KUALA LUMPUR — Balai Seni Negara bakal menghimpunkan 47 pempamer daripada pelbagai sektor ekosistem seni visual negara menerusi penganjuran Malaysia Art Ecosystem Fair (MAEF) 2026 yang berlangsung pada 27 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bertemakan “ART KL”, MAEF 2026 dianjurkan oleh Balai Seni Negara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai platform memperkukuh jaringan kerjasama, memperluas peluang pasaran serta mengetengahkan seni visual tempatan sebagai tarikan pelancongan budaya, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulung pada 2021, MAEF kali ini memberi penekanan kepada peningkatan daya saing industri, pembangunan pasaran yang mampan serta peluasan kerjasama pada peringkat domestik dan antarabangsa.
Sebanyak 47 pempamer daripada pelbagai sektor akan mengambil bahagian, merangkumi galeri seni komersial, artis dan studio seni, kolektif serta persatuan seni visual, muzium dan galeri awam, institusi pendidikan, usahawan kreatif, pembekal bahan seni, penerbit dan penyedia perkhidmatan industri.
Pengisian MAEF 2026 dibahagikan kepada dua ruang utama, iaitu Dewan Tun Razak 3 (TR3) dan Dewan Tun Razak 4 (TR4), yang masing-masing mengetengahkan aspek industri, pendidikan, komuniti seni dan seni kontemporari.
TR3 memberi tumpuan kepada penyertaan industri, komuniti seni dan inovasi kreatif menerusi pameran produk kreatif, bahan serta peralatan seni, penerbitan dan perkhidmatan berkaitan seni visual.
Antara institusi yang mengambil bahagian termasuk Sekolah Seni Malaysia Johor, Galeri Shah Alam, Sabah Art Gallery, Arkib Negara Malaysia, Yayasan Warisan Johor dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Melaka.
Penyertaan turut melibatkan pelbagai galeri, persatuan, kolektif dan studio seni seperti The Malaysian Watercolour Society (MWS), Persatuan Seni Visual Malaysia, Angkatan Pelukis Kedah, Kapallorek Artspace, GMBB, Rumah Seni Garis, ATMA CONTEMPORARY dan Segerak Art Group (SAG).
Selain pameran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai bengkel dan demonstrasi seni sepanjang program berlangsung bagi mengenali proses penghasilan karya, meningkatkan pengetahuan serta memperoleh pengalaman secara langsung dalam bidang seni visual.
Sementara itu, TR4 memberi tumpuan kepada seni kontemporari menerusi penyertaan 10 pempamer, termasuk Galeri Puteh, Artas Gallery, Galeri Sasha, Sedar Space Gallery, La Galerie Monde, G-13 Gallery, Sareng Gallery, WL Art Gallery, Capital Fine Art serta Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, Universiti Sains Malaysia (USM).
Ruang berkenaan turut menyediakan Ruang Wacana sebagai platform perkongsian ilmu dan perbincangan mengenai pelbagai isu serta perkembangan seni visual.
MAEF 2026 turut mendapat sokongan Media Prima Berhad sebagai Rakan Media dan CHAGEE Malaysia sebagai Rakan Minuman Eksklusif.
Balai Seni Negara turut merakamkan penghargaan kepada Tourism Malaysia, Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur atas sokongan yang diberikan.
Penganjuran MAEF 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan industri seni visual melalui pengukuhan jaringan kerjasama, peluasan peluang pasaran dan peningkatan aktiviti ekonomi kreatif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan budaya negara.
Orang ramai dijemput mengunjungi MAEF 2026 pada 27 November, dari jam 6.00 petang hingga 10.00 malam, serta 28 dan 29 November, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di WTCKL.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi Balai Seni Negara, www.artgallery.gov.my, atau media sosial rasminya.












