Harga Svara naik RM10 selepas kerjasama dengan IBDE

Svara18

KUALA LUMPUR — Peminat majalah sastera dan budaya, Svara, dikejutkan dengan kenaikan harga sebanyak RM10 bagi keluaran terbaharu Svara #18 — Borneo: Mistis Timur Menenggara, susulan kerjasama penerbitannya bersama inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Majalah terbitan Pelita Tenggara itu sebelum ini mengekalkan harga RM25 senaskhah sejak isu pertama sehingga isu ke-17.

Namun bagi keluaran ke-18, harga rasmi diumumkan meningkat kepada RM35, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pembaca setia.

Seorang pembaca Svara yang enggan dikenali ketika dihubungi Titik Baca mempersoalkan rasional kenaikan tersebut, lebih-lebih lagi apabila projek itu dijalankan bersama organisasi yang menerima sokongan dana kerajaan negeri.

“Kenapa perlu naik harga sampai RM10? Dulu masa Svara bekerjasama dengan Iman Publication pun harga masih boleh dikekalkan.

“Setahu saya, Iman bukanlah organisasi yang mendapat dana kerajaan negeri, tetapi mereka masih mampu menjaga harga untuk pembaca. Kali ini bila bekerjasama dengan IBDE, tiba-tiba harga terus melonjak,” katanya.

Beliau turut mendakwa kenaikan itu boleh memberi kesan kepada kelompok pembaca muda dan mahasiswa yang selama ini menjadi antara penyokong utama majalah tersebut.

Svara ini selama ini dekat dengan pembaca seni dan sastera yang kebanyakannya bukan orang kaya. Bila harga naik terlalu mendadak, orang mula fikir dua kali untuk beli. Sayang kalau majalah yang bagus jadi semakin sukar dimiliki,” katanya dengan nada kesal.

Bagaimanapun, pihak penerbit Svara tampil memberi penjelasan bahawa kenaikan harga tersebut selari dengan penambahan kandungan dan peningkatan mutu penerbitan bagi edisi terbaharu itu.

Menurut kenyataan penerbit, “Dengan Svara edisi ke-18 ini juga kami melakukan beberapa perubahan. Harga jualan kini dinaikkan kepada RM35 senaskhah. Untuk itu, jumlah mukasurat juga ditambah menjadi 80 halaman, dengan 18 halaman bercetak warna.”

Difahamkan, edisi bertemakan Borneo itu bakal menampilkan pelbagai tulisan berkaitan mistisisme, budaya dan naratif Timur Nusantara, selain tampil dengan reka bentuk serta mutu cetakan yang lebih premium berbanding keluaran terdahulu.

Svara #18 dijangka mula beredar sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026), dengan harga promosi RM30 di reruai Buku IBDE.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *