KUALA LUMPUR — Pemain industri buku tempatan menggesa agar kontrak Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang baharu tamat baru-baru ini dilanjutkan sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun bagi memastikan kesinambungan program dan perancangan yang telah disusun.
Bapa Pembangunan Buku Indie Negara, Azalan Hussain berkata langkah melanjutkan kontrak secara sementara adalah pendekatan paling praktikal berbanding melantik individu baharu secara tergesa-gesa.
“Nak mudah, lanjutkan kontrak. Lanjutkan setahun-setahun, sebab ia lebih mudah. Sebab kerja yang sudah dibuat sebelum ini, baik diteruskan. Berbanding orang baru masuk, nak faham struktur lagi, mungkin sedikit susah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Titik Baca pada Jumaat ketika mengulas kekosongan jawatan Pengarah MBKM selepas tamatnya tempoh perkhidmatan Mohd Khair Ngadiron.
Menurut Azalan yang juga dikenali sebagai Sinaganaga itu, kontrak berkenaan sekurang-kurangnya perlu dilanjutkan sehingga Disember tahun ini bagi memberi ruang menyelesaikan program yang telah dirancang.
“Kontrak itu perlulah dihabiskan dulu paling tidak sampai bulan Disember tahun ini. Sebab ada program-program lain lagi yang telah disusun pun. Lepas itu barulah ambil yang baru ataupun bersedialah yang baru itu.”
Pandangan itu muncul susulan pengumuman Mohd Khair yang memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM berakhir selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Mohd Khair menyatakan kontrak penggal ketiganya bersama MBKM tamat serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.
Sepanjang tempoh itu, beliau turut membentangkan Kad Laporan Strategik MBKM 2019–2026: Memacu Tamadun Ilmu yang merumuskan pelbagai pencapaian termasuk pengiktirafan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sebagai antara festival sastera terbaik dunia.
Mengulas lanjut, Azalan berkata pelanjutan kontrak bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor awam, terutama apabila kepakaran seseorang masih diperlukan oleh industri.
“Kalau lanjutkan jawatan itu pun tak boleh lama, setahun dua sahaja. Macam bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran sudah mencapai umur pencen, tetapi tetap diperlukan khidmatnya dalam industri,” tambahnya.
Tambahnya, pendekatan tersebut dapat memastikan perancangan sedia ada dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Boleh nampak dari ini ialah kerja-kerja yang sudah mereka susun menjadi lebih mudah untuk diteruskan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kerajaan boleh mengambil masa untuk mencari calon yang benar-benar sesuai bagi menerajui MBKM selepas tempoh peralihan itu.
“Kemudian ambillah orang baharu kalau ada orang baharu itu sesuai. Yang baharu itu mestilah boleh bekerja dalam enam hingga lapan tahun. Ramai lagi pegawai-pegawai kerajaan yang boleh naik pangkat sebelum mereka pencen.”
Menurut Azalan, jawatan Pengarah MBKM juga boleh diisi melalui pertukaran pegawai kanan dari agensi lain yang mempunyai pengalaman dalam sektor perbukuan.
“Jawatan itu pun tidaklah tinggi mana sangat, pengarah sahaja. Banyak saja pengarah lain dari jabatan atau agensi lain boleh tukar sahaja membawa pangkat yang sama. Tak perlulah naik pangkat,” ujarnya.
Beliau mencadangkan agar calon yang dilantik kelak mestilah individu yang memahami ekosistem industri buku negara, khususnya pengurusan acara besar seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
“Contohnya ambil daripada Dewan Bahasa dan Pustaka atau Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pun sesuai. Sesiapa yang faham industri bukulah terutamanya PBAKL. Nampak macam mudah PBAKL itu, tapi sebenarnya susah untuk menguruskannya.
Nak berurusan dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia, berurusan dengan Perbadanan Kota Buku. Agensi-agensi seperti ini mestilah nak lancarkan program-program mereka dengan adanya pengarah MBKM baharu,” komennya.
Dalam pada itu, Azalan turut mencadangkan agar industri tidak menolak kemungkinan melantik tokoh muda yang berpengalaman dalam bidang penerbitan sebagai peneraju baharu.
“Bolehlah lantik orang muda, contohnya CEO Fixi, Amir Muhammad,” cadangnya.












