Randai Macbeth terbang ke Rusia

Randaimacbethrusia

KUALA LUMPUR — Produksi teater Randai Macbeth sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih untuk mewakili negara ke IX International Theatre and Education Festival-Forum (Nauruz) yang akan berlangsung di Kazan, Rusia pada 15 dan 16 Jun ini.

Penyertaan tersebut bertepatan dengan pemilihan Kazan sebagai Ibu Kota Kebudayaan Dunia Islam 2026, menjadikan bandar raya itu pusat pertemuan pelbagai program kebudayaan dan kesenian negara-negara Islam sepanjang tahun ini.

Kehadiran Randai Macbeth ke Kazan dilihat sebagai kesinambungan hubungan budaya dan industri kreatif yang semakin erat antara Malaysia dan Rusia.

Sebelum ini pada Mei, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot menyertai Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 “Russia–Islamic World: Kazan Forum”, termasuk sebagai ahli panel dalam sesi meja bulat berkaitan kerjasama industri kreatif antara kedua-dua negara.

Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerima jemputan rasmi daripada Menteri Kebudayaan Republik Tatarstan pada Januari lalu untuk menyertai festival berprestij tersebut yang dianjurkan oleh Galiasgar Kamal Tatar State Academic Theatre, sebuah institusi teater tersohor Rusia yang memiliki sejarah lebih satu abad.

Dekan PuTRA, Mohd Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem berkata, Festival Nauruz merupakan acara dwi-tahunan yang telah dianjurkan sejak tahun 1989 di bawah pentadbiran Kesatuan Soviet (USSR).

Menurut beliau, festival tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dalam kalangan penggiat teater antarabangsa melalui pertukaran pengalaman kreatif, peningkatan mutu estetik produksi teater serta memperluas integrasi masyarakat teater dunia.

“Pemilihan Randai Macbeth untuk mewakili Malaysia adalah sesuatu yang cukup bermakna. Pertama, ia sebuah teater tradisional yang menonjolkan seni budaya rantau Melayu dan kedua, Randai Macbeth ialah sebuah teater antarbudaya yang menggabungkan naskhah Barat dalam kerangka tradisi Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih membanggakan, menurut Che Kem, pihak penganjur hanya memilih dua negara luar untuk menyertai festival kali ini iaitu Malaysia dan Maghribi.

Maghribi diwakili oleh Institut Supérieur d’Art Dramatique et d’Animation Culturelle (ISADAC) menerusi persembahan Alharraz yang diinspirasikan daripada warisan puisi, zikir dan penceritaan tradisional negara tersebut.

“Ini memberi peluang kepada Malaysia memperkenalkan seni budaya kita kepada masyarakat dunia khususnya negara-negara sekitar Rusia yang mungkin asing dan jarang berpeluang menyaksikan persembahan sebegini,” katanya lagi.

Randai Macbeth mula dipentaskan pada tahun 2024 di Black Box ASWARA di bawah arahan Dr. Norzizi Zulkifli.

Produksi tersebut dibarisi pelakon teater berpengalaman seperti Juhara Ayob, Rosman Ishak, Eliza Mustaffa, Amer Amizan, Adika Zainal, Ijat Ashari serta Che Kem sendiri yang membawakan watak Macbeth.

Pada tahun 2025, produksi itu mencipta sejarah apabila merangkul lapan anugerah dalam BOH Cameronian Arts Awards Ke-20, termasuk kategori Produksi Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Utama Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik, Pengarah Muzik Terbaik, Penata Cahaya Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik dan Persembahan Berkumpulan Terbaik.

Sebelum berangkat ke Rusia, Randai Macbeth turut dipentaskan di Esplanade, Singapura sempena Pesta Raya Singapore dari 16 hingga 19 April lalu sebelum kembali dipentaskan di Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 Mei.

Kesemua persembahan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan tiket habis dijual.

Sehubungan itu, pemilihan Randai Macbeth sebagai wakil Malaysia ke Festival Nauruz dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kualiti dan pencapaian produksi tersebut di peringkat serantau dan antarabangsa.

Delegasi Malaysia yang terdiri daripada 32 anggota produksi akan berada di Rusia dari 12 hingga 19 Jun.

Keseluruhan rombongan ditaja sepenuhnya oleh Galiasgar Kamal Tatar State Academic Theatre dengan sokongan penuh MOTAC.

Sebagai penerbit dan ketua delegasi, Che Kem menyifatkan tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa sebagai satu amanah besar.

“Membawa nama Malaysia adalah beban yang besar untuk digalas, tetapi saya amat berbangga dengan usaha, komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh anggota produksi. Kami membawa misi kebudayaan dan berharap dapat membuka ruang yang lebih luas kepada para penggiat kesenian Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *