Tiga novelis popular Indonesia temui peminat Malaysia di PBAKL 2026

Novelisindonesiapbakl2026

KUALA LUMPUR — Peminat sastera Nusantara bakal berpeluang bertemu secara langsung dengan novelis popular Indonesia, Boy Candra, J.S. Khairen dan Brian Khrisna menerusi siri Majlis Temu Mesra Penulis sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Program yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) itu dianjurkan bagi memperkenalkan karya-karya terjemahan bahasa Melayu daripada ketiga-tiga penulis tersebut kepada pembaca tempatan dan serantau.

Antara karya yang bakal diperkenalkan termasuk novel Ibu dan Tidak Ada Teman Menangis Malam Ini karya Boy Candra, manakala J.S. Khairen tampil dengan beberapa judul seperti Dompet Ayah Kasut Ibu, Hadiah Terbaik, Rinduku Sederas Hujan Sore Ini, Kami Bukan Sarjana Kertas dan Rumah.

Sementara itu, Brian Khrisna pula hadir menerusi novel Semangkuk Mi Ayam Sebelum Mati.

Ketiga-tiga penulis ini dikenali sebagai antara suara paling berpengaruh dalam kalangan pembaca muda Indonesia kerana kemampuan mereka mengangkat isu-isu kehidupan secara dekat, jujur dan menyentuh emosi.

Boy Candra terkenal dengan karya-karya yang mengangkat tema cinta, kehilangan, kerinduan dan proses menerima kehidupan.

Dengan gaya bahasa yang puitis tetapi mudah didekati, karya-karyanya berjaya menyentuh jutaan pembaca yang menemukan sebahagian kisah hidup mereka dalam setiap halaman yang ditulisnya.

J.S. Khairen pula dikenali menerusi karya-karya yang sarat dengan nilai kekeluargaan, pendidikan dan perjuangan hidup.

Novel terlarisnya, Dompet Ayah Kasut Ibu, menyentuh hati pembaca melalui kisah pengorbanan ibu bapa dalam memastikan anak-anak memperoleh pendidikan yang lebih baik meskipun berdepan kesukaran hidup.

Sementara itu, Hadiah Terbaik mengangkat makna kasih sayang, penghargaan dan hubungan kekeluargaan yang sering menjadi inti kehidupan masyarakat Nusantara.

Brian Khrisna pula mendapat perhatian luas menerusi novel Semangkuk Mi Ayam Sebelum Mati, sebuah karya yang mengangkat isu kesihatan mental secara menyentuh dan penuh kemanusiaan.

Novel ini mengisahkan seorang individu yang merancang untuk menamatkan hidupnya, namun dalam perjalanan tersebut bertemu dengan pelbagai insan yang berdepan cabaran hidup yang lebih berat.

Pertemuan-pertemuan itu akhirnya membuka perspektif baharu tentang makna kehidupan, harapan dan penghargaan terhadap setiap detik yang dimiliki.

Keupayaan ketiga-tiga penulis ini mengangkat tema-tema universal dengan pendekatan yang dekat dengan realiti masyarakat menjadikan karya mereka bukan sahaja popular di Indonesia, malah turut mendapat sambutan dalam kalangan pembaca di Malaysia dan rantau Nusantara.

“Selain memperkukuh hubungan budaya serumpun, inisiatif penterjemahan ini diharapkan dapat memperkayakan khazanah bahasa Melayu, menggalakkan pertukaran idea dalam kalangan penulis serantau serta menyemarakkan ekosistem sastera Nusantara yang semakin berkembang,” kata penganjur, Media Inspirasi Nusantara dalam satu kenyataan, semalam.

Daripada pengorbanan ibu bapa demi pendidikan anak-anak, pergolakan emosi anak muda, sehinggalah perjuangan mencari makna hidup ketika berdepan isu kesihatan mental, tiga penulis bestseller Indonesia ini bakal membawa kisah-kisah yang dekat dengan jiwa masyarakat Nusantara kepada pembaca Malaysia.

Majlis temu mesra itu turut menampilkan sesi dialog eksklusif bersama penulis, sesi tandatangan buku, pelancaran rasmi karya terjemahan serta pelbagai aktiviti interaktif bersama pembaca.

Program bersama Boy Candra dijadual berlangsung pada 30 Mei 2026 dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari di Pentas Dunia Ilmu, Dewan Tun Razak 3, Aras 3 WTCKL.

Sesi bersama J.S. Khairen pula akan berlangsung pada 31 Mei 2026 dari pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari di lokasi sama dengan kerjasama Jejak Tarbiah.

Manakala Brian Khrisna dijadual bertemu pembaca pada 6 Jun 2026 dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari di Pentas Dunia Ilmu, Dewan Tun Razak 3, Aras 3 WTCKL.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *