Randai Macbeth terbang ke Singapura, angkat tradisi Nusantara ke pentas antarabangsa

Randaimacbeth

KUALA LUMPUR — Selepas mencipta kejayaan besar di pentas tempatan, produksi Randai Macbeth kini bersedia melangkah lebih jauh apabila dijemput untuk dipentaskan di Esplanade sempena Pesta Raya: Malay Festival of Arts pada 16 hingga 19 April 2026.

Pementasan semula ini bukan sekadar ulang tayang biasa, sebaliknya menjadi bukti bahawa teater berakar tradisi masih relevan dan mampu menembusi pentas antarabangsa.

Pelakon utama, Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem yang membawakan watak Macbeth, menyifatkan peluang ini sebagai satu lanjutan daripada sambutan luar biasa yang diterima produksi tersebut sebelum ini.

Menurutnya, pementasan pertama pada tahun 2024 menyaksikan kehadiran penonton yang melimpah, khususnya dalam kalangan pelajar, penggiat seni dan artis tempatan.

Malah, produksi ini turut menerima liputan positif daripada pengkritik dan wartawan seni, termasuk nama-nama seperti Ku Seman Ku Hussain dan Zahari Hamzah.

Kejayaan itu kemudian dimuktamadkan apabila Randai Macbeth diiktiraf sebagai Produksi Terbaik 2024 dan meraih tujuh anugerah dalam 20th BOH Cameronian Arts Awards.

Mengulas tentang jangkaan terhadap penonton di Singapura, Che Kem percaya khalayak di kota tersebut yang sudah terdedah kepada pelbagai bentuk kesenian, khususnya yang bersifat kontemporari dan eksperimental, akan menerima Randai Macbeth dengan baik.

Katanya, pendekatan intercultural yang menggabungkan elemen randai Nusantara dengan teks klasik Barat seperti Macbeth karya William Shakespeare memberi satu pengalaman baharu yang segar kepada penonton.

"Gabungjalin ini bukan sahaja mempertemukan dua dunia berbeza, tetapi juga menawarkan satu bentuk penceritaan yang berakar kuat pada tradisi, namun masih relevan dengan selera masa kini," jelasnya ketika dihubungi Titik Baca hari ini.

Tambah beliau lagi, kecenderungan komuniti seni di Singapura terhadap karya yang mempunyai identiti budaya yang jelas menjadikan pementasan ini berpotensi mendapat sambutan hangat.

Dalam konteks hubungan seni serantau, pementasan ini dilihat sebagai satu jambatan penting yang merentas sempadan politik.

Che Kem menyifatkan jemputan daripada pihak Esplanade sebagai satu peluang yang amat berharga, apatah lagi usaha membawa teater tradisional ke pentas antarabangsa sememangnya menjadi aspirasi kumpulan produksi, khususnya yang melibatkan alumni dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Ini membuktikan bahawa kesenian tradisional bukan sesuatu yang lapuk seperti yang sering dianggap.

Ia pernah berada di puncak populariti dan masih mampu kembali relevan jika digarap dengan pendekatan yang sesuai," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha mengangkat semula teater tradisional dalam konteks kontemporari adalah penting dalam mendepani cabaran globalisasi.

Dalam hal ini, kolaborasi rentas negara dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh identiti budaya serantau.

"Jika kita dapat meraikan kekayaan seni budaya Nusantara secara kolektif—melalui pertukaran kepakaran, adaptasi antara budaya dan program pendidikan—saya yakin rantau ini mampu tampil sebagai wilayah yang progresif tanpa meninggalkan akar tradisi," ujarnya.

Apa yang membezakan Randai Macbeth daripada adaptasi lain karya Shakespeare terletak pada "jiwa Melayu" yang disuntik ke dalam keseluruhan produksi.

Di bawah arahan Profesor Madya Dr. Norzizi Zulkifli, karya klasik tersebut diolah sehingga tidak lagi terasa sebagai teks Barat semata-mata, sebaliknya hadir sebagai sebuah naratif yang dekat dengan budaya Nusantara.

Sebagai pelakon, Che Kem mengakui cabaran terbesar adalah untuk memastikan watak Macbeth tidak sekadar ditiru daripada acuan asal, tetapi benar-benar dihidupkan dengan rasa, gerak tubuh dan emosi yang berakar pada budaya Melayu.

"Dialognya tidak kedengaran seperti teks klasik Barat.

Segalanya—daripada bahasa tubuh hingga emosi—diterjemahkan dalam 'flavour' Melayu. Itu yang menjadikan pengalaman ini sangat mencabar tetapi juga memuaskan," ulasnya.

Beliau turut menekankan bahawa Randai Macbeth bukanlah sebuah teater kontemporari sepenuhnya, sebaliknya sebuah teater tradisional kreasi baharu yang masih mengekalkan struktur dan asas randai sebagai teras utama.

Kejayaan produksi ini menewaskan karya-karya moden dalam anugerah seni juga, menurutnya, menjadi bukti bahawa teater tradisional masih mempunyai tempat yang kuat dalam landskap seni semasa.

Selepas pementasan di Singapura, perjalanan Randai Macbeth tidak terhenti di situ.

Produksi ini dijadualkan untuk dipentaskan semula di ASWARA pada 8 hingga 10 Mei sebelum mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa di Kazan, Rusia pada 13 hingga 18 Jun 2026 sempena festival teater berprestij di Kamal Theatre.

Dengan perjalanan yang semakin meluas ini, Randai Macbeth bukan sahaja membawa nama Malaysia ke pentas dunia, tetapi juga mengangkat seni tradisional Nusantara sebagai warisan yang terus hidup, berkembang dan relevan merentas zaman.

Randaiesplanade

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *