Sastera tidak perlu mencari pengiktirafan luar untuk membina nilainya — Wu Ming-yi

Wumingyi

KUALA LUMPUR — Pengarang dan tokoh sastera Taiwan, Prof. Wu Ming-yi berpendapat bahawa sesebuah karya sastera tidak perlu bergantung kepada pengiktirafan antarabangsa untuk membuktikan nilainya kerana sastera pada asasnya dicipta untuk masyarakat dan pembaca negara itu sendiri.

Beliau berkata demikian ketika sesi Bual Bicara Buku Basikal Curi yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pavilion MAPIM, Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas kejayaan penulis Taiwan, Yang Shuang-zi yang baru-baru ini menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi Hadiah Booker, Wu berkata pencapaian tersebut sememangnya memberi semangat kepada para penulis Taiwan, namun ia tidak seharusnya menjadi ukuran utama dalam berkarya.

“Setiap negara menghasilkan sasteranya untuk warga negaranya sendiri. Kita tidak perlu berfikir bahawa kita mesti mendapatkan pengiktirafan daripada pembaca negara lain untuk membuktikan nilai karya kita,” katanya.

Menurut beliau, penerimaan anugerah oleh Yang Shuang-zi merupakan satu galakan kepada komuniti penulis Taiwan, namun konsep “penulis antarabangsa” tidak seharusnya dilihat hanya berdasarkan populariti atau penerimaan luar negara.

“Setiap penulis mempunyai personaliti yang unik dan berbeza. Kita tidak boleh mengatakan seseorang penulis itu sama seperti penulis yang lain. Disebabkan perbezaan itulah, setiap penulis sebenarnya memiliki sifat antarabangsa mereka sendiri,” ujarnya.

Wu turut menyatakan harapan agar hubungan kesusasteraan antara Taiwan dan Malaysia dapat diperkukuhkan melalui pertukaran budaya dan penerbitan yang lebih aktif.

Beliau mencadangkan agar Taiwan pada masa hadapan menjemput Malaysia sebagai negara tumpuan dalam pesta buku di Taipei supaya para pembaca Taiwan dapat mengenali dan membaca lebih banyak karya dari Malaysia.

Sesi bual bicara tersebut dibawakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan menampilkan Dr. Florence Kuek Chee Wee, pensyarah Universiti Malaya sebagai pemudah cara, manakala Lee Hao Jie bertindak sebagai jurubahasa.

Wu Ming-yi merupakan antara pengarang kontemporari paling berpengaruh di Taiwan.

Dilahirkan di Taipei pada tahun 1971, beliau ialah seorang novelis, seniman, penterjemah dan sarjana kesusasteraan yang kini berkhidmat sebagai profesor madya di National Dong Hwa University, Taiwan.

Beliau juga dikenali sebagai pakar dalam sejarah kesusasteraan alam sekitar Taiwan.

Sepanjang kerjayanya, Wu telah memenangi China Times Open Book Award sebanyak enam kali.

Karya beliau yang mendapat perhatian antarabangsa termasuk The Man with the Compound Eyes yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan menjadi novel Taiwan pertama diterbitkan oleh penerbit utama berbahasa Inggeris.

Novel beliau yang terkenal, Basikal Curi (The Stolen Bicycle), kini diterbitkan dalam bahasa Melayu oleh IBDE dan boleh didapati sepanjang PBAKL 2026 di reruai IBDE.

Novel tersebut mengangkat tema sejarah, memori, keluarga dan hubungan manusia dengan alam menerusi naratif yang kaya dengan lapisan budaya serta kemanusiaan, sekali gus memperkenalkan pembaca tempatan kepada salah satu karya penting kesusasteraan Taiwan moden.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *