Kejayaan filem Back to the Past yang memecahkan rekod box office pada penghujung 2025 bukan sekadar fenomena sinematik.
Di Malaysia, naskhah ini mencatat sejarah sebagai filem Hong Kong terpantas mencecah kutipan RM10.2 juta dalam tempoh 11 hari, manakala di Hong Kong ia meraih HK$11.5 juta pada hari pembukaan.
Namun, angka jutaan ringgit ini hanyalah permukaan kepada satu gelombang yang lebih tenang tetapi mendalam.
Lebih menarik, ia mencetuskan gelombang baharu dalam dunia bacaan digital di China dan Hong Kong apabila pelantar e-book dan audiobook melaporkan peningkatan ketara terhadap novel asalnya, The Chronicles of Finding Qin (尋秦記) karya Huang Yi.
Generasi muda yang tidak sempat mengikuti drama televisyen tahun 2001 kini kembali menelusuri ribuan halaman teks sebelum melangkah ke panggung.
Laporan daripada pelantar e-dagang seperti YesAsia menunjukkan satu anomali pasaran yang jarang berlaku bagi karya berusia tiga dekad.
Edisi Semakan (Revised Edition) novel ini dilaporkan mengalami lonjakan permintaan sehingga beberapa jilid kehabisan stok sepenuhnya dalam tempoh pesanan awal mencecah 21 hari.
Di ruang digital, pelantar e-book dan audiobook di China dan Hong Kong turut melaporkan peningkatan carian kata kunci “Huang Yi” dan “Xun Qin Ji” melebihi 300 peratus sepanjang tempoh tayangan filem tersebut.
Sebuah karya yang telah berada di pasaran lebih tiga dekad tiba-tiba kembali menjadi perbincangan hangat.
Fenomena ini memperlihatkan bahawa filem bukan sekadar hiburan visual, tetapi bertindak sebagai “enjin kebudayaan” yang menghidupkan semula selera pembacaan serius.
Jambatan antara skrin dan teks
Persoalannya, mengapa penonton yang sudah menyaksikan aksi hebat Louis Koo dan Raymond Lam di layar sanggup kembali menelusuri ribuan halaman teks?
Jawapannya terletak pada keterbatasan durasi dua jam tayangan yang tidak mampu menampung lapisan naratif dan falsafah yang ditawarkan oleh Huang Yi.
Nostalgia mungkin menjadi pintu masuk, tetapi “kelaparan intelektual” adalah faktor yang menggerakkan pembaca.
Penonton yang membesar dengan versi TVB kembali mencari teks asal untuk mendalami butiran plot yang dipadatkan dalam drama dan filem.
Jika skrin menawarkan intensiti visual, novel pula menyediakan ruang kontemplatif.
Pembaca baharu, terutamanya generasi muda, mula menyedari bahawa versi teks menawarkan kandungan yang lebih matang, kompleks dan berani berbanding adaptasi visualnya yang sering kali terikat dengan garis panduan penyiaran.
Kejayaan filem ini juga mencetuskan minat mendalam terhadap sejarah Zaman Negara-Negara Berperang serta penyatuan China oleh Maharaja Qin Shi Huang.
Novel Huang Yi lalu menjadi rujukan fiksyen sejarah yang menarik—bukan sahaja kerana plotnya, tetapi kerana ketelitian budaya, sistem politik dan latar sosial yang digarap dengan penuh kesungguhan.
Menembusi lapisan sejarah dan falsafah
The Chronicles of Finding Qin tidak terletak pada sensasi perjalanan masa semata-mata.
Keinginan untuk kembali ke teks asal turut didorong oleh ketelitian Huang Yi dalam menggarap latar Zaman Negara-Negara Berperang.
Di sebalik plot pengembaraan masa (time travel), novel ini adalah sebuah kajian budaya, sistem politik, semangat kepahlawanan tradisional China dan fiksyen sejarah yang berlandaskan kajian yang mendalam.
Gabungan ini bukan sahaja menyegarkan pada 1990-an, Huang Yi mempelopori genre chuanyue bukan sekadar untuk sensasi, tetapi sebagai kanta untuk melihat pertembungan antara humanisme moden dengan realiti politik purba yang keras dalam kesusasteraan popular China.
Dalam teks asal, paradoks takdir diterokai dengan lebih gelap.
Watak Xiang Shaolong (Hong Siu-lung) sering kali mendapati bahawa setiap usahanya untuk mengubah sejarah sebenarnya adalah “skrip” yang memastikan sejarah itu berlaku.
Di layar, ini mungkin kelihatan seperti ancaman terhadap garis masa. Tetapi dalam pembacaan teks, ia berkembang menjadi persoalan eksistensial tentang kebebasan manusia di tengah-tengah jaringan takdir yang tegar.
Tragedi Ying Zheng: Di sebalik kuasa mutlak
Kekuatan sebenar yang menarik pembaca kembali ke naskhah asal adalah transformasi watak Ying Zheng—bakal Maharaja Qin Shi Huang.
Walaupun Xiang Shaolong menggerakkan plot, Ying Zheng memikul dimensi tragedi yang paling berat.
Dalam novel, identiti Ying Zheng menjadi persoalan provokatif apabila watak asalnya diceritakan telah mati dan digantikan oleh Zhao Pan demi kelangsungan sejarah.
Di sinilah Huang Yi melontarkan kritik sastera terhadap legitimasi kuasa, “Adakah seorang Maharaja Agung lahir kerana darah keturunan, atau dicipta oleh keadaan dan manipulasi sejarah?”
Evolusi Ying Zheng daripada pemuda tertindas kepada pemerintah kuku besi mencerminkan falsafah Legalism yang menjadi tunjang Dinasti Qin.
Hubungan antara “guru” (Xiang Shaolong) dan “murid” (Ying Zheng) akhirnya berkembang menjadi konflik ideologi yang klasik—humanisme moden bertembung dengan realiti politik purba yang keras.
Xiang Shaolong menjadi kanta pembaca melihat perubahan zaman, manakala Ying Zheng menjadi simbol harga yang perlu dibayar oleh kuasa mutlak.
Melalui teks, pembaca dapat menyelami “kesunyian di puncak kuasa” dan pengorbanan moral yang terpaksa dilakukan demi penyatuan empayar—sesuatu yang sukar dizahirkan sepenuhnya melalui ekspresi wajah di layar perak.
Dalam adaptasi filem terbaharu, Ying Zheng (lakonan Raymond Lam) masih mengekalkan elemen ancaman terhadap sejarah, namun sisi falsafahnya lebih terserlah dalam teks asal.
Filem menawarkan intensiti visual dan dramatik yang padat, tetapi novel menyediakan ruang kontemplatif yang lebih luas.
Pembaca bukan sekadar menyaksikan sejarah bergerak, sebaliknya diajak merenungi makna di sebalik gerakan itu.
Suara di sebalik halaman
Gelombang bacaan digital dan lonjakan jualan fizikal yang kita saksikan hari ini memperlihatkan bahawa khalayak tidak sekadar mencari hiburan pantas, tetapi juga kedalaman.
Keberanian pembaca untuk kembali kepada teks asal selepas keluar dari panggung wayang menunjukkan bahawa sastera masih mempunyai keupayaan untuk mengungkap dilema moral, pergolakan identiti dan pertentangan ideologi yang tidak selalu terakam dalam durasi dua jam tayangan.
Seperti yang terlihat melalui fenomena Finding Qin pada tahun 2025 dan 2026 ini, apa yang tidak terucap di layar, sering kali menemukan suaranya yang sebenar dalam halaman-halaman sastera.













