KUALA LUMPUR — Satu majlis khas bagi memperingati sumbangan besar sejarawan tersohor negara, Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam akan diadakan pada 25 April 2026 (Sabtu) di Universiti Malaya.
Majlis Memperingati Sejarawan Ahmat Adam itu dijadual berlangsung pada pukul 2 petang di The Cube, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan dianjurkan bersama oleh Kawah Buku, Pusat Sejarah Rakyat serta Persatuan Sains Sosial Malaysia.
Ahmat Adam merupakan sejarawan terkemuka kelahiran Kampung Selandar, Melaka. Sepanjang kerjaya akademiknya, beliau pernah berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum meneruskan tugas di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan akhirnya bersara dengan pengiktirafan sebagai Profesor Emeritus.
Dalam bidang penulisan ilmiah, beliau menghasilkan lebih daripada 15 buah karya yang diterbitkan di dalam dan luar negara, khususnya berkaitan sejarah Malaysia dan Indonesia.
Antara karya penting beliau termasuk Tawarikh Hikayat Melayu atau Sulalat u’s-Salatin Yakni Pituturan Segala Raja-Raja (Versi Raffles MS. No. 18); Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa Yang Dibaca Selama Ini?; Hikayat Raja Pasai (transliterasi dan penyunting), The Sejarah Melayu Revisited: A Collection of Six Essays; serta Hikayat Hang Tuha (atau Hikayat Hang Tua).
Karya-karya ini telah memperkayakan khazanah historiografi Melayu serta memperkukuh wacana akademik mengenai sejarah serantau.
Sepanjang kerjayanya, Ahmat Adam dikenali dengan pendekatan kritikal terhadap sumber sejarah.
Beliau menolak tanggapan bahawa sejarah Melayu sekadar dipenuhi dongeng dan mitos tanpa asas bukti.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sejarah perlu dibuktikan secara ilmiah dengan meneliti sumber primer seperti naskhah Melayu lama dan batu bersurat.
Pendekatan tersebut jelas dalam kajiannya terhadap teks klasik Melayu.
Dalam analisisnya terhadap Hikayat Hang Tuah, beliau mengemukakan tafsiran bahawa bentuk yang lebih tepat ialah “Hang Tuha”.
Begitu juga dalam kajian mengenai Batu Bersurat Terengganu, beliau memanfaatkan rujukan daripada bahasa Jawa Kuno dan Sanskrit bagi menghasilkan tafsiran baharu yang berbeza daripada pembacaan sarjana sebelumnya.
Menurut Ahmat Adam dalam salah satu penjelasan akademiknya, kesimpulan yang dikemukakan bukanlah bertujuan merendahkan kesarjanaan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai usaha mengajak peminat sejarah tanah air berfikir secara kritis ketika menilai sumber sejarah.
Beliau menekankan bahawa bahan sejarah perlu dinilai secara teliti serta difahami melalui falsafah sejarah yang menitikberatkan kebenaran berasaskan bukti yang objektif.
Orang ramai yang berminat untuk menghadiri majlis ini boleh membuat pendaftaran awal melalui pautan ini.
Majlis tersebut terbuka kepada semua, khususnya pengkaji sejarah, pelajar, penulis serta peminat sejarah tanah air yang ingin mengenang dan menghargai sumbangan intelektual Allahyarham.













