KUALA LUMPUR — Dunia kesusasteraan tanah air diraikan menerusi Malam Apresiasi Puisi AGI dan Majlis Pelancaran Buku Viva Poesie yang berlangsung di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Program tersebut diadakan sebagai penghormatan kepada penyair eksperimental terkemuka negara, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), yang dikenali melalui pendekatan puisi Tri-V, iaitu gabungan unsur verbal, vokal dan visual dalam karya-karyanya.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tan Sri Johan Jaaffar yang menyifatkan AGI sebagai antara tokoh penting yang berjaya memperluaskan horizon puisi Melayu moden melalui keberanian intelektual dan eksperimen estetik yang konsisten.
Menurut beliau, karya AGI membuktikan bahawa puisi Melayu mempunyai kemampuan untuk terus berkembang secara progresif dan relevan dengan perubahan zaman.
“Puisi tidak harus terperangkap dalam bentuk yang statik, sebaliknya perlu terus hidup bersama denyut masyarakat dan perkembangan pemikiran semasa,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Viva Poesie menghimpunkan 47 puisi konkrit dalam edisi dwibahasa Melayu-Inggeris yang menggabungkan bahasa, bunyi, visual dan pengalaman emosi dalam satu bentuk ekspresi yang lebih terbuka serta merentas konvensi puisi tradisional.
Buku itu memperlihatkan pendekatan Tri-V yang menjadi identiti estetik AGI selama beberapa dekad, sekali gus menawarkan pengalaman membaca yang mengajak pembaca melihat, mendengar dan mentafsir puisi melalui pelbagai dimensi deria.
Dalam prolog buku tersebut, Viva Poesie digambarkan sebagai karya yang menuntut penglibatan intelektual dan deria pembacanya, sekali gus mengangkat puisi sebagai wahana pemikiran, refleksi dan pengalaman manusia.
AGI turut menjelaskan bahawa penerbitan buku itu merupakan kesinambungan perjalanan kreatifnya dalam meneroka hubungan antara bahasa, bunyi dan visual.
“Puisi bukan sekadar sesuatu yang dibaca di atas kertas. Puisi ialah pengalaman manusia. Bahasa mempunyai suara, rupa dan jiwa yang boleh disentuh melalui pelbagai deria dan rasa,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd Khair Ngadiron berkata, Viva Poesie membuktikan bahawa puisi Melayu masih hidup dan relevan sebagai medium seni serta pemikiran dalam dunia moden.
Menurut beliau, karya tersebut memperlihatkan keberanian AGI membawa puisi Melayu ke dimensi yang lebih segar, kreatif dan merentas bentuk konvensional.
Penterjemah buku berkenaan, Jack Malik pula menyifatkan penerbitan dwibahasa itu sebagai jambatan penting untuk memperkenalkan puisi Melayu kepada khalayak antarabangsa.
Katanya, penerbitan tersebut membuka ruang kepada pembaca global untuk memahami kekuatan pemikiran dan keberanian estetik yang terkandung dalam karya-karya puisi Melayu kontemporari.
Selain pelancaran buku, program turut diserikan dengan persembahan apresiasi puisi oleh beberapa tokoh seni dan budaya tanah air termasuk Datuk Fauziah Nawi, Roslan Madun, Sani Sudin dan Dr. Norzizi Zulkifli.
Penganjuran program itu memperlihatkan kesusasteraan masih berperanan sebagai ruang yang mendekatkan masyarakat dengan bahasa, buku dan pemikiran, sekali gus mengukuhkan kedudukan sastera sebagai sebahagian daripada pembangunan tamadun bangsa.
Viva Poesie terbitan Smart Forum Resources dijual pada harga RM50 senaskhah. Buku ini boleh didapati sepanjang PBAKL 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), selain boleh dibeli secara dalam talian menerusi platform Shopee dan Book Capital.
Untuk pertanyaan lanjut atau urusan pembelian, orang ramai boleh menghubungi Rosman Md. Shah di talian 011-7305 6857.













