Prapelancaran PBAKL 2026 himpun pemain industri buku dalam majlis berbuka puasa bersama Menteri Pendidikan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menganjurkan Majlis Prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026) yang digabungkan dengan Majlis Berbuka Puasa Menteri Pendidikan bersama pemain industri perbukuan Malaysia.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh industri termasuk penerbit, penulis, pengedar, pencetak serta wakil institusi pendidikan dalam suasana Ramadan yang penuh ukhuwah.

Menurut kenyataan media pengelola PBAKL 2026, penganjuran majlis bersepadu itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan pemain industri buku negara.

Kenyataan itu menyebut, “Majlis bersepadu ini merupakan manifestasi komitmen KPM dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kementerian dan pemegang taruh industri perbukuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ia turut menjelaskan bahawa program tersebut bertujuan menyatukan pelbagai pihak dalam ekosistem buku negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Diadakan dalam suasana Ramadan yang penuh ukhuwah, program ini bertujuan menyatukan penerbit, penulis, pengedar, pencetak, serta wakil institusi pendidikan bagi memantapkan lagi ekosistem buku negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam majlis tersebut, pihak penganjur turut mengumumkan bahawa PBAKL 2026 akan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Edisi kali ini mengangkat tema “Malaysia Membaca: Merayakan Buku” dengan skala penganjuran yang lebih besar dan progresif.

Menurut penganjur, sebanyak 1,210 reruai akan disediakan bagi memberi ruang pameran lebih luas kepada penerbit tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan karya terbaharu mereka.

Selain itu, aspek diplomasi budaya turut diketengahkan apabila Arab Saudi dipilih sebagai Negara Fokus, manakala Pahang menjadi Negeri Tamu bagi memperkenalkan kekayaan warisan serta sumbangan literasi negeri tersebut melalui pameran khas.

PBAKL 2026 juga akan menampilkan beberapa pavilion utama termasuk Pavilion KPM, Pavilion Kementerian Perpaduan Negara serta Pavilion Baitul Hikmah MADANI oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memperkukuh sokongan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan dan budaya membaca.

Dalam masa sama, penganjuran ASIAN Rights Fair (ARF) akan menjadi platform forum pertukaran hak cipta bagi mengantarabangsakan karya tempatan.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa pengunjung berpeluang menghayati Galeri Buku Kegemaran Pemimpin MADANI yang memaparkan bahan bacaan pilihan pemimpin negara.

Bagi memperkukuh pembangunan literasi generasi muda, penganjur akan mengadakan Festival Sastera Kanak-Kanak, Festival Kata serta program MIFLA Junior yang memberi tumpuan kepada pembinaan kepimpinan literasi dalam kalangan pelajar dan pengawas perpustakaan.

Selain itu, tiga pentas utama iaitu Pentas Utama, Dewan Merdeka dan Dewan Tun Razak 3 akan menjadi lokasi pelbagai persembahan seni, sesi dialog intelektual serta aktiviti pembacaan buku yang inklusif.

Menurut kenyataan tersebut, “KPM melalui MBKM optimis bahawa PBAKL 2026 akan terus menjadi medan strategik bagi memacu pembangunan industri perbukuan serta memperkukuh budaya membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *