Terdapat banyak ralat dalam Ghost in the Cell (GITC) sehingga aku tidak pasti akan isu utama yang perlu disorotkan.
Ia adalah sebuah malapetaka, tidak syak lagi. Bahan buangan yang tidak boleh dibiodegradasi, terapung-apung di skrin hampir dua jam sehingga ia tenggelam di atas nama satira.
Ia dibikin dengan penuh bobrok menyebabkan aku tidak mempercayai di kreditnya tertera nama Joko Anwar sebagai peneraju utama.
Barangkali masalah teratas bagi aku ialah pertempuran antara dua ton.
Pada satu spektrum, ia adalah sebuah drama penjara yang digarap sepenuh hati ala The Shawshank Redemption; pada satu lagi, komedi mo lei tau ala Stephen Chow.
Tidak pernah sekali aku melihat kedua-dua elemen in berjaya dijalinkan (aku tidak pasti jika terdapat sutradara di luar sana yang mampu melakukannya dengan baik).
Seolah-olah unsur serius digarap terlebih dahulu dan jenakanya disumbat kemudian ketika penggambaran tambahan apabila produksi menyedari durasinya tidak mencukupi.
Hakikatnya, aku lebih mudah menghadam konsep hantu filem ini yang berkeupayaan membunuh orang seperti Hannibal Lecter.
Pun begitu, objektif dan modus operandinya terlalu abstrak untuk kita ambil pusing. Ia bermula apabila laporan skandal penyelewengan di Kalimantan tiba di meja seorang ketua pengarang akhbar.
Malangnya, dia dibunuh dengan kejam dan seorang wartawan yang berada di tempat kejadian dipersalahkan lalu dihantar ke penjara.

Sebaik sahaja di sana, fokus teralih kepada sekumpulan banduan yang dikepalai oleh Anggoro (Arbimana Aryasatya).
Kita dibawa menelusuri hierarki sistem penjara di bawah naungan seorang warden sadistik bernama Jefry (Bront Palare).
Segmen ini digarap dengan bertatih dan penuh tekun. Pergeseran mental dan fizikal di antara Anggoro serta Jefry seakan bakal menjadi tunjang utama keseluruhan kisah sementara hal-hal jembalang pula sebagai cerminan tema (tentang kuasa, penyelewengan dan penindasan).
Buat seketika, kita dijanjikan sajian drama dan humor yang lebih seimbang…
…sehinggalah hantu tersebut menyerang penjara tersebut.
Elemen komedi slapstik sekonyong-konyongnya diperkenalkan dan segala keharmonian yang tercipta dibuang ke luar jendela sama sekali.
Mental dan fizikal di antara para watak tidak lagi dialas peraturan. Mereka mampu bergerak dan beremosi bagai diperankan dalam kartun Looney Tunes.
Ini tidak menjadi masalah sekiranya ancamannya masih terasa bahaya, namun pada suatu ketika hantu tersebut turut melakukan aksi komedi dalam sebuah adegan tarian.
Kuasa hantu yang tersedia kabur bertambah celaru dengan tindak tanduk yang tidak berkompas. Mengapa hantunya seakan makhluk kreatif yang mempunyai kemahiran artistik untuk menjadikan korbannya sebagai ekspresi seni?
Mengapa mangsa yang beraura negatif sahaja yang dijadikan sasaran? Mungkin ini merupakan salah satu permasalahan filem seram di rantau ini.
Hanya kerana ia makhluk maakulat, maka kuasanya tidak terbatas oleh sebarang undang-undang.
Nah, kita tidak mahu sesebuah filem itu tertakluk pada genre dan formulanya sahaja, namun terdapat sisi disiplin yang perlu diterap bagi menjadikan pertualangannya berbaloi untuk diikuti.
Sebaliknya, perasaan menonton GITC adalah seperti dikunci di balik tirai besi itu sendiri.
Pada pengakhirannya, unsur politikal yang tersedia tidak berisi dilancar secara bertubi-tubi.
Sekalian klimaks tuturan berlandaskan aspek ini namun wira utama kita Anggoro tidak terlibat secara langsung.
Dia hanya terpacak di latar belakang seraya bertempur dengan watak-watak bagi mengisi ruang dan waktu.
Tidak semena-mena seorang watak sampingan yang selama ini tidak diberi tumpuan menjadi penyelesai konflik utama dengan menggunakan kepakarannya untuk meniru mimik suara seorang antagonis(?!).
Jika terdapat ikhtisar tentang struktur yang tidak dibikin dengan baik, ia terletak pada naratif filem ini.
Mengenangkan wasilah drama dan komedinya diikat dengan semberono, kedua-dua cabang ini juga tidak dapat berdiri sendiri dengan teguh.
Dalam subgenre komedi mo lei tau yang bersifat absurdisme, terdapat lapisan keseriusan meskipun dalam humornya.
Joko sewajarnya lebih tegas dalam jenakanya dan lebih bermain-main dalam dramanya supaya filem ini dapat tersimpul secara kohesif.
Seringkali ia disampaikan secara berfragmen—terdapat adegan yang sangat hidup terutama pada awal-awal, terdapat adegan yang lantas mati pada saat ia mula berputar terutama pada hujung-hujung—namun ia sama sekali tidak dapat dipedulikan secara menyeluruh.
Konsistensi bukanlah kepakaran Joko sejak akhir-akhir ini, namun aku kira sudah tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya perfileman beliau buat selama-lamanya.
GITC ialah sebuah penyeksaan untuk diladeni dari awal hingga akhir.
Konsep filem ini yang tidak komited sepenuhnya pada drama dan komedi barangkali kedengaran berani di bilik mesyuarat, namun ini hanya membuka peluang untuk menyuntik lelucon separuh masak di samping berkenyit mata tentang korupsi sistematik Indonesia pada paras permukaan.
Hadir tanpa sebarang magis, GITC wajar dihantar semula ke alam ghaib tanpa pujian dan dendangan.













