KUALA LUMPUR — PEN Malaysia mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buah buku berkaitan sejarah gerakan kiri, menyifatkannya sebagai satu kemunduran terhadap kebebasan intelek dan wacana demokratik di negara ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, pertubuhan itu menegaskan bahawa pengharaman buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan berekspresi serta akses masyarakat kepada bahan rujukan sejarah.
Terdahulu, pada 15 April 2026, penerbit Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) memaklumkan bahawa kedua-dua buku tersebut telah dikenakan perintah larangan oleh KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melibatkan subseksyen 7(1) serta subseksyen 8(1) dan 8(2).
Buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10, pertama kali diterbitkan pada 2004 dan telah berada di pasaran selama lebih dua dekad dengan beberapa kali cetakan semula.
Sementara itu, buku Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah diterbitkan pada 2022 sebagai karya refleksi sejarah yang lebih kontemporari.
Menurut PEN Malaysia, tindakan mengharamkan buku yang telah lama beredar dan diterima umum mencetuskan persoalan besar terhadap ketelusan serta konsistensi proses pengawalseliaan penerbitan.
“Apabila sesuatu buku boleh ditarik balik dari edaran sewenang-wenangnya setelah puluhan tahun ia diterima, ia melunturkan kepercayaan orang ramai kepada institusi,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan tersebut turut memberi amaran tentang peningkatan trend penapisan retrospektif, iaitu tindakan menyekat karya yang telah lama diterbitkan, yang disifatkan sebagai pendekatan reaktif untuk mengawal naratif sejarah.
PEN Malaysia menegaskan bahawa buku bukanlah ancaman, sebaliknya merupakan wadah penting untuk penyelidikan, perdebatan dan pemikiran kritis.
Menyekat akses kepada karya-karya sedemikian, menurut mereka, adalah sama dengan menafikan hak masyarakat untuk memahami sejarah daripada pelbagai perspektif.
Malah, mereka mempersoalkan rasional di sebalik usaha memadam bukti sejarah, sambil menegaskan bahawa memahami tokoh dan gerakan yang kontroversial tidak akan melemahkan negara, tetapi sebaliknya memperkukuhnya melalui kefahaman yang lebih matang.
Dalam kenyataan sama, PEN Malaysia turut menggesa KDN supaya menarik balik pengharaman tersebut dengan segera serta mewujudkan rangka kerja yang telus dan berakauntabiliti bagi sebarang tindakan melibatkan larangan penerbitan pada masa hadapan.
Pertubuhan itu juga menyatakan sokongan terhadap tindakan undang-undang yang diambil oleh penerbit Gerak Budaya bagi mencabar keputusan tersebut, sambil menegaskan bahawa langkah perundangan sedemikian tidak sepatutnya diperlukan sekiranya proses pengawalseliaan dilaksanakan secara telus dan konsisten.
Selain itu, PEN Malaysia memaklumkan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan KDN, termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi membincangkan keperluan mendesak untuk mewujudkan prosedur operasi standard yang lebih jelas dalam isu pengharaman buku.
Mereka turut mencadangkan agar proses tersebut melibatkan penulis, penerbit serta pihak berkepentingan dalam industri perbukuan sebagai sebahagian daripada pendekatan yang lebih inklusif.
“Kami bersolidariti dengan penerbit, penulis dan pembaca dalam mempertahankan kebebasan untuk berfikir, menulis dan meluahkan pandangan,” menurut kenyataan itu.













