Mohd Khair tamat tempoh perkhidmatan sebagai pengarah MBKM

Mohd Khair Ngadiron. Foto Media Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR — Mohd Khair Ngadiron hari ini mengumumkan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mohd Khair memaklumkan bahawa kontrak penggal ketiganya bersama MBKM berakhir semalam, serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.

Pada kesempatan itu, beliau turut menyampaikan Kad Laporan Strategik Majlis Buku Kebangsaan Malaysia 2019–2026: Memacu Tamadun Ilmu, yang merumuskan pencapaian dan hala tuju strategik MBKM sepanjang tempoh tersebut.

Menurut beliau, pengalaman mengetuai MBKM sarat dengan pelbagai cabaran dan kejayaan, bermula daripada kritikan ketika pengurusan tempahan reruai sehinggalah kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diiktiraf sebagai 12th World Best Literature Festival.

“Semuanya adalah pengalaman yang mematangkan,” katanya.

Mohd Khair yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TV al-Hijrah turut menegaskan peranan MBKM dalam memperkasa ekosistem perbukuan negara, khususnya melalui peningkatan kegiatan penjualan hak cipta.

Seiring itu, MBKM telah memperkenalkan Bengkel Hak Cipta bermodul sebagai usaha membina kapasiti pemain industri.

Selain itu, beliau menyenaraikan pelbagai inisiatif lain termasuk pelaksanaan baucar buku dan kehadiran Perdana Menteri merasmikan PBAKL sebagai antara pencapaian signifikan sepanjang kepimpinannya.

Mengakhiri perutusan, Mohd Khair merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga MBKM lama dan baharu, agensi perbukuan negara, serta seluruh pemain industri yang menyokong perjalanan enam tahun tersebut.

“Hidup adalah perjalanan dan perjalanan sentiasa menghidupkan. Saya sentiasa percaya banyak jalan ke syurga,” katanya.

Pengumuman ini menandakan berakhirnya satu fasa kepimpinan di MBKM, sekali gus membuka lembaran baharu bagi kesinambungan agenda pemerkasaan budaya membaca dan industri buku negara.

Pengumuman itu juga turut mendapat respons daripada pemain industri buku tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku Adibah Omar menyifatkan kepimpinan MBKM di bawah kepimpinan Mohd Khair merupakan pencapaian tertinggi bagi industri.

“Akses perbukuan berada di tahap tertinggi negara di bawah kepimpinanmu. Kami berbangga dan berbahagia,” kata Adibah dalam satu hantaran di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *