Dalam landskap filem moden yang sering mengejar bajet berskala besar dan visual mengkagumkan, Hamnet (2025) hadir sebagai sebuah karya yang memilih jalan sebaliknya—intim, perlahan dan sarat dengan emosi.
Filem ini menelusuri kehidupan keluarga William Shakespeare, namun memberi penekanan terhadap susuk tokoh agung itu sendiri, sebaliknya ia memusatkan perhatian kepada isterinya, Agnes.
Filem ini mengisahkan cerita duka kehilangan Hamnet, satu-satunya anak lelaki pasangan Shakespeare dan Anges.
Hamnet merupakan adaptasi daripada novel berjudul sama karya penulis Ireland, Maggie O’Farrell, yang diterbitkan pada 2020 oleh Tinder Press.
Novel ini menerima pujian meluas kerana gaya penulisannya yang puitis dan keupayaannya menenun kesedihan menjadi sesuatu yang hampir bersifat spiritual.
Adaptasi filem ini diarahkan oleh Chloé Zhao, pengarah yang dikenali melalui pendekatan minimalis dan humanis dalam karya seperti Nomadland (2020).
Pendekatan ketara yang Zhao cuba bawakan dalam hampir seluruh filem arahannya adalah mengekalkan roh manusiawi dengan memberikan ruang kepada penonton untuk merasa emosi “bernafas”.
Zhao merupakan pembikin filem yang terkenal dengan kepekaan terhadap naratif manusia biasa.
Gaya arahannya sering menolak dramatik berlebihan dan memberi tumpuan kepada rincian-rincian kecil dan halus yang membentuk pengalaman manusia.
Pendekatan ini menjadikan Hamnet sebuah karya yang tidak hanya ditonton, tetapi dirasai.
Pembawa watak Agnes dan isteri Shakepeares, Jessie Buckley merupakan pelakon kelahiran Ireland, bukanlah nama yang asing dalam dunia lakonan.
Kerjayanya berkembang secara organik, daripada pentas teater ke filem arus perdana, dengan reputasi sebagai pelakon yang berani mengambil risiko watak yang beremosi.
Sebelum Hamnet, beliau telah beberapa kali menerima pengiktirafan, termasuk pencalonan di Academy Awards menerusi filem The Lost Daughter (2021), menandakan bahawa bakatnya telah lama diperhatikan.
Selain itu, penampilannya dalam filem seperti Wild Rose (2018) dan I’m Thinking of Ending Things (2020) turut memperlihatkan julat lakonan yang luas serta berani.
Namun, Hamnet menjadi titik ledakan bagi kerjaya lakonan beliau—potensinya benar-benar mencapai bentuk paling matang.
Melalui watak Agnes, Buckley tidak sekadar “berlakon sebagai seorang ibu yang berkabung selepas kematian anak,” tetapi turut membina satu landskap emosi yang kompleks—kesedihan tidak sentiasa ditunjukkan melalui tangisan, sebaliknya melalui gerak tubuh dan ekspresi muka yang ketara.
Lakonannya bergerak dalam frekuensi yang halus, menjadikan penonton bukan sahaja memahami duka itu, malah turut memikulnya.
Apa yang menjadikan persembahan ini luar biasa adalah apabila keupayaannya menahan diri.
Dalam banyak adegan, Buckley memilih untuk tidak meledakkan emosi secara konvensional, sebaliknya, beliau membiarkan kesedihan itu “meresap” perlahan serta menghantui penonton.
Ini selari dengan semangat novel asal yang memotretkan duka bukan sebagai peristiwa, tetapi sebagai keadaan yang berpanjangan.

Kekuatan lakonan ini terbukti melalui pencapaiannya dalam musim anugerah—Buckley mencatatkan apa yang dikenali sebagai clean sweep dengan memenangi kesemua anugerah utama termasuk Critics Choice Award, Golden Globe, British Academy Film Awards (BAFTA), Screen Actors Guild (SAG), dan akhirnya Academy Awards bagi Pelakon Wanita Terbaik.
Pencapaian ini meletakkannya dalam kelompok eksklusif—pelakon yang bukan sahaja cemerlang, tetapi mendominasi keseluruhan musim anugerah, iaitu dalam tempoh anugerah ulung seperti Golden Globes, BAFTA, SAG serta Academy Awards pada tahun yang sama.
Jessie Buckley — Hamnet (2025)
Renée Zellweger — Judy (2020)
Frances McDormand — Three Billboards Outside of Ebbing, Missouri (2018)
Brie Larson — Room (2015)
Senarai ini bukan sekadar rekod kemenangan, tetapi cerminan kepada jenis lakonan yang dihargai. Suatu lakonan yang berakar pada kejujuran emosi, bukan sekadar transformasi luaran.
Lebih menarik lagi, kejayaan Buckley turut memperlihatkan bagaimana beliau kini menyertai kelompok pelakon wanita yang telah mapan dalam industri, pada usia yang masih boleh dianggap muda.
Dalam konteks ini, “kematangan” tidak lagi diukur melalui usia semata-mata, hakikatnya melalui kedalaman tafsiran watak dan keberanian emosi yang dibawa ke layar.
Lakonannya sebagai Agnes membuktikan seorang pelakon boleh mencapai tahap tersebut lebih awal, tanpa perlu menunggu dekad untuk diiktiraf sebagai figura utama dalam bidang seni lakonan di layar perak.
Watak Agnes bukan sekadar “dihidupkan” oleh Buckley, tetapi menyelami sepenuhnya jiwa seorang ibu yang meratapi kehilangan anak lelakinya.
Kesedihan yang dibawanya tidak terasa sebagai lakonan, namun sebagai pengalaman yang sedang berlaku di depan mata.
Dalam beberapa adegan, jeritan yang dilepaskan oleh Agnes sendiri bukanlah sesuatu yang dirancang secara kaku, sebaliknya lahir daripada proses improvisasi, satu respons emosi yang organik terhadap situasi yang dibina di set lakonan.
Keberanian untuk “melepaskan kawalan” ini tidak berlaku dalam ruang kosong, sebaliknya terhasil daripada kepercayaan dan chemistry yang telah dibina sepanjang penggambaran.
Buckley sendiri menekankan betapa pentingnya hubungan antara pelakon dalam membolehkan mereka pergi sejauh mungkin secara emosi.
Hubungannya dengan rakan pelakon, termasuk Paul Mescal sebagai pasangan di layar perak, membentuk asas kepercayaan yang membolehkan adegan-adegan berat ini berlaku dengan jujur dan tanpa sekatan.
Bagi memperkukuh hubungan ini, pengarah, Zhao turut memperkenalkan pendekatan yang jarang digunakan dalam produksi arus perdana—melalui sebuah bengkel tantra (tantric workshop) yang bertujuan membina apa yang disebut sebagai kepercayaan berdasarkan gerak tubuh (kinetic trust) antara pelakon.
Latihan ini bukan bersifat fizikal semata-mata, tetapi lebih kepada membina kesedaran emosi dan kepercayaan antara satu sama lain, membolehkan mereka berkongsi ruang lakonan yang lebih terbuka.
Hamnet di bawah produksi A24 membuktikan adaptasi karya kreatif tidak semestinya terikat kepada kesetiaan literal, hakikatnya kepada kejujuran emosi yang ingin disampaikan.
Dalam konteks ini, Hamnet seakan-akan menjadi nadi kepada kelahiran Hamlet, sebuah karya pentas yang dipercayai lahir daripada duka peribadi Shakespeare sendiri terhadap pemergian anaknya, Hamnet.
Melalui seni, kehilangan itu tidak lagi bersifat peribadi, tetapi dikongsi, diterjemahkan dan akhirnya dirasai oleh seluruh dunia.












