KUALA LUMPUR — Platform seni dan budaya tempatan, Maingayong mengumumkan penjenamaan semula buletin mereka, #mainsurat, yang akan dikenali sepenuhnya sebagai maingayong bermula April ini.
Pengasasnya, Aliff Awan, berkata perubahan tersebut dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pembaca yang selama ini berdepan dengan penggunaan dua nama berbeza bagi platform yang sama.
“Respons paling kerap kami terima sepanjang tiga tahun mengendalikan #mainsurat adalah kekeliruan tentang nama. Jadi, mulai bulan depan, kami satukan semuanya di bawah nama maingayong,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain penjenamaan semula, buletin tersebut juga akan beralih ke platform Substack, sejajar dengan usaha memperluas capaian kepada khalayak yang lebih luas, khususnya dalam kalangan peminat seni dan sastera.
Menurut Aliff, peralihan ke Substack diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada artis dan penulis tempatan yang kurang mendapat perhatian dalam media arus perdana.
“Platform ini berfungsi seperti media sosial, di mana kandungan boleh muncul kepada pembaca lain yang berminat dalam bidang seni dan sastera. Ini selari dengan tujuan asal kami—memberi ruang kepada suara yang jarang diketengahkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pelanggan sedia ada tidak perlu mengambil sebarang tindakan bagi proses pemindahan tersebut.
Semua langganan akan diteruskan secara automatik, dan arkib kandungan terdahulu kekal boleh diakses.
Bagi memperkayakan kandungan, maingayong turut memperkenalkan penulis jemputan baharu termasuk Farahin W. yang akan memfokuskan kepada buku dan sastera, serta A. Irfan yang akan mengulas acara muzik.
Mereka akan menyertai barisan penulis sedia ada seperti Aliff Awan sendiri dan gridmeja dalam penerbitan bulanan akan datang.
Maingayong sebelum ini dikenali sebagai platform yang konsisten mengetengahkan karya, ulasan dan liputan berkaitan seni, budaya dan kesusasteraan tempatan sejak tiga tahun lalu.












