Sudah lama saya tidak keluar dari pawagam dengan perasaan yang begitu berat selepas menonton sebuah filem. Kebiasaannya, rasa takut akan hilang sebaik sahaja lampu panggung wayang menyala.
Obsession (2025), sebuah filem seram psilogikal tulisan, arahan dan suntingan Curry Barker meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya. Filem itu terus menghantui fikiran saya berjam-jam selepas tayangan tamat.
Filem ini tidak menjadikan jumpscare sebagai sandaran utama untuk mengejutkan penonton. Sebaliknya, ketakutan dibentuk secara beransur-ansur melalui tekanan psikologi yang diterjemahkan oleh mise-en-scène serta ritma penceritaan. Dan perkara yang paling dominan dalam naskhah filem ini adalah mutu lakonan pelakonnya.
Aspek inilah yang menjadikan persembahan Nikki, lakonan Inde Navarrette begitu menonjol. Lakonannya memperlihatkan kefahaman yang mendalam terhadap pembinaan emosi melalui bahasa tubuh dan ekspresi wajah.
Beliau tidak bergantung kepada dialog yang berlebihan untuk menjelaskan konflik dalaman wataknya. Sebaliknya keresahan, ketidakpastian dan ketakutan disampaikan melalui perubahan kecil pada mimik muka, pandangan mata, ritma pernafasan serta gerak tubuh yang tampak semakin terhad apabila tekanan psikologi memuncak.
Unsur-unsur yang kelihatan sederhana ini sebenarnya menjadi instrumen penting dalam membentuk hubungan emosi antara watak dengan penonton.
Pendekatan sedemikian mengingatkan kepada pandangan Konstantin Stanislavski bahawa lakonan yang berkesan lahir daripada kebenaran emosi, bukannya sekadar meniru perlakuan manusia.
Bagi Stanislavski, penonton hanya akan percaya kepada sesuatu watak apabila pelakon benar-benar “mengalami” keadaan emosi tersebut, bukan sekadar mempamerkannya.
Prinsip inilah yang dapat dikesan dalam persembahan Navarrette. Emosi yang dipersembahkan terasa organik, tidak dipaksa dan berkembang selari dengan perjalanan naratif filem.
Dalam konteks ini juga, kata-kata Sanford Meisner bahawa “acting is living truthfully under imaginary circumstances” menjadi sangat signifikan.
Kata-kata ini bermakna bahawa lakonan bukan sekadar menyampaikan dialog dengan baik, tetapi menghidupkan realiti emosi dalam dunia fiksyen sehingga penonton melupakan kewujudan kamera dan percaya sepenuhnya kepada watak yang sedang mereka saksikan.
Oleh yang demikian, Inde Navarrette berjaya mencapai tahap tersebut apabila setiap reaksi yang dipersembahkan kelihatan lahir secara spontan.
Seolah-olah saya sebagai penonton pun agak terganggu dengan lakonannya yang seakan dirasuk oleh suatu entiti asing.
Keberkesanan persembahan ini turut membuktikan bahawa dalam filem seram, rasa takut tidak semestinya terhasil melalui bunyi yang mengejutkan atau visual yang mengganggu, sebaliknya ketakutan yang paling berkesan lahir apabila pelakon berjaya menguasai komunikasi bukan verbal.
Seperti yang pernah dihuraikan oleh Jerzy Grotowski, tubuh pelakon ialah medium ekspresi yang paling jujur kerana setiap gerak, jeda dan perubahan tenaga mampu membawa makna dramatik tanpa memerlukan penjelasan melalui kata-kata.
Oleh itu, kekuatan lakonan Navarrette bukan sekadar terletak pada keupayaannya menzahirkan rasa takut, sebaliknya pada kemampuannya mengubah ketakutan itu menjadi pengalaman yang dikongsi bersama penonton.
Melalui ekspresi yang terkawal, bahasa tubuh yang penuh disiplin dan kejujuran emosinya, beliau menjadikan Nikki bukan sekadar watak dalam sebuah filem seram, tetapi sebuah manifestasi psikologi yang hidup.
Inilah bentuk lakonan yang melangkaui fungsi naratif semata-mata, lalu menjadi elemen estetik yang memperkukuh keseluruhan pengalaman sinematik Obsession.
Jika ditelusuri daripada sudut semiotik Roland Barthes, ekspresi dan bahasa tubuh yang dipamerkan oleh Navarrette tidak lagi berfungsi sebagai sekadar “tanda” yang menunjukkan emosi watak.
Sebaliknya setiap renungan yang terhenti, setiap jeda yang sengaja dipanjangkan dan setiap perubahan postur tubuh menjadi rangkaian penanda (signifier) yang mengundang penonton membina makna mereka sendiri.
Dalam erti kata lain, lakonan tersebut tidak memberikan jawapan secara langsung, tetapi membuka ruang tafsiran yang menjadikan pengalaman menonton lebih bersifat peribadi.
Penonton bukan sahaja melihat Nikki sebagai seorang mangsa, bahkan sebagai representasi trauma, rasa bersalah dan ketakutan yang sukar diterjemahkan melalui bahasa lisan.
Pendekatan ini bertepatan dengan konsep realisme psikologi yang meletakkan konflik dalaman sebagai pusat pembinaan watak.
Ketakutan yang dipersembahkan tidak muncul sebagai reaksi yang bersifat luaran semata-mata. Sebaliknya berkembang daripada pergolakan emosi yang perlahan, kompleks dan meyakinkan.
Justeru, setiap tindakan Nikki kelihatan mempunyai motivasi psikologi yang jelas, sekali gus menjadikan watak itu terasa dekat dengan pengalaman manusia sebenar.
Penonton akhirnya tidak sekadar menyaksikan sebuah kisah seram, malah turut merasai keresahan yang sedang membelenggu jiwa watak tersebut.
Dalam konteks ini, pengalaman menonton Obsession terasa hampir sama seperti pengalaman membaca sebuah karya sastera seram yang kuat dari sudut naratif.
Ketakutan tidak hadir kerana pengarang atau pengarah memaksa pembaca dan penonton untuk berasa takut, sebaliknya kerana mereka berjaya membina suasana yang perlahan-lahan meresap ke dalam fikiran.
Perasaan cemas itu terus hidup walaupun halaman terakhir sudah ditutup atau kredit penutup sudah selesai ditayangkan.
Hal ini mengingatkan kepada karya-karya Stephen King yang terkenal dengan keupayaannya menggali ketakutan melalui psikologi manusia sebelum unsur seram itu sendiri muncul.
Dalam The Shining misalnya, rasa ngeri lahir daripada keretakan mental Jack Torrance yang berkembang sedikit demi sedikit, sehingga penonton dan pembaca tidak lagi dapat membezakan sempadan antara realiti dengan halusinasi.
Begitu juga Shirley Jackson menerusi The Haunting of Hill House yang memperlihatkan bagaimana ruang, kesunyian dan emosi mampu menjadi simbol yang lebih menakutkan daripada kemunculan entiti ghaib itu sendiri.
Dalam kesusasteraan tempatan pula, kekuatan sedemikian dapat ditemukan dalam karya-tulisan Ramlee Awang Murshid. Walaupun bergerak dalam ranah thriller dan seram, beliau membina ketegangan melalui perkembangan psikologi watak dan lapisan misteri yang tersusun.
Bukannya bergantung kepada kejutan semata-mata. Pembaca terus terdorong untuk menyelak halaman demi halaman kerana naratifnya sentiasa meninggalkan persoalan yang mengganggu fikiran.
Demikian juga karya Tamar Jalis menerusi siri Bercakap Dengan Jin, yang kekuatannya bukan sekadar pada kemunculan makhluk ghaib, tetapi pada cara beliau membina atmosfera, mitos dan pengalaman batin watak sehingga membuatkan para pembaca seakan-akan turut hadir dalam ruang cerita tersebut.
Atas dasar itulah, lakonan Navarrette boleh dianggap berfungsi seperti sebuah teks sastera yang kaya dengan lapisan makna.
Setiap ekspresi wajah, setiap gerak tubuh dan setiap detik diamnya dapat “dibaca” sebagaimana kita menafsir simbol, metafora dan subteks dalam sebuah novel.
Apabila lakonan mencapai tahap sedemikian, ia tidak lagi sekadar menjadi pelengkap kepada naratif filem, hakikatnya berubah menjadi bahasa estetik yang berdiri sendiri.
Penonton tidak sekadar menyaksikan sebuah persembahan, realitinya membaca emosi melalui tubuh pelakon, sebagaimana mereka membaca sebuah karya seram yang ditulis dengan penuh ketelitian dan kejujuran artistik.
Dalam konteks itulah, Obsession membuktikan bahawa filem seram yang benar-benar berkesan bukanlah filem yang paling banyak mengejutkan penonton, tetapi filem yang paling lama menghantui fikiran mereka.
Dan pencapaian itu tidak mungkin terhasil tanpa lakonan yang berupaya menghidupkan jiwa sesebuah watak sehingga batas antara fiksyen dengan realiti terasa semakin kabur.
Apabila kredit penutup mula bergulir, yang kekal bersama penonton bukan lagi adegan seramnya, tetapi wajah, bahasa tubuh dan luka emosi Nikki yang terus menghuni ingatan.
Di situlah terletaknya kemenangan sebenar filem Obsession. Naskhah ini secara langsung mengusik akal yang mentafsir dan jiwa yang merasai.













