KUALA LUMPUR — Penerbit indie terkemuka, Fixi memperkenalkan “Kolexi”, sebuah projek penerbitan khas remaja yang menyasarkan penerbitan boxset mini mengandungi 15 buku pada hujung tahun 2026.
Kolexi diwujudkan sebagai ruang baharu untuk mengetengahkan karya fiksyen Malaysia kontemporari, khususnya untuk pembaca remaja, selain sesuai dimiliki oleh perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah menengah.
Setiap buku mini akan menampilkan seorang penulis Malaysia, diwakili oleh beberapa cerpen yang ditulis sejak tahun 2000, dengan jumlah keseluruhan 8,000 hingga 12,000 patah perkataan bagi setiap judul.
Menurut kenyataan Amir Muhammad hari ini, kelainan utama Kolexi ialah panel pemilih sepenuhnya terdiri daripada remaja, iaitu pelajar sekolah menengah yang lahir selepas 2006.
Sebanyak 15 penulis dengan markah tertinggi akan dipilih untuk diterbitkan dalam boxset ini.
“Ini bukan sayembara yang tiada tempat pertama. Kami benar-benar mahu tahu apa yang remaja mahu baca,” katanya, sambil menegaskan projek ini disasarkan terus kepada cita rasa dan keperluan pembaca muda.
Kolexi terbuka kepada semua genre fiksyen dalam bahasa Melayu, termasuk karya terjemahan daripada bahasa lain di Malaysia.
Cerpen yang pernah diterbitkan di majalah, akhbar, antologi atau platform lain juga amat dialu-alukan.
Penyertaan ini diselaraskan oleh Fiwaz, 24, dan penulis yang terpilih akan menerima royalti pendahuluan bagi setiap cetakan — satu pendekatan yang jarang ditawarkan dalam projek berasaskan saringan remaja.
Fixi memaklumkan Kolexi diinspirasikan oleh tradisi koleksi buku mini yang pernah popular sebelum ini, termasuk terbitan oleh Penguin di United Kingdom, serta penerbit tempatan seperti Sasbadi dan Rhino Press.
Penulis tempatan yang berminat boleh mengisi butiran diri dan memuat naik manuskrip melalui borang dalam talian di https://tinyurl.com/Kolexi2026 dan tarikh akhir penghantaran karya pada 31 Mac 2026.
Dengan pendekatan kurasi oleh remaja, Kolexi dilihat sebagai usaha segar untuk merapatkan jurang antara penulis dan pembaca muda, sambil membina arkib kecil karya Malaysia abad ke-21 dalam bentuk yang ringkas, mudah dicapai dan relevan.












