Pameran buku nadir Frank Swettenham tarik perhatian pengujung Kota Baca 2026

Frankgemokdanbuku

Antara koleksi karya nadir dan bernilai tinggi yang dipamerkan di reruai Gemok dan Buku di Kota Baca 2026, Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR — Reruai Gemok dan Buku menjadi antara tarikan utama di KOTA BACA 2026 menerusi pameran buku nadir dan peta lama, termasuk karya penting oleh Frank Swettenham yang jarang dipamerkan kepada umum.

Pameran yang berlangsung di Dataran Merdeka itu menampilkan judul seperti Malay Sketches, The Real Malay, Unaddressed Letters dan British Malaya, yang terbit di antara tahun 1902 hingga 1907; selain versi terjemahan Gelagat dan Ragam Orang Melayu serta edisi anotasi dan cetakan baharu karya-karya berkenaan.

Keistimewaan pameran ini turut diperkukuh dengan lokasinya yang bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad — bangunan bersejarah yang mempunyai kaitan langsung dengan era pentadbiran kolonial British dan tokoh seperti Swettenham sendiri.

Bangunan itu siap dibina pada tahun 1897 sebagai Bangunan Sekretariat dan dirasmikan oleh Swettenham pada 3 April tahun yang sama, selepas pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1896.

Latar sejarah ini menjadikan pameran buku nadir tersebut seolah-olah menghidupkan kembali naratif silam di lokasi asalnya.

Menariknya, koleksi buku nadir yang dipamerkan ini bukan sekadar untuk tontonan, malah turut ditawarkan untuk jualan kepada pengumpul dan pencinta buku.

Antara yang mencuri perhatian ialah Malay Sketches yang ditawarkan pada harga sekitar RM900, manakala Unaddressed Letters pula mencecah RM400.

Tanda harga itu sendiri menjadi bahan bualan pengunjung, dengan ramai yang dilihat terpegun melihat nilai sebuah buku lama yang boleh mencecah ratusan hingga hampir ribuan ringgit.

Bagi sebahagian pengunjung, pengalaman melihat buku nadir secara dekat, apatah lagi mengetahui nilainya memberi perspektif baharu tentang nilai sejarah dan warisan ilmu yang terkandung di dalamnya.

Ada yang sekadar membelek dengan penuh berhati-hati, ada juga yang mengambil gambar sebagai kenangan, seolah-olah berhadapan dengan artifak berharga.

Tidak kurang juga yang meluahkan minat untuk memiliki, walaupun mengakui harga tersebut lebih sesuai untuk pengumpul serius.

Pemilik Gemok dan Buku, Mohd Syahmi Ibrahim berkata, pameran ini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan bahan sejarah yang sebelum ini sukar diakses.

“Kita nak orang ramai lihat sendiri buku-buku nadir ini, bukan sekadar baca tentangnya dalam jurnal atau arkib.

“Bila ia dibawa ke ruang terbuka seperti Kota Baca, ia jadi lebih hidup dan dekat dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui Titik Baca pada Sabtu.

Menurut beliau, pemilihan karya Swettenham juga bukan kebetulan, sebaliknya mempunyai kaitan dengan konteks lokasi dan sejarah kawasan tersebut.

“Bila kita berada di Dataran Merdeka, bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad yang pernah dirasmikan oleh Swettenham sendiri, pameran ini memberi satu pengalaman yang lebih bermakna, seolah-olah teks dan tempat itu bertemu kembali,” ujarnya.

Pameran ini turut menarik minat pelancong asing yang berkunjung ke kawasan tumpuan bersejarah itu, selain pengunjung tempatan yang jarang berpeluang melihat buku nadir secara fizikal.

Selain koleksi buku, reruai tersebut turut mempamerkan peta lama yang menggambarkan landskap awal Tanah Melayu, khususnya Kuala Lumpur dan Selangor sekali gus menambah dimensi pemahaman sejarah kepada pengunjung.

Pameran ini melengkapkan pengalaman Kota Baca 2026 sebagai acara literasi yang bukan sahaja menggalakkan pembacaan, tetapi turut menghubungkan masyarakat dengan sejarah, warisan dan nilai sebenar sebuah buku sebagai khazanah ilmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *