KUALA LUMPUR — Sebuah buku biografi baharu mengenai tokoh bahasa dan pemikir bangsa, Pendeta Za’ba, diterbitkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 bagi memperkenalkan semula ketokohan serta sumbangan beliau kepada generasi masa kini.
Berjudul Suluh Pendeta: Riwayat Hidup Za’ba daripada Penerbitan Lalu, buku terbitan Akademi Jawi Malaysia itu ditulis oleh Norziati Rosman hasil penyelidikan mendalam terhadap koleksi dan bahan-bahan berkaitan Za’ba yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia.
Menurut Norziati, idea penerbitan buku tersebut tercetus daripada siri catatan pendek yang beliau tulis dan kongsikan menerusi media sosial sepanjang April hingga Mei 2025 ketika terlibat dalam usaha memperkenalkan beberapa judul berkaitan Za’ba yang diterbitkan oleh Akademi Jawi Malaysia menjelang PBAKL tahun lalu.
Ketika meneliti bahan-bahan arkib berkenaan, beliau menemukan pelbagai maklumat menarik dan kurang diketahui umum mengenai kehidupan, perjuangan serta pemikiran Za’ba.
Penemuan tersebut kemudiannya dikongsikan secara berkala kepada pembaca dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Saya pada mulanya menyangka kisah hidup Pendeta Za’ba sudah diketahui oleh masyarakat. Namun sambutan terhadap catatan-catatan tersebut menunjukkan ramai pembaca masih kurang mengenali tokoh ini, malah ada yang baru mengetahui beberapa aspek penting dalam kehidupan dan perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih jelas apabila berinteraksi dengan pengunjung semasa PBAKL 2025. Menurutnya, ramai yang mengemukakan persoalan asas seperti siapakah Za’ba, mengapa beliau penting dan apakah sumbangan yang telah diberikan kepada bangsa dan negara.
Pengalaman tersebut menyedarkan beliau bahawa tokoh yang banyak berjasa dalam pembangunan bahasa Melayu dan pemikiran masyarakat itu semakin jauh daripada pengetahuan generasi baharu.
Atas kesedaran itu, Norziati mengambil inisiatif menyusun semula hasil penyelidikan dan catatan berkenaan dalam bentuk sebuah biografi yang lebih tersusun agar dapat menjadi rujukan yang mudah dicapai oleh masyarakat umum.
Beliau berharap Suluh Pendeta dapat menjadi jambatan yang menghubungkan generasi hari ini dengan warisan pemikiran serta perjuangan Pendeta Za’ba, di samping menyegarkan kembali ingatan masyarakat terhadap tokoh yang telah meninggalkan kesan besar dalam sejarah bahasa dan pendidikan negara.
Buku tersebut kini boleh didapati sempena PBAKL 2026 di reruai Akademi Jawi Malaysia, Dewan Tun Razak 3.













