Festival Puisi Dunia Niah 2026: Martabatkan sastera sebagai produk pelancongan budaya

Perasmianniah

MIRI – Festival Puisi Dunia Niah 2026 yang berlangsung dengan gilang-gemilang di sini diiktiraf sebagai platform strategik bagi memperkukuh pembangunan pelancongan budaya di Malaysia.

Majlis perasmian festival tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, malam tadi.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa penganjuran acara bertaraf antarabangsa ini berupaya mengangkat martabat kesusasteraan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Festival ini bukan sahaja meraikan keindahan bahasa, malah menjadi ruang untuk kita menghayati keunikan Gua Niah yang merupakan tapak warisan dunia UNESCO yang sangat penting,” ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa sastera membolehkan masyarakat moden memahami pemikiran dan asal-usul tamadun terdahulu.

Festival yang bertemakan “Gema Niah: Puisi, Warisan, dan Kemanusiaan” ini menghimpunkan para penyair dan tokoh sastera dari dalam dan luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat, Uzbekistan, Jepun dan Korea.

Selain deklamasi puisi, para peserta dijadualkan melawat Gua Niah untuk menelusuri jejak sejarah peradaban manusia yang berusia lebih 40,000 tahun bagi mendapatkan inspirasi karya.

Chiew turut merakamkan penghargaan kepada sinergi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), dan Nusa Centre yang bertindak sebagai penggerak utama festival ini.

Sebagai simbolik sokongan terhadap dunia sastera, beliau sendiri turut mendeklamasikan puisi bertajuk “Buku-Buku” yang menyentuh peranan buku sebagai jendela dunia.

Penganjuran festival ini juga merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka yang akan mencapai kemuncaknya di Kuching pada Julai depan.

Dengan kehadiran penyair antarabangsa, acara ini diharapkan dapat membuka ruang dialog budaya dan memperkenalkan keunikan warisan Sarawak kepada khalayak global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *