Imuda teruja kembali menyumbang kepada Salina melalui ilustrasi edisi baharu Biblio Press

Imuda

KUALA LUMPUR — Pelakon, pelukis dan kartunis veteran, Dato’ Imuda meluahkan rasa bangga dan teruja apabila diberi kepercayaan oleh Biblio Press untuk menghasilkan ilustrasi kulit hadapan baharu bagi novel klasik agung Salina karya A. Samad Said.

Menurut beliau, tawaran tersebut mempunyai nilai yang sangat istimewa kerana Salina bukan sekadar sebuah novel klasik Melayu, malah sebuah karya epik yang merakam kehidupan masyarakat selepas Perang Dunia Kedua, khususnya yang berlatarbelakangkan Singapura.

“Apabila ditawarkan untuk membuat kulit Salina ini, saya rasa bangga kerana mereka memilih saya. Novel Salina sebenarnya sebuah novel epik dan klasik yang menggambarkan sesuatu yang berlaku di Singapura selepas zaman perang,” katanya ketika ditemui Titik Baca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026), hari ini.

Lebih menarik, penglibatan Imuda dengan Salina bukanlah sesuatu yang baharu. Beliau pernah membintangi pementasan teater Salina pada tahun 1986 yang diarahkan oleh Johan Jaaffar menerusi Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dalam pementasan tersebut, beliau memegang watak Mansor, manakala watak Abdul Fakar dilakonkan oleh Allahyarham Jalil Hamid dan watak Salina dibawakan oleh Fauziah Nawi.

“Saya pernah terlibat dalam teater ini dan saya memang membaca novel tersebut. Saya tahu ceritanya, situasinya dan suasana Kampung Kambing yang digambarkan dalam novel itu. Sebab itu saya sangat teruja dapat memberi sumbangan kembali kepada Salina,” katanya.

Imuda turut menjelaskan bahawa ilustrasi wanita berkebaya yang menjadi inspirasi kepada kulit hadapan baharu itu sebenarnya berasal daripada sebuah lukisan lama beliau yang berjudul Lantai T. Pinkie.

Namun karya asal tersebut telah dibeli oleh Balai Seni Negara dan hak cipta lukisan berkenaan kini berada di bawah pemilikan institusi tersebut.

“Lukisan asal itu sebenarnya berinspirasikan watak Pinkie dalam karya drama A. Samad Said. Karakter Pinkie dan Salina lebih kurang sama. Oleh sebab karya itu sudah menjadi hak milik Balai Seni Negara, saya perlu menghasilkan lukisan yang baharu untuk kulit buku ini,” jelasnya.

Beliau berkata, meskipun ilustrasi baharu itu mengambil semangat daripada karya asal, beberapa perubahan dilakukan bagi menyesuaikannya dengan watak Salina yang digambarkan dalam novel.

“Saya ubah sedikit wajahnya menjadi lebih tegas dan garang. Pada pandangan saya, Salina ialah seorang wanita yang telah melalui pelbagai pengalaman hidup yang sukar. Dia hidup dalam suasana pascaperang dan berdepan pelbagai cabaran. Jadi saya tidak melihat Salina sebagai wanita yang terlalu ayu atau lembut. Saya melihatnya sebagai wanita yang kuat dan tegas kerana kehidupan yang ditempuhnya juga tegas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biblio Press, Kiridaren Jayakumar, merakamkan penghargaan kepada Imuda yang sanggup menghasilkan semula ilustrasi tersebut dalam tempoh yang singkat bagi memenuhi jadual percetakan sempena PBAKL 2026.

Menurut beliau, pada peringkat awal pihaknya bercadang menggunakan lukisan wanita berkebaya biru yang pernah dihasilkan Imuda, namun dimaklumkan bahawa karya berkenaan telah dijual kepada pihak lain.

“Beliau sudi melukis semula gambar yang baharu untuk Biblio Press dan menyiapkannya dalam masa yang agak cepat kerana kami mengejar tarikh percetakan sempena PBAKL,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kiridaren turut menyatakan rasa syukur atas sambutan yang diterima oleh novel Salina sepanjang tiga hari pertama pesta buku berlangsung.

“Karya Salina antara judul yang mencatatkan jualan tertinggi di reruai kami. Kami sentiasa bangga diberi peluang menerbitkan karya-karya Pak Samad, khususnya Salina. Kami juga amat menghargai sokongan Datuk Imuda dan berharap dapat bekerjasama lagi dengan beliau pada masa hadapan,” katanya.

Novel Salina edisi baharu terbitan Biblio Press kini boleh didapati sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di reruai Biblio Press. Edisi istimewa ini menampilkan ilustrasi eksklusif karya Imuda yang dihasilkan khusus untuk penerbitan baharu novel yang dianggap antara karya paling penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden itu.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *