KUALA LUMPUR — Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 bakal menyaksikan satu pengisian baharu yang memberi penekanan kepada pembangunan intelektual dan wacana kesusasteraan menerusi penganjuran Festival Kata PBAKL (FKP) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Jun depan.
Festival tersebut dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta kerjasama Nusa Centre sebagai usaha memperkukuh fungsi pesta buku bukan sekadar medan jual beli, tetapi juga ruang perkembangan ilmu, budaya dan pemikiran.
Pengerusi Jawatankuasa Festival Kata PBAKL, Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, pesta buku di peringkat antarabangsa sememangnya sinonim dengan penganjuran forum dan seminar yang membangunkan tradisi intelektual dalam kalangan penulis serta pemain industri buku.
“Maka pesta buku bukan hanya dilihat tempat jual beli, tetapi juga ialah tempat menumbuhkan wacana dan kebijaksanaan, di samping mempertemukan para penulis, penggiat dan pemain industri dalam ruang perbincangan yang intensif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran FKP kali pertama itu dilihat sebagai langkah penting dalam mengangkat ruh sebenar festival buku seperti yang diamalkan di festival perbukuan antarabangsa termasuk Frankfurt Book Fair dan London Book Fair.
Himpun penulis dan penterjemah serantau
Menurut Syed Mohd Zakir yang juga dikenali dengan nama pena S.M. Zakir, FKP menghimpunkan penulis, penterjemah dan penggiat sastera dari dalam serta luar negara, sekali gus memperkukuh kedudukan PBAKL sebagai acara perbukuan bertaraf antarabangsa.
Katanya, program sepanjang empat hari itu akan diisi dengan forum ilmiah, perkongsian pengalaman dan wacana yang bersifat sejagat.

Kredit foto Dewan Bahasa dan Pustaka.
Antara tokoh antarabangsa yang dijangka mencuri perhatian ialah penyair muda Jepun, Yuki Nagae yang terkenal dengan puisi eksperimental dan persembahan puisi visual tiga dimensi.
Yuki, graduan Universiti Sorbonne di Perancis, bakal membawa persembahan bertajuk Vestiges-absentee cities yang menggabungkan enam bahasa selain Jepun iaitu bahasa Inggeris, Finnish, Sepanyol, Mandarin, Melayu dan Thai.
Menurut S.M. Zakir, karya visual Yuki menampilkan metafora multidimensi yang menjadi refleksi terhadap kehidupan masyarakat Jepun moden yang terperangkap dalam kesibukan dunia kontemporari.
“Yuki juga merupakan penyair yang mendalami puisi-puisi klasik Jepun dan cuba membawanya untuk mengisi kelompongan dunia moden,” katanya.
Suara generasi muda Selatan Thailand
Festival berkenaan turut menampilkan penyair muda Thailand, Rossanee Nurfarida yang dikenali menerusi puisi-puisi berkaitan konflik sosial dan suara generasi muda di empat wilayah selatan Thailand.
Menurut S.M. Zakir, Rossanee membawa pendekatan puisi sinis dengan gaya bahasa lembut yang menggambarkan jiwa generasi muda Muslim Thailand yang mendambakan keamanan.
“Membaca puisi Rossanee adalah membaca jiwa generasi muda empat wilayah di Thailand yang mencintai kedamaian, dan menolak pendirian lama pihak-pihak yang bertentangan,” ujarnya.
Beliau berkata, karya Rossanee memperlihatkan perubahan pandangan generasi muda terhadap identiti dan kedudukan mereka sebagai warganegara Muslim di Thailand.
Penulis muda kontemporari turut diberi ruang
Selain tokoh antarabangsa, FKP turut mengetengahkan generasi penulis muda tempatan yang aktif dalam dunia penerbitan dan budaya pembacaan semasa.
Antara penulis yang akan terlibat ialah Ilham Mazalan, Osman Deen, Shield Sharan dan Haniff Zikri menerusi sesi “Kepengarangan dan Keseniman Kontemporari” yang dikendalikan oleh Ahmad Muzuri Idham Adnan.
Menurut S.M. Zakir, kelompok penulis muda itu mewakili generasi yang “hidup dan bergelumang” dalam scene industri buku semasa tanpa terlalu bergantung kepada institusi atau persatuan penulis tradisional.
“Mereka lincah, agresif dan representatif terhadap dunia masakini, khususnya dunia pembacaan golongan muda,” katanya.
Forum sastera dan industri buku ASEAN
FKP turut mengangkat beberapa forum utama lain termasuk sesi “Sastera dan Sejarah Sosial” yang dikendalikan pengarang Berita Harian, Mohd Nazmi Yaakub.
Forum tersebut akan menampilkan panelis seperti Dr. Fadh Razy, Raiha Bahauddin, Abang Median Abang Said dan penulis Singapura, Farihan Bahron.
Selain itu, satu sesi bertajuk “Sastera dan Naratif Sejagat” turut diadakan bagi membincangkan perkembangan sastera semasa dari sudut global.
Dalam melihat perkembangan industri buku ASEAN pula, FKP akan menampilkan forum berkaitan landskap industri perbukuan terkini yang melibatkan panel dari Malaysia, Thailand dan Brunei.
Festival itu juga memberi perhatian terhadap bidang penterjemahan menerusi sesi “Terjemahan Menduniakan Sastera” yang menghimpunkan penterjemah-penterjemah aktif yang banyak menyumbang kepada perkembangan sastera rentas bahasa dan budaya.
Malam Kata satukan puisi, muzik, persembahan eksperimental
Bagi memeriahkan festival, FKP turut menganjurkan program “Malam Kata” yang menggabungkan puisi, muzik dan persembahan eksperimental melibatkan penulis tempatan serta antarabangsa.
Antara yang bakal tampil ialah Yuki Nagae, Rossanee Nurfarida, penyair Indonesia Agus Sarjono, penyair Malaysia Zaen Kasturi, Jack Malik dan Ridzuan Harun.
Persembahan selama dua jam itu turut menggabungkan elemen muzik dan nyanyian yang mencerminkan kepelbagaian budaya tiga kaum utama di Malaysia.
Pelengkap baharu PBAKL
S.M. Zakir berkata, Festival Kata PBAKL dijangka menjadi acara pelengkap tetap kepada PBAKL pada masa akan datang.
Menurutnya, usaha MBKM menambah pengisian intelektual dalam pesta buku itu selari dengan aspirasi negara Madani yang menekankan pembangunan ilmu dan pemikiran masyarakat.
“MBKM dilihat telah menambah pengisian terhadap pesta buku yang paling berprestij di Malaysia ini, dalam melengkapkannya bukan hanya sebagai tempat jual beli tetapi juga tempat pembangunan intelek sejajar dengan cita-cita negara madani,” katanya.
Individu yang berminat untuk menyertai festival ini boleh membuat pendaftaran di pautan https://forms.gle/ajTgz7K1dLLA47y26













