Adakah karya LLM mempunyai estetikanya tersendiri?

Laptop screen showing a search bar.

Unsplash

Sejak kita bertukar dekad baharu enam tahun lepas, kita melihat pelbagai teknologi baharu cuba ditengahkan sebagai gerakan seni baharu, terutamanya karya-karya menggunakan Large Language Model (LLM).

Walaupun penghasilannya bersifat generatif dan dicipta oleh pembelajaran mesin menggunakan (baca: mencuri) karya-karya daripada seluruh sejarah kemanusiaan.

Dari segi estetika, pada awalnya ya, kita dengan mudah dapat menangkap perbezaan karya LLM berbanding buatan manusia.

Ia melibatkan jari, muka, dan tona suara dalam konteks penulisan, selain banyak menggunakan beberapa terma dan tanda baca.

Sehingga sengkang—em (em dash) yang saya sendiri gemar gunakan kini secara automatik dianggap penulisan LLM.

Tetapi hal-hal seperti jari terlebih yang mungkin dapat jadi pembezaan estetika yang menarik untuk pengkarya LLM; ia kian lenyap atas obsesi terhadap estetika realisme yang dilihat lebih sahih berbanding seni abstrak, membuatkan karya-karya ini menjadi lebih realistik dari hari ke hari.

Lagi sebuah aspek karya LLM adalah keterbukaan akses kepada sesiapa sahaja untuk berkarya, selagi mereka mempunyai sebuah idea.

Daripada sesiapa boleh belajar menulis atau melukis dan jadi kompetan dalam lima tahun ke apa, kini proses itu adalah semalaman.

Hanya perlu memasukkan kata-kata kunci yang spesifik dan dalam beberapa saat sahaja siap karyanya.

Di sini kita ada beberapa poin untuk mengiyakan bahawa LLM adalah sebuah gerakan seni; karyanya merespons kepada ideologi atau estetika yang datang sebelumnya menggunakan teknologi baharu yang memberi capaian kepada sesiapa sahaja untuk mencipta dalam sebuah impian bahawa lebih banyak ciptaan orang biasa dipertengahkan dan menjadi tumpuan.

Sama seperti internet mendemokrasikan ilmu dan media sosial mendemokrasikan perhubungan tanpa sempadan. Boleh jadi, kan?

Tetapi sejujurnya, ini bukan apa yang sedang berlaku, kan?

Majoriti ciptaan LLM dalam kalangan orang biasa adalah pornografi atau semi-pornografi termasuk baru-baru ini dengan LLM bernama Grok di laman X membogelkan wanita dan kanak-kanak daripada gambar biasa mereka.

Selain memasukkan segala maklumat peribadi termasuk gambar di dalam sistem pembelajaran mesin aplikasi-aplikasi ini.

Seluruh argumen pendemokrasian pengkaryaan runtuh apabila kita sedar bahawa orang biasa tidak berminat untuk menjadi pencipta, kerana kami semua adalah konsumer.

Bahkan, kita tidak dilihat sebagai pengkarya oleh aplikasi-aplikasi LLM ini, bak kata-kata CEO ChatGPT, “We see a future where intelligence is a utility, like electricity or water, and people buy it from us on a meter.”

(Terjemahannya: “Kami membayangkan sebuah masa depan di mana kecerdasan adalah seperti utiliti, elektrik atau air, di mana orang ramai akan membelinya daripada kami berdasarkan meter.”)

Dari aspek estetika pula, obsesi realisme yang hadir daripada salah faham terhadap karya abstrak dan eksperimental, antara anda sedar atau tidak, bermula sebagai propaganda golongan Nazi sewaktu Perang Dunia Kedua dalam menolak karya-karya abstrak ciptaan komuniti minoriti di Jerman.

Ia mengambil nyawa baru di abad baharu ini kerana kekurangan pendidikan dan apresiasi, serta tidak dapat mengasingkan karya daripada pasar.

Harga karya berjutaan dolar serta tuduhan-tuduhan pembasuhan wang menurunkan lagi kepercayaan orang ramai terhadap pembuatan seni.

Karya hasil LLM juga dari awal tidak berminat untuk mencipta estetika yang unik atau mendefinisikan stail mereka kerana ia ingin menggantikan seni ciptaan manusia di dalam ruang awam.

Seni-budaya sudah jauh dileperkan konsumerisme sehingga orang biasa sudah tidak kisah dari mana datangnya hiburan untuk mereka.

Semudah-mudahnya konten TikTok yang mengambil dua minggu untuk dicipta, LLM dapat membuatnya dalam dua jam.

Sesukar-sukar animasi yang mengambil dua tahun untuk dibuat, LLM dapat membuatnya dalam dua hari. Duit pun jimat, kan? Tak perlu membayar bermacam-macam orang.

Sebagai seseorang yang pernah mengurus bajet produksi filem, saya tahu berapa ramai orang yang terlibat dalam sesuatu projek.

Bermakna karya LLM lebih laju dilepaskan ke ruang awam berbanding karya tradisional dan suatu hari si Timothée Chalamet juga akan merasakan perit perlu bersusah untuk memastikan pembikinan filem pra-LLM akan terus hidup di masa depan.

Jadi macam mana?

Adakah kita pengkarya semua perlu tutup kedai dan mula berjinak-jinak dengan AI?

Cuba mencipta sesuatu yang baru dan menarik seperti pengarah daripada China, Jia Zhangke, yang tular baru-baru ini atas filem pendeknya menggunakan LLM?

Filem pendek ini menggunakan dua ciptaan yang mengajuk dirinya sendiri dalam sebuah perbualan antara mereka yang sepenuhnya generatif mengenai penciptaan, pengkaryaan, dan kemanusiaan.

Sejujurnya, saya boleh menghormati Jia Zhangke dan mereka yang cuba mencipta sesuatu yang baru menggunakan LLM, tetapi filem pendek ini masih dikritik kerana melanggar hak cipta pengkarya lain kerana LLM secara asasnya masih adalah seorang pencuri.

Sehingga benar-benar muncul sebuah gerakan yang kukuh, saya tidak boleh mengatakan LLM ini sebuah gerakan dalam seni-budaya.

Jadi, betul-betul macam mana?

Saya cadangkan untuk merujuk kepada tulisan sebelum ini, menulis dan teruslah menulis, dan beri saya sedikit masa untuk menyiapkan penulisan ketiga untuk siri ini.

C’est la vie.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *