Buku Shamsiah Fakeh, Komrad Asi diharamkan, penerbit akan cabar keputusan KDN

Shamsiahfakehkomradasi

KUALA LUMPUR — Dua buah buku yang menyentuh sejarah dan naratif tokoh kiri Melayu, Shamsiah Fakeh dan Komrad Asi diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Perintah larangan itu dikeluarkan hari ini menerusi subseksyen 7(1) serta subseksyen 8(1) dan 8(2), melibatkan buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.

Menurut kenyataan penerbit, Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), buku memoir Shamsiah Fakeh tersebut telah diterbitkan sejak 2004 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum diterbitkan semula di bawah imprin mereka pada 2007.

Sepanjang tempoh penerbitannya, buku itu telah diulang cetak sebanyak tiga kali, menunjukkan permintaan dan minat berterusan daripada pembaca.

Sebuah lagi buku yang turut dikenakan larangan ialah Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah, yang diterbitkan pada tahun 2022.

Pihak penerbit menyifatkan tindakan pengharaman itu sebagai langkah yang menyempitkan ruang wacana intelektual dan menghalang perkembangan budaya ilmu dalam masyarakat.

Menurut mereka, kedua-dua buku berkenaan diterbitkan sebagai bahan rujukan sejarah yang bertujuan membuka ruang kepada pembaca untuk menilai dan memahami peristiwa lampau secara kritis.

“Kami melihat tindakan ini sebagai satu langkah yang menyempitkan ruang wacana dan menghalang perkembangan budaya ilmu,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, penerbit memaklumkan bahawa mereka akan mencabar keputusan pengharaman tersebut melalui saluran perundangan yang sewajarnya.

Mereka turut menegaskan pendirian menolak sebarang bentuk penapisan yang dianggap bertujuan mengawal pemikiran serta membungkam perbincangan sejarah.

Kes ini dijangka mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai kebebasan penerbitan, tafsiran sejarah serta peranan kerajaan dalam mengawal bahan bacaan awam di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *