Buku Fixi tak laku

Bukufixikerabat

KUALA LUMPUR — Jualan novel terbitan Fixi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 dilihat lebih perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya, meskipun pelbagai promosi dan diskaun telah ditawarkan kepada pembaca.

Pengarah Fixi, Iqbal Abu Bakar berkata daripada tiga judul novel edisi kulit keras yang diterbitkan khas sempena PBAKL 2026, hanya novel Identiti karya Syafiq Aizat menunjukkan prestasi jualan yang memberangsangkan.

Menurut beliau, dua lagi judul iaitu Ambivert karya Abstrakim dan Kerabat karya Nadia Khan tidak mencatatkan kadar jualan yang sama.

“Tahun ini agak kurang untuk semua edisi kulit keras edisi terhad. Kami ada tiga novel edisi kulit keras sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026. Kecuali buku Syafiq Aizat, Identiti, dua lagi buku iaitu Ambivert dan Kerabat tidak selaju jualannya.

“Biasanya buku Syafiq Aizat untuk tiga hari pesta buku ini akan habis terjual walaupun agak lewat. Selalunya menjelang petang stok hari itu sudah habis,” katanya ketika ditemui Titik Baca di PBAKL, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa setiap judul edisi kulit keras dicetak sebanyak 500 naskhah, manakala sekitar 40 naskhah bagi setiap tajuk akan ditambah ke reruai setiap pagi sepanjang pesta buku berlangsung.

Namun begitu, stok harian bagi Kerabat dan Ambivert masih belum berjaya dihabiskan oleh pembeli setiap hari.

Iqbal berpendapat perubahan corak perbelanjaan pembaca mungkin menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi situasi tersebut.

“Kemungkinan sebab orang sekarang nak berjimat dan lebih mementingkan ceritanya sahaja. Jadi buku kulit nipis pun sudah memadai untuk dimiliki,” ujarnya pasrah.

Beliau turut mengakui bahawa keadaan tersebut berbeza berbanding beberapa tahun lalu apabila edisi terhad sering menjadi buruan pembaca walaupun dijual tanpa sebarang potongan harga.

Menurutnya, pada masa lalu promosi pembelian buku secara pukal seperti tiga buku pada harga RM50 tidak melibatkan edisi terhad, namun jualannya tetap kukuh.

“Kalau dulu, kita buat promosi tiga buku RM50 tetapi tidak termasuk edisi terhad. Edisi terhad ketika itu dijual pada harga asal tanpa diskaun.

“Tetapi kali ini kami berikan diskaun mengikut jumlah pembelian. Pembeli mendapat diskaun 10 peratus jika membeli dua buku, 15 peratus untuk tiga buku, 20 peratus untuk empat buku dan 25 peratus bagi pembelian lima buku ke atas,” katanya.

Tambah beliau, promosi tersebut turut melibatkan novel edisi kulit keras, sekali gus menjadikan harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding kebiasaan.

“Sepatutnya jadi lebih murah, tetapi saya sendiri tidak pasti mengapa pengunjung masih berkira-kira untuk membeli edisi terhad ini,” persoalnya.

Pemerhatian di reruai Fixi sepanjang PBAKL 2026 menunjukkan bahawa minat terhadap novel-novel baharu masih kekal tinggi, namun sebahagian pembaca dilihat lebih cenderung memilih edisi biasa yang lebih mesra poket berbanding versi koleksi berkulit keras yang ditawarkan dalam jumlah terhad.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *