KUALA LUMPUR — Majlis Iftar Ramadan anjuran Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) bakal menjadi perhimpunan terbesar sektor pekerja filem dan kreatif negara apabila digabungkan dengan Sambutan Hari Kru Filem Malaysia 2026.
Program yang akan berlangsung di Dataran Karyawan dan Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ulu Klang itu menghimpunkan hingga 600 kru filem, pekerja kreatif serta wakil sektor teknikal dan produksi dari seluruh negara.
Menurut Presidennya Khalil Saleh, penganjuran kali ini bukan sekadar majlis berbuka puasa, sebaliknya menjadi platform penyatuan, pengiktirafan dan kebajikan kepada kru belakang tabir yang selama ini menjadi tulang belakang industri perfileman dan kandungan kreatif tempatan.
Penyatuan sambutan Hari Kru Filem Malaysia dengan suasana Ramadan turut memberi dimensi nilai kesyukuran, ukhuwah dan kebersamaan dalam memperjuangkan hak serta maruah profesion pekerja industri.
Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian Sijil Train the Trainer (TTT) HRD Corp kepada 50 peserta terawal yang menamatkan kursus, selain Anugerah PROFIMA dan Hadiah Khas Kru Cemerlang bagi menghargai dedikasi serta profesionalisme kru belakang tabir yang sering bekerja di luar sorotan umum.
Majlis berkenaan turut memberi penekanan kepada kesedaran Hak Kru dan maruah profesion, selari dengan tema Sambutan Hari Kru Filem Malaysia 2026, Hak Kru, Maruah Industri.
Fokus ini diterjemahkan menerusi sesi taklimat dan penerangan bersama beberapa agensi termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), selain perkongsian berkaitan kesihatan, perlindungan sosial dan sokongan pemulihan sosial.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA).
Sokongan strategik AKM turut dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan antara sektor pekerja, industri dan kerajaan dalam agenda pemerkasaan modal insan dan profesionalisme industri kreatif.
Khalil turut berkata penyatuan Sambutan Hari Kru Filem Malaysia dengan majlis iftar Ramadan memberikan makna yang lebih mendalam kepada perjuangan pekerja industri.
“Ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi satu perhimpunan besar sektor pekerja filem dan kreatif. Sambutan Hari Kru Filem Malaysia 2026 diraikan dalam suasana Ramadan agar perjuangan Hak Kru dan maruah industri diangkat bersama nilai kesyukuran, kebersamaan dan doa untuk kesejahteraan seluruh warga industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Melalui penganjuran ini, PROFIMA terus mengukuhkan peranannya sebagai wakil suara sektor pekerja filem Malaysia, khususnya kru belakang tabir, dalam memperjuangkan hak pekerja, kebajikan, perlindungan sosial, pembangunan profesional serta kelestarian industri kreatif negara.












