KUALA LUMPUR – Sekumpulan penerbit dan penulis telah memfailkan satu tindakan kelas terhadap Google atas dakwaan melakukan pelanggaran hak cipta secara sengaja dengan menggunakan berjuta-juta karya berteks bagi melatih model kecerdasan buatan (AI) Gemini.
Tindakan undang-undang yang difailkan pada 10 Julai 2026 itu melibatkan Hachette Book Group, Cengage Learning Inc., Elsevier Inc., serta penulis tersohor Scott Turow.
Mereka mendakwa Google telah menyalin dan menggunakan karya-karya berhak cipta tanpa kebenaran untuk membangunkan large language model (LLM) Gemini.
Menurut aduan yang difailkan, skop tindakan tersebut meliputi pelbagai jenis karya termasuk novel, bukan fiksyen, buku kanak-kanak, memoir, puisi, bahan pendidikan serta artikel ilmiah.
Para penerbit dan penulis menegaskan bahawa tindakan ini bertujuan mempertahankan hak harta intelek mereka daripada dieksploitasi tanpa kebenaran.
Sebelum ini, kumpulan penerbit berhasrat untuk menyertai prosiding In re Google Generative AI Copyright Litigation sebagai pencelah.
Namun, pemfailan tindakan baharu ini dibuat bagi memastikan mereka dapat mengekalkan hak untuk mengemukakan semua tuntutan terhadap Google, termasuk tuntutan yang tidak termasuk dalam tindakan kelas sedia ada.
Dalam aduan tersebut, Google didakwa memperoleh dan menyalin sejumlah besar buku serta artikel jurnal yang sebelum ini disediakan hanya untuk kegunaan terhad melalui Google Books dan perkhidmatan Google yang lain.
Syarikat itu turut didakwa memuat turun kandungan daripada salinan web tanpa kebenaran yang merangkumi hampir keseluruhan internet, termasuk daripada laman cetak rompak dan kandungan di sebalik tembok langganan (paywall).
Dokumen mahkamah itu turut mendakwa Google menggandakan salinan karya-karya tersebut berulang kali bagi melatih sistem AI Gemini yang bernilai berbilion dolar.
Selain itu, Google didakwa membuang maklumat pengurusan hak cipta (copyright management information) daripada karya berkenaan bagi menyembunyikan sumber latihan model AI tersebut serta memudahkan penggunaan tanpa kebenaran.
Plaintif juga mendakwa Gemini dibangunkan sebagai satu perkhidmatan yang mampu menghasilkan kandungan yang secara langsung boleh menggantikan karya asal, sekali gus memberi kesan kepada pasaran dan nilai ekonomi karya-karya berhak cipta.
Sebagai menyokong dakwaan bahawa Google mengetahui tindakannya tidak mendapat kebenaran, aduan tersebut turut merujuk kepada beberapa dokumen dalaman syarikat. Antaranya, Google dikatakan mengakui penggunaan buku berhak cipta daripada Google Play Books untuk latihan AI adalah “sangat bermasalah” dan berpotensi menyebabkan syarikat berdepan denda antara AS$10 bilion hingga AS$100 bilion.
Dokumen dalaman itu juga didakwa menunjukkan Google menjangkakan penerbit akan menganggap penggunaan buku mereka untuk latihan model bahasa besar (LLM) sebagai pelanggaran hak cipta dan berkemungkinan menarik balik kandungan daripada Google Play Books serta mengambil tindakan undang-undang.
Selain itu, analisis dalaman Google turut mengenal pasti beberapa isu utama termasuk lesen kandungan rakan penerbit yang bersifat terhad, sensitiviti penerbit terhadap penggunaan data mereka bagi latihan AI, serta risiko yang lebih tinggi terhadap pembelaan berasaskan prinsip fair use.
Plaintif turut mendakwa bahawa pemegang hak cipta telah memaklumkan kepada Google bahawa karya yang diberikan untuk program-program tertentu tidak boleh digunakan di luar skop asal, termasuk bagi tujuan melatih model AI.
Kes ini dijangka menjadi satu lagi perkembangan penting dalam perdebatan global mengenai penggunaan karya berhak cipta untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan generatif serta hak penerbit dan penulis dalam era AI.
Pengguna boleh membaca fail penuh di sini.













