IPOH — Penulis prolifik kelahiran Perak, Hafizah Iszahanid, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri sempena Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) Ke-9, sekali gus mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam memperkaya khazanah kesusasteraan Melayu melalui karya-karya yang sarat dengan pemikiran, sejarah, kemanusiaan dan pembinaan negara bangsa.
Pengiktirafan tertinggi itu diberikan selepas Panel Penilai meneliti pencalonan lima tokoh sastera yang layak dipertimbangkan, iaitu Hafizah Iszahanid, Mohamad Saleeh Rahamad, Zabidin Haji Ismail, Rosmiaty Shaari dan Salina Ibrahim.
Berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap sumbangan berterusan calon, pencapaian karya di peringkat negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa, selain pengaruh pemikiran serta peranan dalam pengembangan kesusasteraan Melayu, panel sebulat suara memilih Hafizah sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri bagi tempoh penilaian 2024/2025.
Anugerah tersebut mengangkat perjalanan lebih tiga dekad Hafizah sebagai pengarang yang konsisten menghasilkan karya bermutu tinggi, di samping memainkan peranan penting dalam perkembangan dunia sastera tanah air.
Anak kelahiran Chemor, Perak yang dilahirkan pada 17 Oktober 1975 itu menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Syed Idrus, Chemor sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Chemor dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Anglo Chinese, Ipoh.
Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan (Kepujian) dari Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2000 dan Ijazah Sarjana Pengajian Melayu (Kesusasteraan Melayu) dari Universiti Malaya pada tahun 2017.
Kini beliau berkhidmat sebagai Penolong Pengarang Berita di meja rencana Berita Harian yang meliputi bidang rencana, sastera dan pendidikan.
Hafizah mula menceburi dunia penulisan sejak usia remaja dan pernah menyertai Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1994.
Penyertaan itu menjadi titik penting yang membentuk perjalanan kreatifnya sehingga beliau muncul sebagai antara novelis dan cerpenis paling produktif di Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan sepuluh buah novel, antaranya Nokhtah di Hujung Rindu (2005), Kala Hujan Menitis (2007), Andainya Kukembali (2009), Sehiris Bulan (2011), Deru Angin (2012), Lelaki Januari (2014), Nanyang (2014), Bukan Orang-orang (2015), Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (2021) dan Tabula Rasa (2021).
Selain novel, Hafizah turut menghasilkan empat kumpulan cerpen, iaitu Ayam Patah Kepak (2013), Perempuan Berambut Merah (2015), Dalam Dakap New York (2015) dan Mulieres (2019), di samping puluhan cerpen eceran yang memenangi pelbagai hadiah sastera.
Menurut laporan panel penilai, kekuatan utama Hafizah terletak pada kemampuannya menggabungkan gagasan pemikiran yang besar dengan teknik penceritaan yang matang.
Beliau menulis tentang pelbagai isu yang dekat dengan masyarakat, khususnya sejarah, politik, wanita, agama, identiti bangsa dan kemanusiaan.
Dalam novel Deru Angin, misalnya, beliau mengangkat isu Islamofobia dan prasangka Barat terhadap Islam serta bangsa Melayu melalui kisah seorang pemuda berdarah campuran yang berusaha memahami akar budayanya.
Novel tersebut memperlihatkan bagaimana pengarang membezakan antara adat dan agama serta mengetengahkan kepentingan ilmu dalam membina kefahaman terhadap identiti bangsa dan agama.
Novel Nanyang pula mengangkat sejarah Tanah Melayu sebelum kemerdekaan dengan menelusuri persoalan nasionalisme, integrasi kaum dan semangat perjuangan membina sebuah negara yang merdeka.
Melalui watak-watak daripada latar kaum yang berbeza, Hafizah menampilkan naratif bahawa kemerdekaan dan kemajuan negara hanya dapat dicapai melalui pengorbanan bersama tanpa mengira latar belakang etnik.
Persoalan perpaduan terus menjadi teras dalam novel Bukan Orang-orang, yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia selepas muncul sebagai karya cemerlang dalam Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH.
Novel tersebut menampilkan hubungan erat masyarakat Melayu dan Cina yang akhirnya diuji oleh sentimen perkauman serta pergolakan politik, sekali gus menjadi sindiran terhadap masyarakat yang mudah dipengaruhi kebencian dan prasangka.
Melalui Kuala Lumpur di Sebalik Bulan, Hafizah mengangkat kisah kehidupan wanita-wanita marginal di ibu kota yang bergelut dengan kemiskinan bandar, dominasi lelaki dan penyalahgunaan kuasa.
Novel tersebut memenangi hadiah utama Sayembara Penulisan Kuala Lumpur World Book City dan dipuji kerana berjaya merakam realiti sosial di sebalik kemodenan kota.
Sementara itu, novel futuristik Tabula Rasa memperlihatkan keberanian Hafizah meneroka dimensi baharu dalam penulisan.
Berlatar tahun 2038, novel tersebut membicarakan konflik politik, institusi raja, pencarian jati diri bangsa serta cabaran mempertahankan kedaulatan negara dalam dunia yang semakin moden dan kompleks.
Panel penilai menyifatkan keseluruhan karya Hafizah memperlihatkan keupayaan luar biasa dalam mengangkat isu-isu besar negara melalui naratif yang segar, bersifat intelektual serta menyentuh nilai kemanusiaan sejagat.
Kecemerlangan beliau turut dibuktikan melalui pelbagai pengiktirafan sepanjang kerjaya penulisannya.
Antaranya Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat, Hadiah Karyanet, Hadiah Sastera Berunsur Islam, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan, Anugerah Buku RTM-PNM, Hadiah Sastera Perak Darul Ridzuan, Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Sayembara Novel Futuristik Malaysia GAPENA-DBP serta Sayembara Penulisan Novel Kuala Lumpur World Book City.
Pada tahun 2025, Hafizah turut mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award, sekali gus meletakkan beliau dalam kelompok penulis Malaysia yang menerima pengiktirafan sastera paling berprestij di rantau Asia Tenggara.
Karya beliau juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila cerpen “Nama Saya Lim Mei Ling” diterjemahkan ke dalam bahasa Thai untuk diterbitkan dalam antologi cerpen Malaysia–Thailand.
Beliau turut mewakili Malaysia dalam Bengkel Novel MASTERA di Bogor, Indonesia pada tahun 2011 serta South East Asia Literature Forum di Jakarta pada tahun 2016.
Penganugerahan Anugerah Sasterawan Negeri kepada Hafizah Iszahanid bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan seorang pengarang kelahiran Perak, malah menjadi penghargaan terhadap ketekunan beliau mengangkat persoalan bangsa, sejarah, perpaduan, agama, wanita dan kemanusiaan melalui karya-karya kreatif yang signifikan kepada perkembangan kesusasteraan Melayu.
Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Hafizah sebagai antara pengarang penting dalam landskap sastera Malaysia masa kini.













