TEMERLOH — Pengarah tersohor tanah air, U-Wei Haji Saari, dikurniakan gelaran Dato’ hari ini.
Pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-66 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Sesi Ketiga) di Dewan Tun Razak, hari ini.
Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang membawa gelaran Dato’ kepada U-Wei, atau nama sebenarnya Zuhir Saari.
U-Wei, 72, yang berasal dari Mentakab, merupakan pengarah filem dan penulis skrip yang berpengaruh di Malaysia.
Beliau mula mendapat perhatian antarabangsa menerusi filem Kaki Bakar, yang menjadi filem Malaysia pertama dipilih ke Cannes Film Festival pada tahun 1995.
U-Wei memulakan kerjayanya sebagai pengarah drama televisyen sebelum membuat penampilan sulung dalam filem menerusi Perempuan, Isteri dan…, yang memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-11.
Pada tahun 2014, beliau menghasilkan filem epik Hanyut, sebuah produksi bersama Malaysia, Indonesia dan Australia yang diadaptasi daripada novel Almayer’s Folly karya Joseph Conrad, mengisahkan kehidupan masyarakat Melayu pada abad ke-19.
Sementara itu, ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) dalam satu kenyataan merakamkan ucapan tahniah atas pengurniaan tersebut.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Ketua Juri AIFFA, Dato’ U-Wei Haji Saari atas penganugerahan yang diterimanya.
“Gelaran Dato’ ini meraikan kerjaya cemerlang beliau serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap seni tanah air. Kami amat berbangga dengan pencapaian bermakna ini,” katanya.
Dalam pada itu, darjah kebesaran yang sama turut dikurniakan kepada 28 penerima lain.
Secara keseluruhan, seramai 103 individu menerima pelbagai pingat dan darjah kebesaran dalam majlis tersebut.
Turut berangkat sama ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan suami, YH FD Idzham FD Iskandar; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.













