Pereka grafik JIWA nafi tuduhan penggunaan AI pada sampul novel A. Shukran

KUALA LUMPUR — Pereka grafik Raiha Bahaudin tampil membuat penjelasan rasmi berhubung dakwaan bahawa sampul buku terbitan JIWA yang baru dihasilkan menggunakan kepintaran buatan (AI), susulan perbincangan hangat di platform Threads sejak beberapa hari lalu.

Halaman sampul buku baru yang dimaksudkan ialah novel Biru: Mereka Mati Tetapi Kembali karya A. Syukran yang dimuat naik oleh JIWA pada Sabtu di laman Threads bagi undian pemilihan sampul hadapan oleh peminat buku.

Menurut Raiha, tuduhan tersebut tidak berasas memandangkan keseluruhan proses pembikinan sampul buku berkenaan dilakukan secara manual menggunakan perisian reka bentuk profesional.

Beliau menjelaskan bahawa reka bentuk itu dihasilkan menggunakan perisian Adobe Photoshop dengan lesen sah, selain memanfaatkan aset grafik berlesen daripada platform stok seperti Freepik dan Rawpixel.

Raiha turut menyatakan bahawa pendekatan photo manipulation digunakan bagi memastikan ketepatan skala, komposisi dan kesepaduan visual, selain sokongan lakaran digital menggunakan peranti XP-Pen jika diperlukan.

“Cover Biru ni nampak minimalis. Tapi sampai ada 14 layer. Saya nak attach sekali screenshot file PSD di sini. Boss kata tak perlu justify berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada hari ini.

Beliau menzahirkan kekesalan apabila dakwaan tersebut bukan sahaja berlarutan tanpa bukti, malah turut melibatkan pihak-pihak yang dikenalinya sendiri.

Lebih membimbangkan, tuduhan berkenaan dikhuatiri menjejaskan penerimaan terhadap novel berkenaan serta reputasi penulis debut, Syukran Mohamad, yang baru memulakan langkah dalam dunia penerbitan.

Dalam kenyataan sama, Raiha menegaskan bahawa pihak penerbit memilih untuk tidak memberi reaksi berlebihan terhadap spekulasi tersebut, sambil menekankan bahawa beban pembuktian seharusnya terletak pada pihak yang membuat tuduhan.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *