Editor jawab kenapa Kawin-kawin, Firasat ditapis

Firasatkawin

KUALA LUMPUR — Keputusan menyunting dan memotong beberapa bahagian sensitif dalam novel sastera terkenal yang diterbitkan semula oleh penerbit Jiwa mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pembaca, namun editornya, Raiha Bahaudin menegaskan langkah itu dibuat dengan persetujuan penulis dan waris demi memastikan buku berkenaan boleh diedarkan kepada pembaca sekolah.

Menurut Raiha, pihak penerbit tidak sewenang-wenangnya menapis kandungan dalam novel klasik atau sastera serius, sebaliknya proses itu dilakukan secara teliti dan hanya melibatkan bahagian tertentu yang dianggap terlalu eksplisit.

Bercakap mengenai penerbitan semula novel Firasat karya Isa Kamari, Raiha berkata perkara pertama yang dibincangkan bersama penulis sebelum kontrak ditandatangani ialah soal penyuntingan kandungan.

“Kita dah cakap pada beliau sebelum sign kontrak lagi. Kita beritahu, ‘Jiwa ini ialah produk yang masuk sekolah. Ia tidak boleh lepas jika ada beberapa hal dalam ini tidak ditapis.’ Jadi kita tanya sama ada beliau setuju atau tidak. Dia setuju,” katanya ketika ditemui Titik Baca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026), hari ini.

Menurut beliau, antara bahagian yang dipotong ialah adegan rogol yang dianggap terlalu eksplisit untuk pembaca remaja.

“Kita potong setakat mana dibenarkan untuk pembaca yang masih belum matang,” katanya.

Ketika ditanya mengapa novel itu tetap diterbitkan walaupun perlu melalui proses suntingan, Raiha menjelaskan Firasat mempunyai nilai penting kerana mengangkat realiti masyarakat Melayu minoriti di Singapura yang menjadikan ia suatu yang jarang diketengahkan dalam sastera tempatan.

“Kita susah nak jumpa buku macam Firasat. Malaysia tak pernah rasa jadi Melayu minoriti. Apa cabarannya, apa yang orang Singapura hadapi. Mereka tak boleh menentang akta LGBTQ, mereka tak boleh menentang isu urbanisasi sebab itu mandat negara mereka,” katanya.

Beliau berkata pembaca Melayu di Malaysia perlu didedahkan kepada realiti sedemikian supaya memahami perubahan sosial dan budaya yang berlaku di rantau ini.

Dalam masa sama, Raiha turut menjelaskan penerbitan semula novel Kawin-kawin karya Azizi Haji Abdullah hampir tidak mengalami perubahan besar.

Katanya, hanya satu bahagian melibatkan adegan tidur sekatil dipotong sedikit demi kesesuaian pembaca muda.

“Hampir tiada yang dipotong. Yang mana sesuai untuk pembaca remaja, kita lepaskan,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai keberanian pihak penerbit menampilkan nama semua individu yang terlibat dalam penerbitan semula novel itu, termasuk editor, berbeza dengan penerbitan asal oleh Utusan Melayu.

“Terbitan asal dulu nama editor pun tidak diletakkan, mungkin tidak mahu bertanggungjawab dengan isi kandungan Kawin-kawin. Tapi kita letak nama semua yang terlibat. Kita berani bertanggungjawab,” katanya tegas.

Selain itu, edisi baharu Kawin-kawin turut dilengkapi glosari dialek Kedah bagi membantu pembaca moden memahami istilah tempatan yang digunakan dalam novel tersebut.

Mengulas isu perubahan kandungan dalam buku-buku terbitan semula lain, Raiha mengakui perkara itu memang berlaku dan bukan sesuatu yang asing dalam industri penerbitan.

Beliau memberi contoh novel Ombak Bukan Biru karya Fatimah Busu yang turut mengalami penyuntingan kerana mengandungi kandungan eksplisit.

“Kalau adegan itu justify cerita, justify plot, dan tidak terlalu eksplisit, kita lepaskan. Kadang-kadang memang ia menggerakkan cerita,” katanya.

Namun beliau mengkritik sesetengah novel romantik yang menurutnya menggunakan adegan panas semata-mata untuk tujuan komersial.

“Ada sesetengah penerbit buku romance, babak-babak itu tidak menggerakkan cerita, bahkan jadi bahan bakar untuk melariskan jualan,” katanya.

Novel Kawin-kawin dan Firasat boleh didapati di reruai Jiwa dan Jejak Tarbiah di PBAKL 2026 yang berlangsung di Word Trade Centre Kuala Lumpur, bermula 29 Mei hingga 7 Jun ini.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *