Kanak-kanak dalam tubuh seorang lelaki

Boboiboy

Dalam tubuh saya, ada seorang anak kecil yang hauskan aksi. Keinginan kanak-kanak lelaki kepada pertarungan dan perlawanan. Orang kata, dalam tubuh lelaki akan tetap ada anak kecil itu.

Menjadikan kami selalu inginkan aksi, inginkan adrenalin mencanak mengepam laju ke jantung. Kerana keinginan ini juga, sedari kecil saya tak pernah putus dengan kartun dan anime (kartun animasi jepun).

Kalau dahulu, saya akan duduk di hadapan televisyen pada hari minggu demi menagih aksi di kaca tv melalui rancangan seperti Power Rangers dan Ultraman.

Kini setelah dewasa saya mencarinya pada video game, kartun, anime dan buku cerita aksi serta komik.

Tapi dalam tubuh ini juga wujud seorang dewasa yang telah kenal dunia dan dimatangkan tanggungjawab.

Maka, lelaki dewasa ini menjumpai hal-hal serius yang anak kecil itu tidak sedar wujud dalam rancangan kegemarannya.

Sedari sekolah rendah, saya mengikuti rancangan Boboiboy. Dari Boboiboy, Boboiboy The Movie, Boboiboy Galaxy, Boboiboy The Movie 2, Boboiboy Galaxy Musim 2 yang terdiri daripada Boboiboy Windara, Boboiboy Sori, Boboiboy Gentar, Boboiboy Baraju dan terbaru satu spin off kepada salah satu watak sampingan, Papa Zola iaitu, Papa Zola The Movie.

Kini sedang menanti Boboiboy The Movie 3: Gur’latan.

Sebagai lelaki yang mempunyai anak kecil di dalam tubuh, saya akan lebih fokus kepada aksi dan pelbagai perubahan kuasa Boboiboy yang wujud dalam cerita tersebut.

Namun sebagai seorang lelaki, saya juga turut melihat isu-isu yang diketengahkan siri dan filem animasi ini.

Fasa awal Boboiboy (Boboiboy, Boboiboy The Movie, Boboiboy Galaxy) banyak menyentuh isu yang terkait dan nasihat yang lebih menjurus ke arah kanak-kanak.

Antaranya, semangat setia kawan, melawan kejahatan, menjaga kesihatan dan pemakanan, kepentingan pelajaran dan disiplin di sekolah.

Fasa ini juga memunculkan watak-watak penjahat (Adudu, Bagogo, Barora dan lain-lain) yang berdatangan dengan niat mahu menakluk bumi.

Watak-watak ini mempunyai tujuan utama yang mahukan kuasa untuk tujuan kekuatan dan penaklukan tanpa niat lain.

Namun semakin cerita animasi ini berkembang, isu-isu yang disentuh juga semakin dewasa dan lebih berkait dengan dunia nyata.

Antara yang paling jelas adalah dengan pengembangan watak Papa Zola—pada awalnya wujud sebagai watak sampingan demi membawa unsur humoris kepada cerita, kini menjadi watak utama yang berperanan sebagai hero keluarga, sehingga diterbitkan sebuah filem khas buat watak ini.

Papa Zola The Movie menjadi fenomena negara selepas mencatat sebanyak 4.4 jumlah penonton di seluruh Asia Tenggara dan meraih RM68.2 juta kutipan pecah panggung.

Antara faktor yang menjadikan filem ini mendapat sambutan hangat—tidak kira umur—kerana pemotretan realiti dunia seorang suami dan bapa.

Kita dipertontonkan dengan adegan Papa Zola yang membuat keputusan drastik dengan meletak jawatan sebagai salah seorang ahli Tapops demi meluangkan masa bersama keluarga.

Namun keputusan ini tidaklah mudah kerana selepas itu kita lihat hari-hari sukar Papa Zola yang berhempas pulas melakukan tiga kerja dalam satu masa—penghantar makanan, penjual buku dan pemandu van.

Jiwa lelaki dalam diri saya tersentuh melihat kegigihan seorang lelaki melawan beban finansial dan ekonomi keluarga.

Papazola yang kini tidak lagi terbang di angkasa, masih mengekalkan tali pinggang P dan topeng mukanya. Dan walaupun tanpa sebarang kuasa super, kudratnya masih digagahi menjadi adiwira keluarga.

Selain Papa Zola The Movie, kita juga boleh lihat realiti dunia dipersembahkan dengan sangat halus dalam siri animasi Boboiboy seperti yang terpapar dalam siri Boboiboy: Windara.

Dalam usaha Boboiboy membangkitkan kuasa tingkat ketiga elemental udara, dia dan rakan-rakan dibawa ke Windara—Planet pemilik asal elemental udara atau beliung, Tuanku Kuputeri.

Di sana, pertolongan Boboiboy selaku pemegang kuasa elemental ditagih pula untuk bantu membebaskan Windara daripada cengkaman pengkhianat, Reramos.

Reramos adalah salah seorang hulubalang Tuanku Kuputeri ketika zaman pemerintahannya.

Selepas kedatangan dan serangan Retak’ka, seorang penakluk kuasa elemental, Tuanku Kuputeri cedera parah dan memaksa dirinya untuk berehat dan merawat kecederaan di dalam kepompong.

Dipacu oleh ketamakan, Reramos yang diberikan amanah untuk mentadbir Windara semasa ketiadaan Tuanku Kuputeri telah berkhianat.

Reramos bertindak menyeleweng kuasa dan amanah yang ditaruh kepadanya dengan menjadikan Windara sebagai sebuah pusat perlombongan kuari bagi mengeksploitasi bahan mentah yang dimiliki planet itu.

Dua isu yang diperlihatkan adalah pecah amanah dan pengeksploitasian bahan mentah.

Ini bukanlah isu remaja atau kanak-kanak, namun kerana dipertontonkan pada watak Boboiboy yang masih kanak-kanak/remaja, disadurkan pula dengan aksi-aksi perlawanan, isu ini sering diabaikan.

Sedangkan kedua-dua isu ini relevan dengan kehidupan di dunia nyata.

Sebagai contoh, kes pecah amanah sering berlaku di dunia nyata, sama ada di negara kita atau di luar.

Antara yang masih terkesan kepada saya adalah kes yang melanda negara jiran pada tahun 2025.

Isu kenaikan elaun buat ahli dewan sedangkan rakyatnya hidup dalam keadaan papa mengais rezeki dengan kadar inflasi dan keadaan ekonomi yang parah.

Amanah yang diberi kepada mereka untuk mentadbir negara, akhirnya dimanfaatkan hanya untuk mendapatkan keuntungan demi diri sendiri.

Pengeksploitasian bahan mentah di dunia nyata pula boleh dilihat jelas pada zaman perang dunia kedua.

Tanah Melayu yang kaya dengan bahan mentah dan tanah yang subur telah dieksploitasi oleh para penjajah.

Keuntungan daripada bahan mentah tempatan pula tidak langsung berpulang kepada penduduknya, sebaliknya mengalir masuk ke tenggorok para imperialis.

Sedang rakyat Tanah Melayu terus terperosok dengan kehidupan yang melarat dan beban kerja selaku hamba penjajah.

Pengembaraan Boboiboy dalam mengaktifkan kuasa tingkat ketiga api dan air (atau blaze dan ais) membawanya ke Planet Baraju dalam Boboiboy: Baraju.

Baraju adalah sebuah planet yang iklimnya terbahagi kepada tiga; iaitu wilayah bara yang panas dan berapi; wilayah salju yang dingin bersalji; dan juga sebuah kawasan hutan dan bukit bernama Talistiwa yang ditempati oleh puak batu seperti Roktaroka, Toktaroka dan Rokiah.

Sebaik sahaja tiba di planet ini, Boboiboy dan kawan-kawan terus ditarik masuk ke kancah peperangan panjang antara Puak Bara dan Puak Salju.

Setelah diselediki punca peperangan, mereka mendapati puncanya adalah kerana perebutan kuasa antara pimpinan Puak Salju dan Puak Bara.

Selain itu, ia juga dipacu salah faham sejak dari zaman nenek moyang puak masing-masing iaitu Mas Mawais daripada puak salju dan Panglima Pyrapi daripada puak Bara.

Di akhir siri ini, kebenaran akhirnya terselak apabila Pak Pato yang awalnya terlihat hanya sebagai lelaki tua yang lemah, sebenarnya adalah pembekal senjata kepada kedua-dua belah pihak yang bertelagah.

Pak Pato jugalah yang telah menebar fitnah yang memangkin api perang antara kedua-dua puak ini.

Kebenarannya, Mas Mawais dan Panglima Pyrapi, kedua-duanya adalah sahabat segelanggang.

Pertarungan antara mereka pula hanyalah sebagai latihan demi meningkatkan kuasa elemental masing-masing.

Kanak-kanak dalam diri saya tidak sedar semua ini, tetapi kaca mata lelaki dewasa tidak terlepas daripada menyedari isu perebutan kuasa, penyebaran fitnah, perang saudara dan juga keuntungan kepada pembekal senjata.

Isu penyebaran fitnah pernah terjadi kepada umat Islam yang membawa kepada perang saudara Islam iaitu Fitnah Pertama (Fitnat Maqnal Uthman) yang membawa kepada Perang Jamal atau Perang Unta antara pasukan Khalifah Saidina Ali dan pasukan Saidatina Aisyah.

Selain itu, isu perebutan kuasa dan perang saudara pula acap kali terjadi dalam sejarah dunia seperti yang boleh kita lihat pada Perang Saudara China (1927-1950), Perang Saudara Rusia (1917-1923), Perang Saudara Sri Lanka dan lain-lain.

Dalam siri perang di dunia juga, kita boleh lihat sebuah pihak yang mendapat keuntungan melalui pembekalan senjata.

Amerika contohnya mendapat keuntungan besar daripada penjualan senjata kepada Taiwan pada tahun 2025.

Sebagai seorang penonton, saya melihat siri animasi Boboiboy Windara, Boboiboy Baraju dan filem Papa Zola The Movie bukan semata-mata sebagai hiburan melainkan cerminan kepada apa yang terjadi di dunia nyata, walaupun latar tempat fiksyen yang dipilih adalah di planet yang berbeza untuk isu-isu yang berbeza.

Apabila menyelak helaian sejarah, kita boleh dapati isu-isu ini turut terjadi di sebuah planet yang sama, planet bumi kita.

Pada saya, itulah tugas fiksyen. Bukan semata-mata hiburan, melainkan turut menjadi cerminan kepada realiti.

Fiksyen bukan sahaja rekaan, sebaliknya ia adalah realiti yang dicampur pemikiran dan disadur dengan imaginasi bagi menggalakkan pembaca atau penonton menikmatinya.

Dan walaupun menurut Sutherland Z (1986) bahawa sastera kanak-kanak terdiri daripada penulisan berbentuk kreatif dan imaginatif yang dibaca dan dinilai oleh kanak-kanak, mengikut kesesuaian keinginan semula jadi mereka, ia juga berupaya untuk menyentuh isu-isu besar yang terjadi di sekitar kita seperti yang dipraktikkan pada siri animasi Boboiboy.

Demikianlah, fiksyen kanak-kanak sama ada animasi, cerpen atau novel sewajarnya menjadi senjata demi mengajar kanak-kanak tentang realiti dunia.

Mungkin saja ideologinya tidak dapat dicapai kanak-kanak, namun ia masih boleh menyentuh pemikiran orang dewasa yang menikmati cerita kanak-kanak.

Apatah lagi orang dewasa yang di dalam dirinya masih wujud jiwa seorang kanak-kanak.

Kanak-kanak ini meskipun hanya tertarik dengan aksi dan imaginasi, diri sebenar orang dewasa akan tetap peka kepada pemikiran dan isu-isu berkait realiti yang dipersembahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *