KUALA LUMPUR — Kumpulan muzik MonoloQue kembali mencuri perhatian dengan pengumuman pelancaran semula lagu “Pujaan Hatiku” sebagai single terbaharu mereka.
Menariknya, lagu tersebut bukanlah karya baharu sepenuhnya.
“Pujaan Hatiku” sebelum ini pernah diperkenalkan sebagai runut bunyi filem Kami Histeria arahan Shamyl Othman sekitar tahun 2013, dibawakan oleh kumpulan Histeria.
Lagu itu ditulis dan diterbitkan oleh loQue sendiri, sebelum disimpan selama lebih sedekad menanti masa yang sesuai untuk diberi nafas baharu.
Kini, versi monoloQue tampil dengan pendekatan yang jauh berbeza daripada versi asal. Susunan muziknya dilucutkan kepada elemen paling asas—gitar akustik, piano dan synthesizer—tanpa penggunaan dram.
Pendekatan minimalis ini menghasilkan suasana yang lebih gelap dan intim, dengan sentuhan estetika gothic romantik era 1980-an yang menyerlah di sebalik aransemennya.
Menurut loQue, keputusan untuk “menelanjangkan” lagu ini bukan sekadar eksperimen bunyi, tetapi satu usaha untuk membiarkan emosi dan nuansa lagu itu bernafas dengan lebih tulen.
Dari segi lirik, “Pujaan Hatiku” mengekalkan kekuatan metafora yang terbuka kepada pelbagai tafsiran.
Pendekatan ini mengingatkan kepada lagu “Mati Hidup Kembali” oleh Butterfingers, yang turut terkenal dengan lapisan makna yang mendalam dan tidak terikat kepada satu interpretasi sahaja.
Dalam versi terbaharu ini, monoloQue turut membawa lagu tersebut ke dalam acuan muzik rakyat yang lebih epik dari segi rasa, namun minimal dari segi bunyi.
Hasilnya, “Pujaan Hatiku” muncul sebagai sebuah karya yang berdiri sendiri—bukan sekadar versi ulang, tetapi interpretasi baharu yang memperluas potensi asalnya.
Single ini dijangka akan dilancarkan pada 17 April dan bakal tersedia di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Ditubuhkan pada 2009 oleh loQue, MonoloQue terus dikenali sebagai kumpulan yang bereksperimen dengan bunyi dan lirik puitis.
Selepas pandemik, mereka tampil dengan “bunyi baharu” yang menggabungkan elemen gitar dan gendang secara lebih segar, menjadikan perjalanan muzik mereka kekal relevan dalam landskap semasa.













