KUALA LUMPUR — Bakal mantan Pengarah Urusan Buku Fixi Sdn. Bhd. Amir Muhammad, tampil menjelaskan keadaan kesihatannya berada dalam keadaan baik susulan pelbagai reaksi terhadap pengumuman peletakan jawatannya sebagai Pengarah Urusan syarikat itu selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026).
Dalam kenyataan terbaharu yang dimuat naik di media sosial hari ini, Amir berseloroh bahawa beliau berasa seperti “sudah meninggal dunia” selepas membaca pelbagai penghargaan dan ucapan daripada rakan-rakan industri.
“Baca semua tribut sejak semalam, aku rasa macam aku dalam kubur dan baca belasungkawa,” katanya secara bersahaja.
Beliau turut berterima kasih kepada beberapa kenalan yang menghantar meme berkaitan pengundurannya, termasuk meme Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengumumkan peletakan jawatan dalam Perhimpunan Agung UMNO suatu ketika dahulu.
Namun di sebalik gurauan itu, Amir yang juga penerbit Kuman Pictures itu menegaskan bahawa keputusannya berundur langsung tidak berkait dengan masalah kesihatan.
“My health is also fine,” katanya, sambil menjelaskan penurunan berat badannya daripada 92 kilogram kepada 75 kilogram dalam tempoh setahun berlaku hasil usaha peribadi untuk menjaga kesihatan dan bukan disebabkan penyakit.
“Penurunan berat badan itu bukan sebab sakit, tetapi sebab keinginan untuk berhenti jadi ‘fatass’,” katanya dalam nada humor tersendiri.
Dalam hantaran sama, Amir turut berkongsi sebab beliau memilih Muhammad Iqbal Abu Bakar sebagai penggantinya untuk menerajui Buku Fixi.
Menurutnya, faktor utama ialah kerana Iqbal benar-benar mengambil berat terhadap kerja dan syarikat.
Beliau mengimbau kembali pengalaman pada 2012 ketika Iqbal masih menjalani latihan industri bersama Fixi.
Ketika itu, menurut Amir, Iqbal sanggup datang sehari lebih awal ke lokasi jualan di eCurve semata-mata mahu mengukur ruang gerai bagi menentukan jumlah stok buku yang perlu dibawa.
“Saya terkejut sebab rumah dia satu jam jauh. Saya kata tak payah susah-susah, datang sahaja hari acara macam vendor lain,” katanya.
Amir berkata sikap teliti dan komited itu menjadi antara faktor utama beliau mengambil Iqbal bekerja secara tetap sehingga kini.
Selain itu, beliau turut memuji Iqbal sebagai individu yang lebih diplomatik dan sesuai memimpin syarikat dalam berdepan pelbagai urusan industri pada masa depan.
Walaupun bakal menamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada Jun ini, Amir memberi bayangan beliau masih akan aktif berinteraksi dengan pembaca dan komuniti buku sepanjang PBAKL 2026 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun.
“Kalau nak bercakap dengan saya, datanglah ke sana. Sambil itu, belilah satu dua buku,” katanya.













