BOLOGNA, ITALI — Malaysia mungkin tidak membawa pulang trofi utama dalam Publisher Excellence Awards 2026 yang diumumkan malam tadi, namun pencapaian yang diraih malam tadi tetap mencipta sejarah penting bagi industri penerbitan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dunia bagi kategori Inovasi merupakan satu pencapaian yang turut menyaksikan beliau sebagai finalis pertama dari Asia Tenggara dalam kategori tersebut.
Anugerah kategori Inovasi dimenangi oleh pengasas dan pengarah PlenaVoz, Monique Leite dari Brazil yang diiktiraf atas sumbangan luar biasa dalam membentuk masa depan penerbitan global.
Selain itu, Ana María Bermúdez, penerbit Penguin Random House (Mexico) dinobatkan sebagai penerima anugerah Emerging Leader; manakala Ana María Cabanellas, presiden dan penerbit Grupo Claridad (Argentina) menerima anugerah Lifetime Achievement atas legasi panjang dalam industri.
“Bukan Tentang Trofi, Tetapi Isyarat Kebangkitan”
Dalam kenyataan yang dimuat naik sejurus pengumuman dibuat, Adibah Omar menegaskan bahawa pencapaian Malaysia kali ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar kemenangan.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Monique Leite serta meraikan kejayaan wakil-wakil dari Amerika Latin yang mendominasi anugerah tahun ini, sambil menyifatkan pencapaian tersebut sebagai detik penting yang sedang diperhatikan dunia.
Namun, bagi Malaysia, kedudukan dalam tiga terbaik daripada 53 pencalonan global sudah cukup signifikan.
“Untuk berada dalam tiga teratas dunia dalam kategori inovasi adalah satu pencapaian. Untuk menjadi finalis pertama dari Asia Tenggara adalah sesuatu yang kami banggakan.
“Ini bukan titik akhir, tetapi satu isyarat, bahawa rantau kita sedang bangkit,” kata dalam satu kenyataan.
Dari Malaysia ke pentas dunia
Lebih daripada sekadar pengiktirafan individu, kejayaan ini dilihat sebagai simbol kematangan ekosistem penerbitan Malaysia yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
Adibah turut menegaskan bahawa inovasi dalam penerbitan tidak lagi terhad kepada pusat-pusat tradisional dunia, sebaliknya kini berkembang dari negara-negara seperti Malaysia yang berani membina sistem, naratif dan penyelesaian sendiri.
“Perjalanan ini bukan sekadar tentang trofi. Ia tentang representasi, kredibiliti dan momentum,” ujarnya.
Momentum baharu industri penerbitan
Walaupun tirai anugerah telah dilabuhkan, Adibah menyifatkan perjalanan sebenar baru sahaja bermula.
Beliau menyeru agar momentum yang terhasil daripada pencapaian ini diteruskan, khususnya dalam kalangan pemain industri dan kepimpinan wanita dalam penerbitan.
“Kerja sebenar bermula selepas lampu sorot padam,” katanya, sambil mengajak komuniti global untuk terus mencipta perubahan bersama.
Isyarat kebangkitan Asia Tenggara
Pencapaian ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia dan Asia Tenggara secara keseluruhan dalam radar industri penerbitan global.
Dalam landskap yang selama ini didominasi oleh Barat dan Amerika Latin, kemunculan Malaysia sebagai finalis utama membuka lembaran baharu tentang arah masa depan industri buku dunia yang lebih inklusif dan pelbagai.
Dan walaupun trofi tidak pulang ke tanah air, satu perkara menjadi jelas, Malaysia kini bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi pemain yang sedang bangkit di pentas global.












