KUALA LUMPUR, 17 April — Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Dato’ Jurey Latiff Rosli, menyeru kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan industri kreatif tempatan yang disifatkan kini berada di persimpangan kritikal.
Seruan itu dibuat sejurus beliau mengekalkan jawatan sebagai Presiden PTVM bagi penggal 2026–2029 selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 persatuan berkenaan semalam.
Menurut beliau, industri penerbitan kandungan tempatan kini berdepan tekanan hebat dalam ekosistem media digital yang semakin tidak seimbang, khususnya apabila kandungan tidak berstruktur bersaing tanpa tertakluk kepada kos dan tanggungjawab yang sama seperti syarikat produksi berlesen.
“Hari ini, kita perlu jujur. Industri penerbitan kandungan tempatan sedang berada di persimpangan yang kritikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa dalam era media sosial, naratif negatif bergerak lebih pantas berbanding kandungan yang membina, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kekurangan sokongan sistemik untuk kandungan berteraskan negara bangsa.
Sehubungan itu, PTVM mendesak kerajaan mewujudkan dana khusus bagi penghasilan kandungan berteraskan konsep Malaysia MADANI sebagai strategi nasional untuk menangani persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Jika kita gagal mengisi ruang ini dengan kandungan berkualiti, rakyat akan membentuk persepsi berdasarkan maklumat yang tidak seimbang, separuh benar atau dimanipulasi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mendedahkan bahawa syarikat penerbitan tempatan yang sah dan berstruktur kini bergelut untuk terus bertahan walaupun mematuhi pelbagai keperluan operasi seperti lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, pembayaran cukai, kos audit, penggajian pekerja serta komitmen caruman KWSP.
Namun, mereka terpaksa bersaing dengan penghasilan kandungan digital yang tidak tertakluk kepada struktur kos yang sama, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan dalam industri.
Beliau menegaskan, situasi berterusan tanpa intervensi dasar berisiko menyebabkan negara kehilangan syarikat produksi tempatan, tenaga kerja berkemahiran serta kualiti kandungan nasional, selain menjejaskan keupayaan membentuk naratif negara sendiri.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan industri kreatif sebagai pemacu penting Ekonomi Jingga yang berpotensi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain berperanan sebagai alat paling berkesan dalam pembinaan negara bangsa di era digital.
“Kerajaan perlu membuat keputusan yang jelas sama ada industri ini sekadar hiburan atau aset strategik negara. Jika aset strategik, maka tindakan juga mesti strategik,” katanya.
Dalam pada itu, PTVM mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan, iaitu penubuhan dana kandungan Madani berskala nasional, pelaksanaan polisi bagi mewujudkan ekosistem industri yang lebih seimbang, serta pengiktirafan rasmi PTVM sebagai rakan strategik kerajaan dalam pembinaan naratif negara.
“Ini bukan rayuan. Ini adalah keperluan mendesak untuk kelangsungan industri dan kedaulatan naratif negara,” tegasnya.












