MIFFest Ke-9 angkat Malaysia sebagai hentian sinema serantau

Miffestopening

KUALA LUMPUR — Festival Filem Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Film Festival, MIFFest) Ke-9 membuka tirainya secara rasmi malam ini dengan penuh gilang-gemilang menerusi majlis pembukaan yang berlangsung di MyTOWN Shopping Centre, sekali gus menghimpunkan pembikin filem, penggiat industri, pengkritik, media serta pencinta seni sinema dari dalam dan luar negara.

Festival yang berlangsung selama lapan hari bermula 18 hingga 25 Julai itu mengangkat tema “Resonance”, yang membawa makna bagaimana sesebuah karya filem terus meninggalkan kesan, mencetuskan perbualan dan membina hubungan merentasi budaya, generasi serta sempadan.

Majlis pembukaan tahun ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila MIFFest menerima pengiktirafan rasmi daripada ASEAN Records atas sumbangannya membangunkan platform sinema Asia Tenggara menerusi program ASEAN On Screen serta penganjuran tahunan Malaysia Golden Global Awards (MGGA).

Acara dimulakan dengan karpet merah yang menyaksikan kehadiran ramai tokoh industri perfileman tempatan dan antarabangsa.

Antara yang hadir ialah penerbit eksekutif filem pembukaan BAGA: Tomorrow Belongs To No One, Shafiq Yusof, pengarah Ariff Zulkarnain, pelakon Syafiq Kyle serta pelakon Kemboja yang semakin dikenali di rantau Asia Tenggara, Sarita Reth.

Turut memeriahkan acara ialah pelakon dan pengarah Nam Ron, pelakon June Lojong, personaliti Jojo Goh serta para pembikin filem dan delegasi festival dari pelbagai negara.

Majlis pembukaan disempurnakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengasas dan Presiden MIFFest, Joanne Goh, bersama tiga Duta MIFFest 2026 iaitu Bront Palarae, Daiyan Trisha dan Jack Tan.

Dalam ucapannya, Joanne menjelaskan bahawa tema “Resonance” dipilih bagi menggambarkan kekuatan sesebuah karya yang mampu hidup lebih lama daripada tempoh tayangannya.

“Tahun ini, tema kami ialah Resonance. Resonance ialah gema yang kekal daripada sesebuah cerita. Ia merupakan emosi yang terus hidup lama selepas tayangan berakhir, perbualan yang berterusan di luar pawagam, serta hubungan yang dicipta oleh filem merentasi budaya, generasi dan sempadan,” katanya.

Beliau berkata, setiap filem mungkin mempunyai penghujungnya, namun nilai sebenar sesebuah karya terletak pada kesannya terhadap penonton.

“Walaupun setiap filem akhirnya sampai ke penghujungnya, impak sebenar sesebuah karya terletak pada perbualan yang tercetus, empati yang dibina, serta hubungan bermakna yang terus kekal dalam diri penontonnya,” tambahnya lagi.

Majlis turut diserikan dengan ucapan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy yang menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong MIFFest sebagai platform yang memperkukuh industri kreatif negara di samping mempromosikan diplomasi budaya Malaysia kepada dunia.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Sebagai menghargai jasa dan sokongan mereka terhadap festival, Joanne turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada ketiga-tiga Duta MIFFest sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam mempromosikan sinema Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan ASEAN Records

Salah satu kemuncak malam pembukaan ialah penyampaian pengiktirafan rasmi ASEAN Records kepada MIFFest, sekali gus mengiktiraf festival itu sebagai peneraju dalam menyediakan platform berterusan untuk sinema Asia Tenggara menerusi program ASEAN On Screen.

Menerima pengiktirafan itu bagi pihak MIFFest, Joanne berkata pengenalan ASEAN On Screen pada asalnya didorong oleh hasrat untuk memperkenalkan suara dan cerita dari rantau Asia Tenggara kepada khalayak global.

“Apabila kami memperkenalkan ASEAN On Screen, visi kami adalah untuk mewujudkan sebuah platform yang berkekalan bagi meraikan, memperkenalkan dan berkongsi kisah-kisah dari Asia Tenggara kepada dunia. Melalui sinema, kami berharap dapat terus menghubungkan kepelbagaian suara di rantau ini dengan penonton antarabangsa serta memberi inspirasi kepada generasi pembikin filem akan datang,” katanya.

Program ASEAN On Screen mula diperkenalkan sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 sebelum dijadikan program tahunan tetap MIFFest.

Selain tayangan filem dari negara-negara ASEAN, program tersebut turut merangkumi forum industri serta pelbagai bentuk kerjasama rentas sempadan yang memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab sinema serantau.

Pada majlis sama, penghargaan turut diberikan kepada Jawatankuasa Pemilihan Awal MIFFest, Panel Juri Peringkat Separuh Akhir serta Panel Juri Peringkat Akhir atas sumbangan mereka dalam proses pemilihan filem-filem yang bertanding tahun ini.

BAGA buka tirai festival

Sejurus selesai majlis pembukaan, tetamu jemputan beralih ke GSC MyTOWN bagi menyaksikan tayangan perdana dunia filem pembukaan festival, BAGA: Tomorrow Belongs To No One.

Filem arahan Ariff Zulkarnain itu mengisahkan kehidupan Jani dan Melur, dua anak muda di sebuah perkampungan pesisir Pantai Timur yang berdepan kemiskinan, kehamilan tidak dirancang, penyalahgunaan dadah dan pelbagai cabaran kehidupan sehingga memaksa mereka membuat pilihan-pilihan yang sukar demi meneruskan hidup.

Diinspirasikan daripada pengalaman hidup pengarah sendiri, BAGA mengangkat tema cinta, ketabahan, penebusan dan harapan, sekali gus mencerminkan tema “Resonance” yang menjadi tunjang MIFFest tahun ini.

Pelbagai program antarabangsa

Memasuki edisi kesembilan, MIFFest terus memperluaskan jaringan antarabangsa melalui pelbagai program khas yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan penceritaan global.

Antara program utama ialah Russian Film Week, hasil kerjasama Kementerian Kebudayaan Persekutuan Rusia, ROSKINO dan Mosfilm yang menawarkan tayangan percuma empat filem Rusia bertaraf antarabangsa kepada pengunjung festival.

Selain itu, MIFFest 2026 turut menampilkan pelbagai program lain seperti ASEAN On Screen, Hong Kong Cinema in Flux, New Rhythms of Indian Cinema, Open Air Cinema, kelas induk, forum industri serta pelbagai sesi perkongsian yang mempertemukan pembikin filem dari seluruh dunia.

Kesemua program tersebut mengukuhkan kedudukan MIFFest sebagai antara festival filem paling berpengaruh di Asia Tenggara dalam memupuk kerjasama industri dan pertukaran budaya melalui medium sinema.

Tiket bagi semua tayangan festival dijual pada harga RM15 menerusi laman sesawang GSC, aplikasi GSC Mobile serta kiosk GSC di MyTOWN.

Pengunjung juga menikmati potongan 15 peratus bagi pembelian makanan dan minuman terpilih sepanjang festival berlangsung.

Majlis pembukaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi MIFFest, membolehkan penonton dari seluruh dunia mengikuti detik bersejarah pembukaan festival berkenaan.

Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) Ke-9 berlangsung dari 18 hingga 25 Julai 2026, mengangkat slogan “Come See A Film, Come See The World”, sekali gus mengajak orang ramai menikmati karya-karya sinema yang merentasi sempadan budaya dan terus bergema dalam jiwa penonton.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *