MP Petaling Jaya gesa KDN tarik balik larangan dua buku sejarah

Cheanchung

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyuarakan rasa terkejut terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan dua buah buku berkaitan sejarah tokoh kiri Melayu, sambil menggesa larangan tersebut ditarik balik.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau merujuk kepada pengharaman buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah yang disifatkan sebagai langkah tidak selari dengan semangat keterbukaan intelektual.

Terdahulu, pada 15 April 2026, penerbit Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) memaklumkan bahawa kedua-dua buku tersebut telah dikenakan perintah larangan oleh KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melibatkan subseksyen 7(1) serta subseksyen 8(1) dan 8(2).

Buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 pertama kali diterbitkan pada 2004 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum diulang terbit oleh SIRD pada 2007, dan telah dicetak semula beberapa kali.

Sementara itu, Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah diterbitkan pada tahun 2022.

Kedua-duanya merupakan karya yang mengangkat naratif sejarah berkaitan gerakan kiri di Tanah Melayu.

Mengulas lanjut, Chean Chung menyifatkan pengharaman tersebut sebagai ironik kerana buku memoir Shamsiah Fakeh yang telah berada di pasaran sejak 2004 tidak pernah diharamkan di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, termasuk semasa era Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Namun hari ini, ia diharamkan di bawah Kerajaan Madani yang diterajui Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dari sudut akademik, kepelbagaian wacana perlu diraikan, manakala budaya membaca, berbahas dan berfikir secara kritis harus diperkukuh, bukannya disekat melalui tindakan penapisan.

Dalam kenyataan sama, beliau mengaitkan perkembangan itu dengan pemergian tokoh intelektual negara, Profesor Diraja Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia keilmuan, sambil mempersoalkan konsistensi kerajaan dalam memartabatkan budaya ilmu.

Dari sudut politik pula, Chean Chung menegaskan bahawa sejarah negara harus bersifat inklusif dan tidak dimonopoli oleh satu naratif semata-mata.

Menurutnya, sumbangan pelbagai pihak dalam perjuangan kemerdekaan wajar diiktiraf dan dibahaskan secara terbuka sebagai sebahagian daripada persaingan idea yang sihat.

Beliau turut merujuk kepada tokoh intelektual kiri, Dr. Syed Husin Ali, sebagai contoh pemikiran yang menekankan keadilan sosial dan pembelaan golongan tertindas, sambil mempersoalkan bagaimana tokoh tersebut akan melihat tindakan kerajaan hari ini.

“Zaman memonopoli kebenaran sudah berlalu. Zaman menakut-nakutkan rakyat dengan mengharamkan buku juga telah berlalu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KDN untuk menilai semula keputusan tersebut dan menarik balik larangan ke atas kedua-dua buku berkenaan, sambil menegaskan bahawa langkah pengharaman bukan pendekatan yang wajar dalam sebuah masyarakat demokratik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *