Lagu raya hanya terbukti hebat selepas 10 tahun — Hairul Anuar

KUALA LUMPUR — Penulis lirik terkenal tanah air, Dr. Hairul Anuar Harun, berkongsi pandangan reflektif mengenai proses penciptaan lagu raya serta cabaran yang dihadapi penulis lirik dalam menghasilkan karya yang benar-benar kekal dalam ingatan pendengar.

Menerusi satu hantaran di Facebook dua hari lalu, beliau mendedahkan bahawa sepanjang kerjayanya, beliau tidak menghasilkan banyak lagu raya, kemungkinan jumlahnya kurang daripada 10 buah.

Namun beberapa daripadanya meninggalkan kesan mendalam kepada industri muzik tempatan.

Antara yang disifatkan sebagai karya terpenting beliau termasuk “Sesuci Lebaran” yang merupakan lagu raya pertamanya dan dihasilkan dalam tempoh yang hampir sama dengan kemunculan lagu ikonik “Cindai”.

Selain itu, beliau turut menyebut “Meriah Suasana Hari Raya”, sebuah lagu yang digubah bersama Khir Rahman, yang menurutnya pada asalnya dirancang dengan tempo lebih rancak.

Hairul Anuar yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan lagu popular “Cindai” turut mengimbas kenangan manis ketika menghasilkan lagu “Di Pintu Ampun”, apabila biduanita negara Sharifah Aini mencarinya selama berbulan-bulan bagi mendapatkan lirik lagu tersebut.

Sementara itu, lagu “Halal Bihalal” pula dianggap unik kerana keseluruhan liriknya dibina dengan rima yang seragam, berakhir dengan huruf “a” pada setiap baris.

Dalam perkongsiannya, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan lagu raya ciptaannya tidak bergantung kepada istilah lazim seperti Ramadan, Aidilfitri atau puasa.

Pendekatan ini, katanya, menjadikan lagu-lagu tersebut lebih universal dan sesuai dimainkan bukan sahaja ketika Hari Raya Aidilfitri, tetapi juga semasa sambutan Aidiladha.

Mengulas tentang cabaran penulisan, Hairul Anuar menegaskan bahawa lagu raya merupakan antara genre yang paling sukar untuk ditulis kerana hampir semua tema telah disentuh.

Justeru, kemampuan untuk mencari sudut baharu atau “kelompangan” dalam naratif sedia ada menjadi kelebihan penting bagi seseorang penulis lirik.

Beliau turut memberikan pesanan kepada generasi baharu pencipta lagu agar terus berkarya mengikut cita rasa dan zaman masing-masing.

Namun, beliau mengingatkan bahawa ukuran sebenar kehebatan sesebuah lagu raya hanya dapat dinilai selepas satu tempoh yang panjang.

“Lagu raya ini hanya akan terbukti kehebatan dan keberkesanannya selepas 10 tahun. Kalau masih dicari orang dan masih sering didengar, makanya ada sesuatu pada lagu raya anda,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *