ini diharap dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali semula sejarah dan identiti budaya Nusantara dalam bentuk yang lebih menarik dan mudah difahami,” menurut kenyataan itu lagi.
Program pelancaran turut menampilkan persembahan Tarian Cik Milik dan Mari Berzapin oleh Akar Seni Malaysia, forum diskusi melibatkan Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, Ninot Aziz dan Rahma Yuniarsih dari Indonesia, selain persembahan khas Pak Selampit oleh Mat Rebab.
Acara itu juga akan diserikan dengan sesi penceritaan menampilkan watak Che Siti Wan Kembang oleh Tun Alia serta tayangan video Mayang Sari dan book-trailer SITI.
Dalam perkembangan lain, Hikayat Fandom turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pengarah dari Amerika Syarikat, Will Harper daripada WJ Harper Foundation bagi meneroka kerjasama kreatif berkaitan Leyla’s Quest, antara harta intelek utama syarikat itu.
“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam membawa kisah-kisah yang diinspirasikan daripada Kepulauan Melayu kepada audiens antarabangsa menerusi platform penceritaan dan kolaborasi kreatif rentas sempadan,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, Hikayat Fandom turut menjalinkan kerjasama dengan jurufoto dan wartawan foto dari Perancis, Henri Berbar bagi menerbitkan sebuah buku meja kopi mengenai budaya dan warisan Kepulauan Melayu.
Hikayat Fandom menyifatkan gabungan penerbitan buku, pameran, persembahan budaya dan kerjasama kreatif antarabangsa sebagai sebahagian usaha membina ekosistem budaya yang mampan sambil menghidupkan kembali kekayaan cerita tradisional untuk generasi masa kini.












