Dune: Part Three lancar iklan treler baharu, bakal bersaing sengit dengan Avengers: Doomsday

Timothee Chalamet

FILEM — Filem epik fiksyen sains Dune: Part Three secara rasmi melancarkan treler pertamanya semalam, sekali gus menandakan permulaan kempen promosi menjelang tayangan pada 18 Disember 2026.

Treler tersebut menampilkan bintang utama Timothée Chalamet dan Zendaya, dengan naratif yang memfokuskan kepada kehidupan Paul Atreides selepas kebangkitannya sebagai maharaja galaksi.

Filem arahan Denis Villeneuve ini mengambil latar masa 17 tahun selepas peristiwa dalam Dune: Part Two.

Treler berkenaan memaparkan suasana peperangan berskala besar serta konflik dalaman watak utama, termasuk hubungan antara Paul dan Chani, selain bayangan masa depan keluarga mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Dune: Part Three dijangka berdepan saingan sengit di pawagam apabila berkongsi tarikh tayangan dengan Avengers: Doomsday, filem terbaharu keluaran Marvel yang turut dinanti peminat.

Filem tersebut merupakan kesinambungan kepada Avengers: Endgame dan akan menyaksikan kemunculan semula Robert Downey Jr. serta Chris Evans dalam watak ikonik masing-masing.

Rekod kutipan semua filem Avengers sebelum ini yang melepasi AS$1 bilion di seluruh dunia menjadikan persaingan ini antara yang paling dinanti dalam industri perfileman.

Walaupun kebiasaannya studio akan mengelakkan pertembungan tarikh tayangan, Dune: Part Three dilaporkan telah mendapatkan slot eksklusif tayangan IMAX pada minggu pembukaan di Amerika Syarikat, menunjukkan keyakinan tinggi terhadap prestasi filem tersebut.

Sementara itu, The Walt Disney Company sebelum ini menunda tarikh tayangan Avengers: Doomsday dari Mei ke Disember bagi memberi ruang kepada proses produksi.

Peminat filem di media sosial turut menggelarkan pertembungan ini sebagai “Dunesday”.

Pelancaran treler oleh Warner Bros. juga dilihat sebagai langkah strategik susulan kejayaan studio tersebut di Academy Awards baru-baru ini.

Dalam masa sama, masa depan Warner Bros. terus menjadi perhatian apabila syarikat itu dijangka diambil alih oleh Paramount dalam satu perjanjian bernilai kira-kira AS$111 bilion, selepas Netflix menarik diri daripada rundingan terdahulu.

Dari segi prestasi terdahulu, filem pertama Dune (2021) mencatat kutipan global sebanyak AS$402 juta, manakala sekuelnya pada 2024 meraih AS$714 juta.

Filem ketiga ini akan menjadi penutup trilogi dan diadaptasi daripada novel Dune Messiah karya Frank Herbert.

Treler turut memperkenalkan barisan pelakon tambahan termasuk Anya Taylor-Joy sebagai Alia, serta kemunculan semula Jason Momoa, Javier Bardem, Rebecca Ferguson dan Florence Pugh.

Selain itu, Robert Pattinson turut menyertai filem ini sebagai watak baharu, Scytale, yang digambarkan sebagai ancaman kepada pemerintahan Atreides.

Dune: Part Three dijangka menjadi penutup epik kepada trilogi tersebut, dengan skala penceritaan yang lebih besar serta konflik yang semakin memuncak menjelang penamat kisah.

Sources:BBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *