KUALA LUMPUR — Pengelola baharu halaman sastera akhbar SelangorKini, Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri, menyatakan hasrat untuk memberikan nafas baharu kepada halaman tersebut dengan menekankan karya yang mempunyai makna dan wacana, bukan sekadar eksperimen bentuk semata-mata.
Sayidah Mu’izzah yang mula menggalas tanggungjawab itu pada 1 Mac 2026 menggantikan Fahmi Mustaffa berkata minggu pertama beliau lebih tertumpu kepada proses menyesuaikan diri dengan peranan baharu sebagai pengelola.
Menurutnya, pendekatan yang akan dibawa tidak semestinya menyalin sepenuhnya cara kerja terdahulu kerana tanggungjawab tersebut bukan hanya bersifat editorial semata-mata.
“Untuk minggu pertama ini, saya sebenarnya belum merancang apa-apa secara khusus. Bila kita ambil alih sesuatu ruang, kita kena bekerja dengan cara kita sendiri. Saya tidak boleh hanya menyalin kerja Fahmi kerana peranan saya bukan sekadar editor, tetapi juga sebagai pengelola,” katanya ketika ditemui Titik Baca pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau mengakui agak kecewa apabila mendapati jumlah esei yang dihantar setakat ini masih sangat sedikit.
“Apabila saya meneliti karya-karya yang telah dihantar ke emel sepanjang tahun ini, agak mengecewakan juga sebenarnya. Kita sudah masuk bulan Mac, tetapi yang menulis esei setakat ini cuma tiga orang sahaja,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap karya yang dihantar kepada SelangorKini selepas ini bukan sekadar menampilkan permainan bentuk, tetapi mempunyai gagasan dan makna yang kuat.
“Harapan saya, karya-karya yang dihantar nanti adalah karya yang mempunyai makna. Bentuk atau form itu tidak menjadi masalah kerana saya terbuka dengan apa sahaja gaya dan bentuk penulisan. Tetapi bagi saya, makna itu yang perlu didahulukan,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Sayidah Mu’izzah menegaskan bahawa ruang sastera perlu memberikan keseimbangan antara peranan sosial sastera dengan kebebasan kreatif penulis.
“Sastera memang sering dikaitkan dengan gagasan ‘seni untuk masyarakat’, dan itu memang sebahagian daripada fungsinya. Namun kita juga perlu adil kepada penulis kerana mereka mahu berkreativiti dan membawa idea yang mereka sendiri percaya,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa halaman sastera tersebut tidak akan menetapkan garis panduan yang terlalu ketat kerana sifat karya sastera yang sentiasa berkembang dan dinamik.
“Dalam hal seperti ini, sebenarnya tidak ada satu garis panduan yang benar-benar tetap. Karya sastera itu dinamik. Setiap pengkarya mempunyai ciri, idea dan perkara yang ingin dibawa dalam tulisan mereka.
Hantar sahaja dahulu karya itu. Nanti kita akan nilai dan lihat sama ada ia sesuai atau tidak untuk disiarkan,” katanya.
Tambah beliau, proses editorial juga boleh menjadi ruang dialog antara pengelola dan penulis bagi memperbaiki sesuatu karya yang berpotensi.
“Jika sesuatu karya itu ada potensi, saya berharap kita boleh bekerjasama dengan penulis tersebut. Kita boleh saling bertukar fikiran secara matang.
Jika penulis ingin memberikan maklum balas terhadap komen yang diberikan, itu juga tidak menjadi masalah kerana penulis mempunyai pendirian yang perlu kita dengar terlebih dahulu,” ujarnya.












