CEO Kota Buku tersenarai dalam senarai pendek anugerah antarabangsa PublisHer Excellence Awards 2026

SHARJAH — Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) Adibah Omar, tersenarai dalam senarai pendek bagi kategori Innovation Award dalam PublisHer Excellence Awards 2026, sebuah anugerah antarabangsa yang mengiktiraf kepimpinan dan pencapaian wanita dalam industri penerbitan global.

Pengumuman tersebut dibuat oleh PublisHer semalam di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu, dengan penganugerahan tahun ini menerima sebanyak 102 pencalonan daripada 34 negara, sekali gus mencerminkan kekuatan dan pengaruh wanita dalam membentuk ekosistem penerbitan dunia.

Dalam kategori Innovation Award, Adibah Omar dicalonkan bersama dua lagi tokoh penerbitan antarabangsa iaitu Pengasas dan Pengarah PlenaVoz dari Brazil, Monique Leite; serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PublishDrive, Kinga Jentetics, yang beroperasi di Amerika Syarikat.

Kategori Innovation Award diberikan kepada pemimpin industri yang membawa pembaharuan penting dalam sektor penerbitan, termasuk pembangunan model penerbitan baharu, transformasi digital, inisiatif capaian pembacaan serta penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem buku.

Penubuhan PublisHer bertujuan mengiktiraf pencapaian profesional wanita dalam industri penerbitan, di samping mempromosikan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman serta memperluas peluang pembangunan profesional dalam bidang tersebut.

Selain kategori inovasi, anugerah ini turut menampilkan dua kategori lain iaitu Lifetime Achievement Award dan Emerging Leader Award, yang mengiktiraf sumbangan tokoh penerbitan berpengalaman serta pemimpin baharu yang menunjukkan potensi besar dalam industri.

Panel juri antarabangsa bagi anugerah ini terdiri daripada tokoh industri penerbitan dari pelbagai negara termasuk Alicia Liu, Maureen Masamba, Mitia Osman, Searsha Sadek dan Sevani Matos yang menilai pencalonan berdasarkan sumbangan terhadap pembangunan industri serta impak global yang dibawa oleh para calon.

Pengasas PublisHer, Sheikha Bodour Al Qasimi berkata senarai pendek tahun ini memperlihatkan keluasan kepimpinan wanita dalam dunia penerbitan.

Menurutnya, para calon bukan sahaja memperkenalkan inovasi dan pembaharuan dalam sektor penerbitan, malah turut memperkukuh institusi, memperluas capaian kepada buku dan memastikan industri penerbitan kekal inklusif serta mampan pada masa hadapan.

"Senarai pendek tahun ini mencerminkan keluasan luar biasa kepimpinan wanita dalam industri penerbitan, daripada pembaharuan infrastruktur dan inovasi teknologi kepada pemeliharaan budaya serta kemunculan visi keusahawanan baharu.

"Apa yang menyatukan para calon ini ialah kecemerlangan yang membawa impak nyata. Mereka membina institusi, memperluas capaian, memperkukuh ekosistem dan memastikan industri penerbitan kekal inklusif, mampan serta berpandangan jauh ke hadapan.

"Kami berbangga dapat mengiktiraf pencapaian mereka dan mengangkat usaha mereka ke pentas global," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pemenang bagi PublisHer Excellence Awards 2026 dijadualkan diumumkan secara rasmi pada April ini sempena Bologna Children’s Book Fair 2026 di Itali, salah satu acara paling berpengaruh dalam industri penerbitan buku kanak-kanak di peringkat global.

Penyenaraian Adibah Omar dalam senarai pendek ini dilihat sebagai satu pengiktirafan penting terhadap peranan Malaysia dalam memacu inovasi dan pembangunan ekosistem perbukuan di peringkat antarabangsa.

Shortlist2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *