Saya amat kecewa membaca esei Mohamed Nasser Mohamed dalam web portal FMT kerana kegagalannya melihat secara keseluruhan penganjuran Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025 yang tempang ketimbang soal tiada pemenang utama semata-mata, sedangkan Nasser adalah seorang karyawan dan editor perunding yang terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008 menurut nota kaki akhir tulisannya.
Nasser memulakan tulisan dengan mengajar khalayak tentang bingkai pertandingan, seolah-olah ekosistem penulis ini sekumpulan jiwa yang merajuk kerana tidak dipujuk.
Di sini, beliau melakukan kesilapan asas dalam membaca sentimen khalayak sastera di mana beliau menukar isu tatakelola menjadi sekadar isu psikologi.
Realitinya, rata-rata penulis bukan sedang menuntut belas, tetapi mereka menuntut peta.
Mereka bukan mempertikaikan hak juri untuk memutus, tetapi mempertikaikan kewajipan institusi untuk menerangkan dengan aras yang setara apabila juri memilih keputusan yang luar biasa keras.
Apabila puncak pertandingan dikosongkan, kekosongan itu bukan lagi keputusan semata-mata bahkan menjadi naratif awam tentang mutu sebuah generasi juri dan kewibawaan sebuah institusi.
Lebih buruk, Nasser cuba menjadikan ayat “keputusan juri adalah muktamad” sebagai palang yang menutup mulut. Itu cara fikir yang amat bahaya.
Muktamad ialah penamat pertikaian, bukan sesekali pengganti kepada penjelasan.
Kontrak intelektual antara penganjur dan peserta bukan sekadar meminta peserta akur, tetapi menuntut penganjur berlaku telus dan cermat, terutama apabila hasilnya mencipta lompong yang menelan kepercayaan.
Dalam Sayembara Penulisan Kreatif DBP 2025, pihak penganjur sendiri mengakui bahawa prosesnya berperingkat, kriterianya umum, dan penyertaannya mencecah 419 manuskrip.
Lalu apabila “mutu tinggi didapati terhad menyebabkan hadiah tertinggi tidak dapat dipertandingkan”, kenyataan itu berbunyi seperti pintu besi yang ditutup tanpa tingkap, tegasnya amat tetapi perincian penjelasannya gelap-gelemat.
Salah contoh
Nasser kemudian memetik Jepun dan Hugo Awards bagi memoles keputusan DBP sebagai “fenomena global”.
Petikan itu hakikatnya tangkap muat kerana beliau melihat isu secara separuh, lalu menamakan separuh itu sebagai keseluruhan.
Ya, benar, ada anugerah di peringkat dunia yang membenarkan ketiadaan pemenang.
Hugo Awards, misalnya, memang menyediakan pilihan “No Award” pada undi akhir tetapi mekanismenya dijelaskan secara terbuka, termasuk cara “No Award” berfungsi dalam kedudukan undian.
Akutagawa Prize dan Naoki Prize pula memang pernah melalui pusingan tanpa pemenang, tetapi dokumen catatan sejarahnya tersedia dengan begitu terperinci, bahkan media melaporkan keadaan itu adalah amat jarang berlaku apabila kedua-dua anugerah itu serentak tiada pemenang.
Namun Nasser menutup mata pada perbezaan yang paling menentukan, iaitu perbezaan antara “keputusan tiada pemenang” dengan “proses yang membuat keputusan itu boleh dipercayai”.
Dalam banyak hadiah besar, ketiadaan pemenang bukan muncul dari kabus, tetapi daripada prosedur yang membina jejak, lapisan, dan keterlihatan yang telus.
Prix Goncourt, misalnya, memiliki tiga tahap saringan yang lazimnya bergerak daripada 15 kepada lapan kemudian menjadi empat finalis.
Booker Prize pula menetapkan dengan terang bahawa juri menyusun senarai panjang sekitar 12 atau 13 buah buku, kemudian senarai pendek enam buah, sebelum memilih pemenang.
Women’s Prize for Fiction pula bukan sahaja mengumumkan tarikh senarai panjang dan senarai pendek, malah menyatakan tiga teras penilaian yang menjadi asas perbincangan juri, iaitu excellence, originality, dan accessibility.
National Book Awards juga mengumumkan senarai panjang dan memaklumkan jadual pengumuman finalis serta pemenang.
Sayembara vs pertandingan
Malangnya, hal-hal sebegini tidak kita dapati dalam Sayembara DBP ini.
Ini bukan soal mahu meniru orang luar tetapi ini adalah soal memahami konsep asas infrastruktur kepercayaan yang telah diuji di luar seraya wajar diteladani.
Senarai panjang dan senarai pendek bukan kosmetik, tetapi mekanisme audit sosial.
Proses sedemikian memberitahu khalayak sastera bahawa inilah tapisan yang telah berlaku, inilah kelompok yang lolos dan inilah laluan pertimbangan.
Tanpa mekanisme ini, keputusan menjadi seperti fatwa tanpa istidlal, disuruh tunduk tetapi tidak diajak faham.
Di sinilah juga kita dapati hujah Nasser runtuh dengan prasangka yang melulu.
Beliau mengandaikan kemarahan khalayak berpunca daripada “tiada pemenang”, sedangkan kegusaran sebenar ialah “tiada penjelasan yang setara dengan keberanian keputusan”.
Dalam laporan ringkas DBP, disenaraikan kriteria penilaian yang sangat lazim melalui soal bahasa, keilmuan, gaya persembahan, kekuatan idea, ketepatan pengolahan, keutuhan struktur dan keberkesanan penyampaian.
Semua ini bukanlah hujah yang buruk, tetapi hujah-hujah sebegini terlalu generik untuk menyokong keputusan yang ekstrem, sehingga kategori Drama Pentas kosong tempat pertama hingga ketiga, dan kategori Novel kosong tempat pertama dan kedua.
Pendek kata, keputusan yang “wow” menuntut penerangan yang “wow”.
Jika tidak, institusi sebenarnya sedang mengajar penulis meneka-neka, bukan belajar memperbaik karya.
Lebih mendasar lagi, Nasser gagal membezakan antara sifat sayembara dengan sifat anugerah.
Kamus Dewan sendiri mentakrifkan kata “sayembara” sebagai pertandingan untuk mendapat hadiah.
Pertandingan, dari segi logik sosialnya, ialah medan mencari yang terbaik dalam kalangan yang bertanding, bukan medan menunggu makhluk sempurna turun dari langit.
Dalam anugerah, mungkin wajar mengatakan tiada yang layak kerana anugerah itu menghampiri aras penganugerahan darjat dan martabat. Tetapi dalam pertandingan, keganjilan muncul apabila tempat kedua, ketiga, dan sagu hati wujud, tetapi tempat pertama ghaib.
Itu ibarat perlumbaan yang mengiktiraf pemenang pingat perak dan pingat gangsa, sambil mengatakan pingat emas tidak patut wujud kerana pelari terpantas tidak memecahkan rekod yang juri idamkan.
Jika begitu, nyatakan rekod itu. Jika juri mahukan “bawah 10 saat”, sebutlah “bawah 10 saat” secara teknikal, bukan menyoroknya di bawah label keputusan juri adalah muktamad semata-mata.
Penanda aras
Yang dirungutkan bukanlah kenapa penulis tidak dimenangkan dan bukanlah juga kenapa tiada penulis menerima hadiah pemenang utama.
Yang dirungutkan adalah apakah takrif karya bermutu tinggi yang dicari juri, dan apakah tanda arasnya?
Jika juri mahu mengosongkan puncak, maka juri wajib mengemukakan sekurang-kurangnya dua lapisan bukti.
Pertama, contoh karya rujukan yang menggambarkan “mutu tinggi” yang dimaksudkan, sama ada daripada tradisi nasional, misalnya karya-karya daripada 15 Sasterawan Negara atau sekitar 45 pemenang Anugerah SEA Write serantau, atau juga daripada magnum opus dunia yang diakui, sekurang-kurangnya sebagai horizon estetik dan struktur.
Kedua, pembedahan yang memperincikan mengapa karya yang sudah pun dinobat tempat kedua, ketiga, dan sagu hati masih gagal menyeberang garis pertama.
Jika juri mampu membaca ratusan manuskrip termasuklah karya-karya di peringkat akhir yang pastinya pembacaannya berulang-ulang kali, pastinya juga juri mampu menyebut pola keretakan yang khusus.
Misalnya kelemahan dramaturgi yang tertentu, kegagalan logik naratif yang jelas, kecacatan struktur yang berulang, atau kelemahan bahasa yang dapat ditunjukkan, bukan sekadar diisytiharkan tanpa diperincikan bukti-bukti dan analisis-analisis dari karya-karya yang dihantar hasil perjurian yang lama tempohnya.
Tanpa dua lapisan ini, apa yang tinggal hanyalah autoriti yang meminta dipercayai, sedangkan autoriti tidak boleh dipertahankan oleh suara sahaja, tetapi oleh jejak dalam sejarah.
Maka, adalah sadis jika kita hanya menyuruh penulis bermuhasabah sambil membiarkan institusi tidak bermuhasabah.
Dalam wacana yang sihat, muhasabah bukan satu hala. Penulis harus memperbaik, ya. Tetapi institusi juga wajib memperkemas mekanisme, menajamkan laporan, merotasi juri, dan menyediakan kerangka ketelusan.
Luka tambahan
Ada satu luka tambahan lain yang gagal disentuh adalah kelewatan karya pemenang sampai kepada pembaca.
DBP sudah menerbitkan laporan rasmi keputusan bertarikh 11 Februari 2026. DBP juga menyiarkan senarai 16 karya terpilih dan ulasan ringkas ketua juri pada 10 Februari 2026.
Tetapi pada tahap pengumuman itu, yang dipamerkan kepada awam masih keputusan, bukan hasil.
Pertandingan penulisan sepatutnya memuncak pada pertemuan karya dengan khalayak.
Apabila pengumuman mengambil masa panjang, kemudian penerbitan pula lambat, institusi bukan sekadar melambatkan buku, institusi turut melambatkan makna untuk sampai sebagaimana objektif sayembara.
Hal ini seperti mengumumkan pemenang lumba lari tetapi menangguhkan garisan penamat, lalu orang ramai hanya tahu siapa menang, tanpa sempat melihat bukti untuk menguji mengapa kemenangan itu layak dan di mana pula kegagalan yang menyebabkan puncak dikosongkan.
Tanpa edaran karya yang cepat, ekosistem sastera seperti yang diharap-harapkan dapat menghasilkan karya bermutu tinggi itu tidak dapat belajar apa-apa.
Demikian meletuslah gema gosip dan bercemperalah cakap-cakap belakang.
Jika juri mahu mempertahankan integriti, integriti itu bukan sekadar keberanian mengosongkan puncak.
Integriti ialah keberanian menanggung beban penerangan yang sepadan, keberanian menunjukkan laluan saringan, keberanian menamakan aras karya dengan jelas, keberanian merombak mekanisme, dan keberanian mempercepatkan penerbitan agar karya yang menang dan karya yang gagal sama-sama menjadi sekolah penulisan dalam rentang panjang sejarah sastera Malaysia.
Di akhir, jika kita mahu benar-benar mempertahankan maruah sayembara, ia tidak cukup dengan hanya menyebutkan muktamad kerana maruah hanya lahir daripada rumah yang jendelanya dibuka.
Jika tidak, “s.a.y.e.m.b.a.r.a” akan terus dieja dengan ejaan “s.a.n.d.i.w.a.r.a”, lantaran yang dipertontonkan bukan lagi mutu karya, melainkan mutu tatakelola yang gagal berdiri setegak keputusan bagak yang dibuat.
Bahagian pertama artikel ini diterbitkan di salah sebuah portal, tetapi telah lenyap. — Editor.












