Penggiat seni berkemahiran tinggi perlu dapat pengiktirafan setara

Hairulanuarharun

KUALA LUMPUR — Penganugerahan bayaran kepada penggiat seni dan budaya tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kelulusan akademik, sebaliknya perlu mengambil kira kepakaran dan pengalaman yang dimiliki seseorang individu, kata penulis lirik terkenal, Dr. Hairul Anuar Harun.

Menurut beliau, sistem pembayaran yang hanya berpandukan sijil akademik berisiko menafikan sumbangan golongan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing tetapi tidak memiliki kelayakan formal yang setara.

“Kalau seseorang itu mempunyai kelulusan dan kepakaran, tidak ada masalah untuk dibayar berdasarkan kelulusannya. Tetapi jika dia mempunyai kepakaran yang tinggi walaupun tidak memiliki sijil akademik tertentu, bayaran perlu dibuat berdasarkan nilai kepakarannya itu,” katanya ketika ditemui Titik Baca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Hairul yang terkenal menerusi lirik lagu-lagu popular seperti Cindai, Hati Kama dan pelbagai seni kata lain berkata, tidak semua bentuk kepakaran diperoleh melalui sistem pendidikan formal.

Beliau menegaskan bahawa ramai tokoh seni dan budaya membina kemahiran mereka melalui pengalaman bertahun-tahun sehingga mencapai tahap yang sukar ditandingi oleh orang lain.

“Pendidikan formal bukan satu-satunya jalan untuk memperoleh ilmu. Dalam bidang seni budaya, ada pakar yang memang menjadi rujukan utama dalam bidang mereka. Kepakaran seperti ini perlu diangkat dan diberikan kadar bayaran yang sewajarnya, mungkin setara dengan pemegang ijazah sarjana atau doktor falsafah,” katanya.

Sebagai contoh, beliau mempersoalkan kewajaran menilai tokoh seni tradisional berdasarkan kelulusan akademik semata-mata.

“Kalau kita ambil contoh Roslan Madun yang sangat pakar dalam lagu-lagu tradisional, adakah kita mahu membayarnya berdasarkan sijil akademiknya? Jika begitu, adakah kita juga mahu menilai bayaran artis seperti Siti Nurhaliza berdasarkan kelulusannya?” katanya.

Hairul turut menyifatkan keadaan semasa sebagai satu bentuk double standard apabila artis popular mampu menerima bayaran yang tinggi tanpa syarat kelulusan akademik, sedangkan penggiat seni lain yang mempunyai kepakaran khusus sering menerima bayaran yang jauh lebih rendah.

“Artis popular dibayar berdasarkan pengaruh dan populariti mereka. Tetapi apabila melibatkan bidang seni budaya yang lain, tiba-tiba kelulusan akademik menjadi ukuran utama. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

Beliau berpandangan bahawa kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, perlu menilai semula mekanisme pembayaran yang digunakan oleh agensi kerajaan bagi memastikan kepakaran bukan akademik turut diberikan pengiktirafan yang adil.

Bagi tujuan tersebut, Hairul mencadangkan supaya diwujudkan kategori khas atau sistem pengiktirafan rasmi bagi mengiktiraf individu yang memiliki kemahiran tinggi dalam bidang tertentu.

“Agensi seperti JKKN, DBP, ASWARA dan institusi berkaitan sebenarnya mengetahui siapa pakar dalam bidang masing-masing. Mereka boleh mengeluarkan pengiktirafan atau sijil kepakaran yang boleh dijadikan asas penentuan kadar bayaran,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar agensi berkaitan diberikan lebih autonomi dalam menentukan kadar bayaran kepada tenaga pakar berdasarkan nilai sebenar sumbangan mereka, tanpa terlalu terikat kepada struktur bayaran yang ditetapkan mengikut kelulusan akademik semata-mata.

Menurut Hairul, terdapat situasi yang ironi apabila penyelidik atau ahli akademik memperoleh kelulusan tinggi hasil kajian yang bersumberkan pengetahuan pengamal budaya dan seni, namun individu yang menjadi sumber utama ilmu tersebut menerima bayaran yang jauh lebih rendah.

“Jangan ada double standard dalam memberi rezeki kepada orang. Tidak semua perkara boleh diukur dengan sekeping kertas (sijil akademik). Kepakaran dan pengalaman juga mempunyai nilai yang perlu dihormati,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *