Kota Baca 2026 Sasar 100,000 pengunjung, Dataran Merdeka jadi tumpuan April ini

Kotabaca

CYBERJAYA — Perbadanan Kota Buku (PKB) mengumumkan penganjuran Kota Baca 2026, sebuah acara literasi kebangsaan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, yang bakal berlangsung dari 23 hingga 26 April ini dengan sasaran kehadiran sehingga 100,000 pengunjung.

Acara yang akan diadakan secara hibrid ini merangkumi pelbagai aktiviti dalam talian serta program fizikal di Dataran Merdeka, sekali gus mengangkat budaya membaca sebagai amalan harian masyarakat.

Menurut PKB, Kota Baca 2026 dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh budaya ilmu di Malaysia, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta dasar-dasar pendidikan dan perbukuan negara.

Inisiatif ini turut menyokong komitmen Malaysia terhadap UNESCO dalam memperkasa literasi.

Program ini melibatkan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pemain industri buku, institusi pendidikan serta komuniti termasuk golongan belia dan orang kurang upaya.

Selain kehadiran fizikal, PKB turut menyasarkan capaian meluas di platform digital melalui kempen video dan media sosial.

Bermula 26 Mac hingga 26 April, kempen membaca akan digerakkan di TikTok dengan penggunaan tanda pagar seperti #KotaBaca2026 dan #MalaysiaMembaca bagi menggalakkan penyertaan orang ramai.

Pada masa sama, jualan buku dalam talian akan berlangsung menerusi platform Book Capital dan TikTok Shop bermula 1 April, menawarkan pelbagai promosi menarik kepada pembaca.

Kemuncak acara pada 23 April akan menyaksikan pelancaran Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca di Perpustakaan Kuala Lumpur, selain program Jom Baca Bersama (10 Minit di Seluruh Negara) yang dijangka melibatkan penyertaan meluas rakyat Malaysia.

Sementara itu, dari 24 hingga 26 April, Dataran Merdeka akan menjadi pusat aktiviti utama dengan pelbagai program seperti sesi temu penulis, Larian Karakter Buku 5KM, konsert buku, jualan buku rakyat, serta Himpunan Tukar Buku terbesar di Malaysia.

Turut dijadualkan ialah Pidato Negarawan yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pameran seni buku, pameran buku nadir, kafe buku, audio siar serta pelbagai inisiatif interaktif termasuk Pasport Kota Baca dan Stesen Derma Buku.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata, Kota Baca 2026 bukan sekadar acara, sebaliknya satu gerakan besar untuk membudayakan ilmu dalam kehidupan masyarakat.

“Kita mahu aktiviti membaca menjadi satu keperluan dalam kehidupan, bukan sekadar pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKB turut merancang untuk menjadikan Kota Baca sebagai acara tahunan negara setiap 23 April, bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, sebagai usaha berterusan membina masyarakat berilmu dan berdaya saing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *