Kelab Perempuan Membaca himpun wanita perkasa budaya ilmu

Perempuanmembaca

Foto kredit: Media Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melancarkan Kelab Perempuan Membaca (KPM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Penubuhan kelab tersebut bertujuan menghimpunkan seramai mungkin wanita pembaca, termasuk para ibu, gadis remaja dan kanak-kanak perempuan yang menjadikan pembacaan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

Menurut Fadhlina, inisiatif itu lahir daripada hasrat untuk memastikan capaian kepada bahan bacaan dan budaya ilmu terus diperkasakan walau dalam apa jua cabaran dan keadaan yang dihadapi masyarakat.

“Tiada niat lain melainkan mahu menghimpunkan seramai mungkin wanita pembaca, para ibu yang membaca, gadis muda yang cerdas membaca dan kanak-kanak perempuan yang suka membaca. Paling utama, ia adalah ruang penting untuk memastikan akses kepada bahan bacaan tidak akan putus walau apa jua rempuhan dan tribulasi yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, wanita memainkan peranan penting dalam membentuk budaya ilmu dalam keluarga kerana ibu merupakan madrasah pertama yang mendidik anak-anak di rumah.

“Amalan membaca yang membuka minda dan menjadi jambatan ilmu pengetahuan perlu bermula dari rumah dengan wanita sebagai penggerak utamanya. Atas kesedaran itu, Kelab Perempuan Membaca dilancarkan bagi memastikan akses pembacaan dapat terus ditingkatkan walau dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Fadhlina turut mengajak semua lapisan wanita, daripada kanak-kanak, remaja hingga golongan ibu, untuk menyertai gerakan membaca tersebut demi memperkukuh masyarakat berilmu dan berbudaya.

Beliau berkata, usaha itu mengambil inspirasi daripada perjuangan tokoh pendidikan wanita negara, Ibu Zain, yang pernah memperjuangkan pendidikan anak-anak perempuan dan wanita pada suatu ketika dahulu.

“Wanita membawa watak akal dan budi, membawa pencerahan dan memandu masyarakat,” katanya.

Sambutan terhadap penubuhan kelab itu juga dilihat amat memberangsangkan apabila jumlah pendaftaran ahli mencecah lebih 600 orang dalam tempoh hanya 24 jam selepas pengumuman dibuat.

“Memang betul apa yang saya jangkakan. Perempuan yang membaca memang menakutkan. Saya takut melihat angka pendaftaran ahli Kelab Perempuan Membaca ketika ini,” katanya secara berseloroh menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Menurut beliau, selain penyertaan dari seluruh negara, pihak penganjur turut menerima permohonan daripada individu di Indonesia dan Singapura untuk menyertai kelab tersebut.

Fadhlina memaklumkan bahawa program pertama Kelab Perempuan Membaca dijadualkan bermula bulan hadapan dengan pelbagai aktiviti bulanan termasuk sesi diskusi buku secara tematik yang bertujuan meraikan budaya membaca, memperkasa ilmu pengetahuan dan membina citra akal budi dalam kalangan masyarakat.

Penubuhan Kelab Perempuan Membaca dilihat selari dengan usaha memperkukuh ekosistem pembacaan negara serta menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang membudayakan ilmu dan pembacaan sepanjang hayat.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *