KUALA LUMPUR — Sebuah festival muzik dan seni independen berskala serantau, Jabat Erat Fringe Arts Festival 2026, bakal berlangsung selama tiga hari dari 5 hingga 7 Jun ini di Odeon KL, menghimpunkan lebih 20 persembahan daripada artis tempatan dan Asia Tenggara.
Dianjurkan oleh RockStation Event & Entertainment, festival ini menampilkan gabungan muzik, seni dan budaya komuniti alternatif dalam suasana bersejarah bekas Panggung Odeon yang dibina pada tahun 1936 di tengah ibu kota.
Festival ini akan berlangsung di dua pentas utama, iaitu Odeon Hall dan Laman Odeon dengan pelbagai genre diketengahkan termasuk shoegaze, indie rock, folk, metal, soul, post-punk, hardcore, emo dan J-rock.
Malam pembukaan pada 5 Jun akan menyaksikan persembahan artis seperti VIONA, The Impatient Sisters, Faye Faire, Bayangan dan Hawa, sebelum ditutup oleh band alt-rock dari Bangkok, Yellow Fang.
Hari kedua pula menampilkan barisan seperti Women and Children, Amrita Soon, Tripping Haze Ceremony, Quarter Life, Dogtooth, The Garrison, The World Ends with You, DOM65 dan Megumi Arcoda.
Festival ini akan melabuhkan tirainya pada 7 Jun dengan persembahan daripada Leaism, Straw Lim, Speedwitches, Swindle, Playburst, Man Dead Set, Soft, Pogowolves dan Coaltar of the Deepers dari Jepun.
Selain persembahan muzik, festival ini turut menyediakan ruang diskusi komuniti menerusi segmen Sembang Odeon yang menghimpunkan penggiat industri untuk berkongsi idea dan pengalaman.
Antara panel yang terlibat termasuk wakil label muzik, pemuzik serta pereka grafik independen.
Sepanjang acara berlangsung, Laman Odeon juga akan menjadi lokasi sambutan Record Store Day dengan kehadiran pelbagai gerai yang menjual vinil, CD dan kaset, sekali gus menarik minat pengumpul dan peminat muzik fizikal.
Menurut Pengarah Artistik festival, Fendi Mazlan, Jabat Erat membawa makna lebih besar daripada sekadar acara hiburan.
“Jabat Erat lebih daripada sekadar festival. Ia adalah satu jabat tangan yang sebenar antara penganjur, band, label, veteran dan generasi baharu yang baru bermula, dari Malaysia, Asia Tenggara dan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, festival ini menjadi titik pertemuan penting bagi komuniti muzik alternatif serantau.
“Di sinilah komuniti fringe rock and roll independen bertemu,” ujarnya.
Tiket pra-jualan akan mula ditawarkan pada 16 April 2026 dengan harga antara RM118 hingga RM218, manakala jualan umum bermula 17 April dengan harga sehingga RM238.
Tiket boleh dibeli melalui www.jabaterat.com.my.
Dengan gabungan artis antarabangsa, program komuniti serta kepelbagaian genre muzik, Jabat Erat 2026 dijangka menjadi antara acara penting dalam kalendar muzik independen tahun ini.













